Ikan pari atau nama umumnya stingray atau whiptail stingray diklafisikan dalam kelas Chondrichthyes dan subkelas yang sama dengan ikan jerung iaitu Elasmobranchii.
Spesies dalam keluarga besar Dasyatidae ini terbahagi pula kepada lapan genus iaitu Dasyatis, Himantura, Makararaja, Neotrygon, Pastinachus, Pteroplatytrygon, Taeniura dan Urogymnus.
Dan daripada lapan genus ini terbahagi pula 88 spesies pari di dunia. Sementara pari sungai atau pari air tawar merupakan pecahan subfamili kepada Dasyatidae.
Di Malaysia, pari air tawar agak kurang popularitinya berbanding pari air masin. Saiznya juga tidaklah mengagumkan sebagaimana pari air tawar yang terdapat di Thailand.
Ikan pari merupakan spesies ikan bertulang rawan dan mempunyai anatomi luaran yang berbeza dengan kebanyakan ikan lain.
Sirip pektoral ikan pari melebar sehingga membuatkan bentuk badan ikan pari ini berbentuk cakera (disk).
Bentuk cakera meleper ini mengunjur ke depan termasuk bahagian kepalanya. Pari boleh ditemui di kebanyakan lautan tropika dan subtropika.
Ikan pari mempunyai sirip pektoral melebar yang membentuk seakan oval atau rhomboidal disc.
Bentuk meleper ini mengunjur sehingga ke kepalanya dan membentuk hampir keseluruhan tubuhnya.
Daripada bahagian sisi, ikan pari kelihatan meleper (flat) di mana sudut kepala dan badannya sama. Matanya terletak di bahagian sisi kepala dengan spirakel (bukaan respiratori) berdekatan matanya.
Ikan pari tidak mempunyai sirip dorsal dan sirip kaudal tetapi mempunyai ekor panjang seperti cemeti.
Kebanyakan spesies biasanya mempunyai sengat berbisa pada bahagian ekornya di mana mampu memberikan risiko kecederaan besar kepada manusia.
Mulut ikan pari agak kecil mengandungi papilla berdaging yang sentiasa berada di dasar. Oleh sebab posisi mulutnya ke bawah dan sentiasa menyentuh pasir, pari biasanya menggunakan spirakel untuk ambilan air.
Pari mempunyai lingkaran injap di dalam perutnya untuk berfungsi menyerap makanan. Selain itu ikan pari tidak mempunyai pelampung renangan (swim bladder).
Ikan pari termasuk pari helang dikatakan mempunyai otak yang paling kompleks dalam kelas ikan elasmobranch.
Sebahagian besar Dasyatidae merupakan subfamili perairan marin atau air masin walaupun terdapat sebahagian kecil tinggal di kawasan air payau dan air tawar.
Ikan pari selalunya berada di kawasan perairan tropika yang cetek namun boleh ditemui di kawasan sederhana atau temperate.
Kebiasaannya ikan pari berlegar di kawasan dasar air berpasir dan berlumpur, sesekali berlegar di kawasan karang.
Walaupun dilanda arus deras atau tidak menentu, bentuk leper ikan pari membantu ikan pari untuk memegang dasar dan sentiasa berada di kawasan demersal.
Diet pemakanan ikan pari tertumpu kepada moluska, cecacing, krustasia, ikan, kerangan, ketam dan udang.
Ikan pari mencari mangsanya yang bersembunyi dalam pasir atau lumpur dengan membalikkan pasir menggunakan sisinya atau sirip pektoral.
Sesetengah ikan pari menjadikan arus air yang kuat sebagai sumber makanan kerana arus kuat membawa pelbagai invertebrata bersamanya.
Bagi pari pelagik, spesies ini menjadikan ikan, sotong dan juga obor-obor sebagai sumber makanannya.
Taksonomi
- Kingdom: Animalia
- Phylum: Chordata
- Kelas: Chondrichthyes
- Sub-kelas: Elasmobranchii
- Order: Myliobatiformes
- Sub-order: Myliobatoidei
- Famili: Dasyatidae (D. S. Jordan, 1888)
- Genera: Dasyatis, Himantura, Makararaja, Neotrygon, Pastinachus, Pteroplatytrygon, Taeniura dan Urogymnus
- Nama Lain: Pari, Stingray, Whiptail stingray