Ikan tarpons adalah spesies ikan yang menghirup udara dalam famili Megalopidae dan hanya dua spesies dalam genus Megallops iaitu Megalops atlanticus dan Megalops cyprinoides. Spesies Megalops atlanticus atau nama umumnya Atlantic tarpon boleh ditemui di pantai barat Atlantik dari Virginia ke Brazil, di seluruh pantai Teluk Mexico, dan di seluruh Caribbean. Ia juga dijumpai di sepanjang pantai timur Atlantik dari Senegal ke Angola Selatan.

 

Sementara spesies Megalops cyprinoides atau nama umumnya Indo-Pacific tarpon pula boleh didapati di sepanjang pantai timur Afrika, di seluruh Asia Tenggara, Jepun, Tahiti, dan Australia. Kedua-dua spesies ini terdapat di kedua-dua habitat air masin dan air tawar namun apa yang membezakan hanyalah saiz. Atlantic tarpon merupakan spesies ikan besar manakala Indo-Pacific tarpon pula adalah spesies sederhana besar.

 

Ads

Spesies dengan nama binomial Megalops cyprinoides atau nama umumnya Indo-Pacific tarpon yang turut digelar herring atau oxeye yang terdapat di Malaysia lebih dikenali sebagai ikan bulan. Daripada aspek morfologi, ikan bulan memiliki warna hijau zaitun di bahagian atas dan perak di sisi badan. Memiliki mulut yang besar dan bukaan luas, rahang bawah mengandungi plat nipis dan keras yang memanjang. Filamen terakhir sirip dorsalnya lebih panjang daripada sirip-sirip lain yang mencapai hampir ke ekor.

 

Ikan bulan mampu mengisi pundi renang atau swim bladder dengan udara dan menyerap oksigen daripadanya. Spesimen yang tinggal di air tawar cenderung lebih kecil daripada spesimen yang tinggal di air masin atau laut. Lazimnya spesimen di air tawar mampu membesar panjang sekitar 50 cm manakala contoh yang direkodkan di air masin mampu membesar melebihi satu meter. Namun mereka mampu hidup sehingga 44 tahun dan akan mencapai tempoh matang dalam masa dua tahun.

Ads

 

Dari sudut diet pemakanan, ikan bulan merupakan spesies yang oportunis. Sama ada spesimen di air tawar atau air masin tiada perbezaan yang signifikan dalam tabiat pemakanan mereka. Mereka memakan ikan-ikan kecil, krustasea, dan juga tumbuhan akuatik yang unik.

Ads

 

Tarpon Indo-Pasifik bermigrasi di antara laut terbuka dan sungai pedalaman. Seperti semua spesies dalam order Elopiformes, ia membiak terutamanya di luar pesisir. Spesies juvenil akan tinggal di estuari dan berhijrah ke kawasan pesisir sementara matang untuk bertelur. Biasanya, mereka bertelur dua kali setahun. Berbeza dengan ikan siakap atau barramundi, ikan bulan mampu membiak sama ada di air masin mahupun air tawar.

 

Spesies Megalops cyprinoides boleh ditemui di perairan sehingga kedalaman 50 meter tetapi biasanya lebih mudah ditemui di permukaan perairan cetek. Mereka mendiami terumbu karang, bakau, rawa, sungai, tasik, takungan, dataran banjir, dan terusan. Dalam aspek perdagangan dan penggunaan ikan bulan bukanlah spesies yang bernilai tinggi di pasaran malah hampir tidak dikomersialkan. Justeru ia tidak tergolong dalam ancaman kepupusan.

Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI!
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI