Sebelum keluar memancing korang harus ambil tahu sifat dan tabiat ikan yang ingfin dipancing. Ia sedikit sebanyak dapat membantu korang untuk memancing di spot dan waktu yang tepat.
Memang ikan boleh berenang. Tetapi tahukah korang bahawa corak renangan ikan juga terbahagi kepada beberapa kumpulan.
Ada spesies ikan yang sentiasa berenang laju meredah laut dan ada yang berenang dengan minima dan lebih banyak menghabiskan masa dengan kekal pada satu tempat di dasar lautan.
Kenali ikan dan perlakuannya agar anda tidak pulang dengan tangan kosong.
➡ Kawanan (Schooling)
Ads
Kebanyakan ikan bertulang yang kecil akan berenang bersama-sama dalam koordinasi tertentu dan dipanggil berkumpulan atau kawanan (schooling).
Sebab utama berenang dalam kumpulan ialah adaptasi untuk mengelakkan daripada pemangsa selain dapat menakutkan mangsa.
Kalau anda nak tahu, berenang dalam kawanan akan memberikan lebih daya hidrodinamik dan meningkatkan peratus persenyawaan.
➡ Kewilayahan ( Territorial)
Ads
Pelbagai jenis ikan mempunyai sifat kewilayahan. Namun kadangkala sifat kewilayahan mereka ini berbeza dan unik.
Ikan damselfish yang kecil amat berani dan menakutkan dalam mempertahankan wilayahnya sendiri manakala kebanyakan kerapu atau grouper yang lebih besar akan berundur dari wilayahnya apabila didatangi oleh haiwan lain.
➡ Hubungan simbiosis
Ads
Sesetengah spesis ikan kecil akan melekat pada badan ikan yang besar dan membersihkan badan ikan besar dengan memakan parasit pada tubuh ikan tersebut.
Simbiosis dapat dilihat pada ikan jerung, paus atau penyu. Ada juga ikan yang bersimbiosis dengan spesies yang bukan ikan seperti clownfish dan timun laut yang mana timun laut akan menjaga ikan tersebut daripada serangan pemangsa.
➡ Penghasilan bunyi
Eh, macam pelik pula? Ikan mengeluarkan bunyi ke? Yang sebenarnya banyak spesis ikan menghasilkan bunyi sama ada dalam situasi ketika pembiakan, sosial, kewilayahan atau sifat agresif.
Bergantung kepada spesies, ikan bertulang mampu menghasilkan bunyi dengan melagakan giginya, getaran daripada udara atau dengan meregang dan mengecutkan ototnya. Kebanyakkan bunyi yang terhasil di bawah 10.000Hz.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Pendapat yang menyatakan jenis tenggiri boleh dikenal pasti setelah mencecah berat 8 kg ke atas tidak boleh diterima (pendapat peribadi) kerana perbezaannya jelas ketara sewaktu kecil terutama kombinasi jalur pada badan.
Tenggiri batang paling banyak ditemui di pasaran tempatan dan mempunyai permintaan yang tinggi. Ia berkepala tirus bermuncung panjang, dibarisi gigi tiga segi menirus dan tajam dengan kadar saiz 1 nisbah 5 panjang keseluruhan badannya yang berbentuk silinder.
Ekor tirus bercabang dan berkemampuan menujah pecutan renangan mendahului kelajuan pemancing menggulung tali ke gelendung kekili.
Badan berwarna kehijauan di atas dan keputihan di bawah hingga ke perut dengan jalur hitam yang melintang pada badan. Warna kehijauan akan pudar apabila ia mati.
Tenggiri batang boleh memanjang sehingga 2 meter lebih (7 kaki) dan saiz yang lumrah dipancing sekitar 1 hingga 4 kaki. Ikan betina dikatakan matang apabila mencapai panjang 70 cm manakala jantan ialah 65 cm.
Habitat Dan Sifat
Tenggiri batang boleh dikelaskan sebagai ikan pelagik yang mana kebanyakan masanya dihabiskan berada di permukaan dan sub permukaan air pada waktu saing hari dan merayau di pertengahan dan dasar pada malam hari.
Tenggiri jarang mendiami satu-satu kawasan dan sering merayau di kawasan pemburuan dari kedalaman 5meter hingga 200 meter. Namun ia lebih tertumpu di kawasan perairn cetek yang mempunyai kedalaman purata 30 meter.
Kawasan tumpuan Tenggiri merayau di mana terdapat sumber makanan atau mangsa buruan bermain. Pergerakannya dikaitkan dengan peredaran monsun dan arus laut yang membawa bersama kumpulan ikan-ikan pelagik yang bergerak secara berkumpulan.
Dengan berkumpulan tenggiri mampu memerangkap kumpulan mangsa dengan mudah. Pemburuan utama tenggiri adalah di kawasan unjam laut, kawasan terumbu karang, tukun, pulau dan tengah laut. Ia jarang rapat ke kawasan persisir pantai seperti mana sifat alu-lu.
Sifat ikan yang pantas berenang ini sering mendahului kelajuan gulungan tali pancing boleh mengundang putusnya tali utama atau perambut. Oleh itu jangan mengadu letih mengarau jika tidak ingin ikan dan gewang anda terlepas begitu saja.
Belut sawah (belut air tawar yang hidup di lingkungan sawah) dan belut rawa (belut air tawar yang hidup di lingkungan rawa atau paya gambut) adalah sejenis belut atau spesies ikan air tawar yang tergolong dalam keluarga besar Synbranchidae. Belut air tawar dengan nama umum Asian swamp eel atau swamp eel ini membawa nama saintifik yang berbeza meskipun tidak memiliki perbezaan yang ketara. Belut sawah (Monoprerus albus) dan belut rawa (Synbrancus bengalensis) ini berasal dari kawasan tropika dan subtropika utara India dan Burma ke China, Rusia Asiatik, Jepun, dan Indo-Malayan Archipelago. Ia adalah salah satu ikan biasa yang ditemui terutamanya di Asia, dari India, China Selatan ke Malaysia dan Indonesia.
Persekitaran yang digemari spesies belut sawah dah rawa ini termasuk pelbagai jenis air tawar cetek seperti air tawar, perairan, rawa, sungai, sungai, parit, terusan, tasik, takungan dan kolam. Walaupun mereka lebih suka air tawar, mereka juga dapat bertolak ansur dengan keadaan payau dan masin. Kedalaman kurang dari tiga meter adalah optimum. Belut juga berupaya menahan suhu sejuk dan pelbagai tahap oksigen. Spesies ini boleh mendapat sehingga 25% oksigen dari udara melalui kulitnya jika tidak menggunakan insang di bawah air.
Asian swamp eel atau swamp eel ini memiliki badan yang tidak berskala, anguilliform (seperti ular) yang mampu membesar panjang hingga satu meter, namun spesimen dewasa yang lazim ditemui sekitar 25 hingga 40 cm panjang. Belut air tawar mempunyai ekor tirus dan muncung kepala tumpul, dan tidak mempunyai sirip anal dan sirip pelvik. Sirip dorsal, sirip anal dan sirip kaudal adalah asas, dengan sirip ekor hampir tidak hadir. Sirip ini berperanan untuk melindungi belut daripada berguling dan membantu dalam membelok secara mengejut dan berhenti. Membran insangnya bersatu, tetapi insang berbentuk `v’ terletak di bawah kepalanya. Bentuk sedemikian menghalang aliran terbalik.
Umumnya belut berwarna coklat kehitaman pada bahagian atas tubuh dan berwarna coklat keputihan kadang juga berwarna coklat kemerahan pada bagian bawah tubuh. Sesetengahnya berwarna terang dengan bintik kuning, hitam, dan emas. Belut ini memiliki mata yang kecil, mempunyai gigi-gigi yang tajam dan runcing dan memiliki bibir yang cukup lebar. Belut juga tidak memiliki sisik namun tubuhnya memiliki lendir yang berguna untuk mengurangi geseran pada air ketika berenang. Dengan lendir yang licin juga ia mampu meloloskan belut daripada pemangsanya.
Belut adalah pemangsa ganas di lingkungan sawah dan rawa. Dietnya terdiri daripada ikan kecil, cacing serta krustasea. Kebiasaannya diam atau bersarang di dalam lubang berlumpur dan menunggu mangsa untuk menyerang hendap. Haiwan yang aktif pada waktu ini juga merupakan haiwan hermaprodit, yang mana ketika juvenil merupakan belut betina dan bersarang di lubang untuk meletakkan telur-telurnya pada buih-buih di air yang cetek. Jika telur menetas, keluarlah anak belut yang semuanya betina. Dalam peningkatan usia dan ketika kekurangan belut jantan, belut-belut betina ini akan bertukar menjadi belut betina.
Gerepoh? Ikan apa tu? Gerepoh merupakan salah satu spesies ikan marin yang besar dan tergolong dalam famili ikan jack, Carangidae. Lebih popular dengan nama GT, iaitu singkatan bagi giant trevally.
Gerepoh merupakan spesies terbesar di kalangan ikan jack dan sering kali spesies ini menjadi raja sesebuah habitat atau kawasan terumbu karang. Dengan bentuk fizikal badan yang solid serta kekuatan ototnya, gerepoh menjadi musuh yang sukar, malah sangat sukar ditangani oleh pemancing walau dengan set heavy sekalipun.
Sesetengah pula cukup licik, apa lagi jika di kawasan karang. Ibarat serangan gerila, gerepoh akan bersembunyi di kawasan karang dan secara tiba-tiba akan melakukan serangan hendap terhadap gewang anda terutama popper dengan kuasa pecutannya ekornya dan kembali memecut ke karang sebelum memutuskan tali utama pada batu atau karang. Kuat dan licik, tidak hairan raja terumbu karang ini menjadi musuh yang didambakan kaki pancing.
Secara morfologi luaran ikan gerepoh, penampilan utama spesies ini dapat dikenal pasti melalui profil bentuk kepalanya yang besar dan curam selain fizikal badannya yang kelihatan solid dan tegap. Ikan ini juga mempunyai kuasa pecutan dan larian yang luar biasa kerana sirip pektoral yang besar di bahagian pertengahan serta sirip kaudal besar dan solid ibarat pendayung.
Warna badannya pula secara umumnya boleh dikelaskan dalam pola warna putih-perak hingga ke hitam. Sesetengah gerepoh juga mampu mempamerkan rona keemasan gelap pada badannya terutama pada bahagian sirip.
Selain warna umum pada badannya, tanda berpaten atau bercorak yang jelas boleh hadir terutama pada bahagian belakang badan. Ini sering terjadi jika ikan ini mempunyai warna belakang badan yang lebih gelap berbanding bahagian lain, kontra warna akan mewujudkan garisan perak cerah dan akan kelihatan corak bintik kehitaman pada badannya.
Selain itu, pada bahagian kaudal pedunkel, kehadiran scutes (plat kecil yang tajam) jelas kelihatan pada kedudukan selari dengan garisan lateral. Scutes ini mampu mengakibatkan kecederaan jika ikan gerepoh tidak ditangani dengan baik sewaktu pendaratan.
Taburan bagi spesies Caranx ignobilis ini meluas, hadir dalam kebanyakan perairan iklim tropika panas Lautan Pasifik dan Lautan Hindi. Kehadiran ikan ini dikenal pasti hingga ke selatan Australia, timur Kepulauan Hawaii,barat di pulau-pulau timur Afrika dan di utara Jepun.
Gerepoh juga mempunyai toleransi saliniti yang tinggi lantas membolehkannya memilih habitat antara kawasan muara sehingga ke jauh ke lautan di kawasan sistem berterumbu karang. Juvenil pula lebih cenderung untuk berada di kawasan muara, pulau berbatu atau sistem sungai.
Spesimen yang dewasa akan berpindah ke kawasan lebih dalam di lautan di mana terdapatnya struktur seperti terumbu karang atau tukun. Selalunya habitat berstruktur pilihannya ialah kawasan yang mempunyai arus.
Spesies dewasa juga sering berlegar di kawasan tanjung atau pesisir berair cetek ketika memburu makanannya. Kawasan cetek namun berarus di mana terdapat struktur karang atau batuan mewujudkan persekitaran makanan yang ideal bagi spesies ini.
Di Malaysia, gerepoh bersaiz besar boleh diperolehi di kawasan persekitaran pelantar minyak. Bagi kaki popping, waktu senja menjelang malam tatkala lampu pelantar minyak menyala, ia masa yang cukup mendebarkan melontarkan popper sehampir mungkin tiang pelantar dan bawah nyalaan lampu.
Gerepoh merupakan spesies yang mempunyai kadar pembesaran yang cepat. Pada ukuran kepanjangan badannya 60cm, gerepoh umumnya sudah mencapai peringkat matang dan tempoh masa yang diambil untuk mencapai peringkat ini adalah sekitar 3-4 tahun.
Apabila dewasa atau matang, gerepoh mampu mencapai berat 200 lb dengan panjang 1.7 meter dan pada peringkat ini selalunya spesimen akan bersendirian. Apabila dewasa, biasanya gerepoh akan mencari kawasan terumbu karang sebagai habitat dan menjadikan kawasan tersebut sebagai wilayah jajahannya.
Ketika memburu, gerepoh menggunakan abiliti renangan yang unggul dan kuasa hentamannya terhadap ikan buruannya. Selalunya mangsanya akan ditelan terus pada serangan pertamanya, jika terlepas sekalipun biasanya mangsa cedera atau mati akibat kuasa serangannya. Jika memburu berkumpulan, mangsa akan ditelan dengan cepat bagi mengelakkan persaingan yang lebih ganas.
Diet utama gerepoh ialah ikan kecil di sekitarnya. Namun jika terdesak, gerepoh mampu bertukar lebih bengis dan licik. Tuna, penyu dan ikan lumba-lumba antara mangsa yang pernah dilaporkan ada ditemui di dalam perut gerepoh.
Selain itu, kelicikan gerepoh juga terserlah apabila hadir di sebalik jerung karang yang besar dan menjadikan ikan jerung ini sebagai alat untuk serangan hendap mangsanya. Gerepoh bersaiz besar juga ada kalanya menjadikan juvenil sebagai makanannya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...