Sebut sahaja udang galah (Macrobrachium rosenbergii), pasti terbayang bermacam-macam perkara tentangnya. Dari keseronokan dan cabaran memancingnya, tentang habitatnya yang dikatakan berkongsi dengan sang buaya & kesedapan rasa isinya . Sehinggalah tentang harganya yang mahal.
Bercakap soal harga, tidak dinafikan udang galah merupakan hidupan air tawar yang mahal harganya. Harga pasaran bagi sekilogram udang galah liar kini boleh mencecah harga hingga RM80 sekilogram bergantung pada gred saiznya.
Udang galah kini antara hidupan yang bukan mudah diperoleh di pasar-pasar basah. Jika adapun udang galah yang dijual di pasar adalah udang galah ternak atau yang dijala dan bubu oleh nelayan sungai. Dan biasanya ia bersaiz kecil.
Bagi udang galah liar dan bersaiz kasar, permintaannya amat tinggi. Kebiasaannya, ia telah pun ditempah oleh kedai-kedai makan atau restoran serta ditempah awal oleh mereka yang mengidamnya.
HABITAT UDANG GALAH
Selain sungai berdekatan dengan muara, udang galah sebenarnya turut mendiami sungai di kawasan tengah dan hulu, tasik dan juga lombong. Jadi jangan hairan sekiranya jika anda memperolehi udang galah di lokasi-lokasi ini. Disebabkan faktor inilah juga, udang galah kini sudah mula diternak dan dikomersialkan di kolam-kolam berbayar.
LUBUK UDANG GALAH
Udang galah merupakan jenis perayap di dasar, gemar mengikut arus dan pusaran air untuk mencari makanan. Jadi sebab itulah paling mudah untuk menduganya, carilah lokasi seperti di bawah timbunan sampah, kayu, lubuk airnya yang berpusar perlahan, celahan akar-akar pokok, batang pokok nipah, di kawasan rumah rakit dan sebagainya.
MUSIM UDANG
Memancing udang galah tiada musim tertentu. Begitu pun waktu terbaik untuk memancingnya ialah pada musim kering (bukan musim hujan). Bagi sungai di kawasan muara, waktu puncak adalah bila berakhirnya hari hujan lebat di kawasan hulu.
Udang galah dikatakan turun dibawa air ke bahagian hilir dan akan mudik semula ke hulu apabila muara sungai kembali payau dan masin.