Info Spesies : Kenali Keluarga Toman & Haruan

Share

 

Ikan berkepala ular atau snakeheads merupakan kumpulan spesies ikan yang yang tergolong dalam keluarga Channidae dalam pengkelasan saintifik.

Terdapat kira 40 spesies dalam genus Channa ini di dunia dan kebanyakan di Asia dan sebahagian kecil sekitar empat hingga tujuh spesies sahaja di Afrika.

Sementara di Malaysia pula dianggarkan terdapat lapan spesies popular yang lazimnya membawa nama toman atau haruan pada pangkalnya.

 

Nama binomial: Channa micropeltes

Nama umum: Giant snakehead, giant mudfish

Nama lokal: Toman

 

Ikan toman merupakan spesies snakehead yang paling besar dan dalam genus Channa. Ia merupakan ikan pemangsa yang bertenaga dan agresif.

Toman hidup di perairan air tawar yang biasanya boleh ditemui di sungai-sungai bertanah rendah, paya, tasik, terusan atau lombong.

Selain ikan yang lebih kecil, toman juga kadangkala menjadikan krustasea sebagai dietnya. Begitu juga dengan haiwan-haiwan kecil yang bergerak di permukaan air tidak terkecuali menjadi mangsa toman.

Spesies ini boleh membesar sehingga mencapai panjang lebih enam kaki dan berat mencecah 20 kilogram.

 

Nama binomial: Channa maruliodes

Nama umum: Emperor snakehead

Nama lokal: Toman bunga, kerandang, jelai

 

Ikan toman bunga merupakan spesies yang paling cantik dalam keluarga snakehead atau genus Channa.

Namun jangan terpedaya dengan kecantikannya kerana ia tetap merupakan spesies bergigi tajam dan agresif.

Toman bunga atau kerandang mendiami sungai, tasik dan kawasan paya gambut, dan kawasan yang kandungan Ph airnya rendah, sama seperti ikan Haruan palas, dan ikan bujuk.

Diet utamanya adalah anak-anak ikan dan juga udang, katak, serangga kecil seperti cengkerik, dan cacing.

Berbanding saudaranya yang lain, populasi ikan toman bunga mengalami kemerosotan yang agak teruk.

Hari ini ia semakin sukar untuk ditemui. Ikan ini juga boleh didapati di selatan Thailand, Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

 

Nama binomial: Channa striata

Nama umum: Snakehead murrel, common snakehead

Nama lokal: Haruan, betuk

 

 

Haruan merupakan spesies ikan air tawar yang cukup terkenal. Sama ada di kalangan kaki pancing atau penggemar ikan air tawar, boleh dikatakan semuanya mengenali ikan haruan.

Spesies ini boleh ditemui di kebanyakan kawasan berair tawar dan payau. Malah ikan ini juga boleh ditemui dalam hampir kebanyakan punca air kerana toleransi survival haruan sangat tinggi.

Ikan haruan mempunyai kadar survival yang tinggi lantas tidak sukar baginya untuk memilih habitat.

Dari sungai, sawah padi, terusan, tali air, bekas lombong, paya, kolam tadahan hinggalah ke kolam terbiar kita boleh menemui spesies ini

 

Nama binomial: Channa lucius

Nama umum: Forest snakehead

Nama lokal: Bujuk

Spesies bujuk boleh ditemui di kawasan terpencil pedalaman seperti paya tanah gambut, parit ladang-ladang sawit atau badan sungai pergunungan.

Biarpun tidak mendiami kawasan air berarus deras, bujuk cenderung memilih bahagian sungai untuk dijadikan habitat.

Ikan ini juga gemar menunggu mangsanya dengan menyerang hendak berbanding menjadi pemburu aktif dan ia memiliki kelebihan tersebut berikutan corak warna penyamaran pada badannya.

Warna badannya mempunyai corak tompokan bersiri dan bahagian kepalanya lebih menirus berbanding spesies ikan berkepala ular lain.

Walaupun tidak sebesar ikan toman namun bujuk mampu membesar panjang sehingga 40 cm.

 

Nama binomial: Channa bankanensis

Nama umum: Bangka snakehead

Nama lokal: Haruan hutan / ruanjuk

Tidak banyak kajian saintifik pengelasan bagi spesies bangka snakehead ini. Justeru nama tempatan bagi spesies ini lebih merujuk kepada sifat rupa dan habitatnya.

Spesies ini dikatakan lebih mudah ditemui di kawasan air tawar di bahagian tertentu di Borneo khususnya di Sarawak dan pola taburannya masih belum ditemui di mana-mana sistem sungai Semenanjung Malaysia.

Spesies haruan hutan atau ruanjuk (mungkin dinamakan sempena rupanya lebih mirip gabungan haruan dan bujuk) hanya mampu membesar sehingga 14 cm sahaja.

Warna badannya agak berbintik dan boleh ditemui di kawasan alur sungai kecil.

 

Nama binomial: Channa gachua

Nama umum: Dwarf snakehead

Nama lokal: Ruan todak

 

Ruan atau haruan todak memiliki kepelbagaian habitat tetapi lebih cenderung mengelak kawasan berarus deras.

Habitatnya boleh dikatakan hampir menyamai lokasi yang disukai oleh spesies bujuk. Spesies ini memiliki tubuh badan yang agak kecil dan warna badannya agak gelap.

Bahagian sirip dorsal dan sirip anal spesies C. gachua ini mempunyai warna jingga di sepanjang kedua-dua siripnya.

Ia mampu membesar panjang sehingga 250 mm namun saiz yang lazim ditemui sekitar 100 mm hingga 200 mm sahaja. Dan ia merupakan antara ikan hiasan yang diminati ramai.

 

Nama binomial: Channa melasoma

Nama umum: Black snakehead

Nama lokal: Haruan palas

 

Sekali imbas haruan palas kelihatan seakan-akan sama dengan haruan biasa atau common snakehead kerana memiliki bentuk, corak dan warna badan yang hampir serupa.

Apa yang membezakannya ialah saiz. Berbanding haruan biasa, haruan palas memiliki mata yang sedikit lebih besar dan tona matanya lebih gelap atau hitam.

Saiz maksimum badannya hanya sekitar 25 cm sahaja. Ia boleh ditemui di kawasan sungai kecil hingga ke sistem sungai yang lebih besar dan menjadi kawasan berstruktur seperti reba dan kayu mati sebagai habitatnya.

 

Nama binomial: Channa baramensis

Nama umum: Baram snakehead

Nama lokal: Runtu, haruan runtu

 

Runtu atau haruan runtu merupakan ahli keluarga snakehead yang unik dan mudah dikenali berbanding spesies Channa kecil lainnya.

Paling ketara ialah corak penampilan badannya. Boleh dikatakannya ia satu-satunya spesies snakehead yang memiliki corak berbintik pada badannya.

Seperkara lainnya, Channa baramensis ini dikatakan hanya boleh ditemui di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sahaja.

Channa kecil ini hanya mampu membesar antara 18 hingga 22 cm sahaja. Dan paling menarik, nama umumnya iaitu Baram snakehead dinamakan sempena spesimen yang ditangkap di Sungai Baram, Sarawak.

 

Published by
Amang