Secara umumnya pada pandangan mata kasar, seperti tiada banyak perbezaan ketara khususnya pada rupa bentuk ikan tuna dan ikan tongkol.
Justeru ada yang melabel ikan tuna ialah spesies tuna yang besar manakala ikan tongkol merupakan spesies tuna yang kecil.
Merujuk kepada aspek taksonomi, ikan tongkol dan tuna bukanlah spesies yang sama melainkan ditempatkan dalam keluarga besar, Scombridae.
Ikan tongkol atau ikan aya dan turut mendapat gelaran ikan kayu merujuk kepada tekstur isinya yang sedikit pejal atau keras.
Nama biasa bagi tongkol di peringkat global ialah kawakawa, black skipjack, bonito, eastern little tuna, mackarel tuna serta oceanic bonito.
Sementara dalam pengkelasan saintifik, tongkol dikategorikan dalam famili Scombridae, genus Euthynnus dan spesies E. affinis.
Ikan tongkol atau aya ini merupakan spesies marin bersifat pelagik-neritik.
Taburan ikan tongkol sangat meluas dan merupakan ikan natif kebanyakan negara termasuklah Malaysia.
Spesies Indo-Pasifik Barat ini umumnya hidup di lapisan sub permukaan laut berkadar garam rendah dan bersuhu 26-28 darjah celsius.
Malahan tongkol juvenil boleh ditemui di kawasan teluk serta pesisir pantai. Pada kebiasaannya juga tongkol juvenil boleh ditemui dalam kelompok atau kawanan 100 hingga 5000 ekor mencari makan di permukaan air.
Tidak sebagaimana tuna, spesies E. affinis ini hanya mampu membesar panjang maksimum sehingga 100 cm.
Umumnya spesimen yang biasa ditemui hanya sekitar 50-60 cm sahaja. Ikan tongkol dikatakan tidak terlalu memilih daripada segi diet pemakanannya.
Lazimnya ia menjadikan ikan-ikan kecil seperti bilis, sotong serta krustasea sebagai makanannya.
Dari sudut morfologi, bentuk badan ikan tongkol umpama torpedo dengan kulit licin, tidak bersisik kecuali pada korselet dan garis rusuk.
Bahagian belakang tongkol berwarna biru gelap metalik, dengan pola lorek mengiring yang rumit mulai daripada pertengahan sirip dorsal pertama.
Sisi badan dan perut berwarna putih keperakan, dengan celoreng berwarna gelap di antara sirip dada dan sirip perut, yang tidak selalu hadir. Tongkol turut memiliki barisan gigi kecil.
Tongkol ditangkap secara komersial oleh nelayan dan merupakan tangkapan yang penting di pelbagai negara di wilayah sebarannya.
Tongkol banyak ditangkap di Filipina, Malaysia dan Pakistan merupakan tangkapan terpenting di India.
Ikan tongkol ditangkap sebagai sumber protein dan mempunyai nilai gizi yang tinggi.
Tongkol memiliki kandungan protein yang cukup baik dari sudut jumlah dan kualitinya.
Daripada aspek perikanan rekreasi pula, tongkol bukanlah spesies buruan popular sebagaimana tuna.
Namun ia tetap spesies ikan sukan yang seronok dipancing dengan menggunakan peralatan pancing yang bersesuaian.
Scientific classification
Kingdom: | Animalia |
Phylum: | Chordata |
Class: | Actinopterygii |
Order: | Perciformes |
Family: | Scombridae |
Genus: | Euthynnus |
Species: | E. affinis |
Binomial name : | |
Euthynnus affinis |