Malong ialah spesies ikan air masin yang licik, berbadan lendir dan sememangnya tidak mampu dikendalikan ketika ia masih hidup dengan tangan. Saya masih ingat apabila ingin merakamkan gambar malong tiada siapa yang berani ketika ia masih hidup kecuali mengunakan pemegang.
Jika disimpan di dalam bekas air yang sedikit kita akan dapati air tersebut akan menjadi pekat kerana lendir yang dikeluarkan dari badan malong. Ia juga tahan lasak walaupun dengan sedikit air. Selain itu malong sering didakwa menyerang pemancing apabila ia berada di daratan semata-mata usaha untuk mempertahankan diri.
Ia sebenarnya tidak ganas tetapi kes serangan melalui gigitan berpunca dari kelalaian pemancing ketika cuba mengendalikan ia dengan tangan kosong. Bermulut muncung dan bergigi tajam membuka dengan luas serta lincah terutama di dalam sampan kecil boleh mengerjakan betis dan lengan bagi mereka yang lalai.
Malong bermulut runcing memanjang dikuatkan pula dengan gigi atas dan bawah untuk mencengkam mangsa. Badan licin memanjang dan menirus hingga ke hujung ekor. Sirip dorsal lembut, kecil dan memanjang dari pangkal leher hingga hujung ekor. Badan berwarna kekuningan semakin cerah di sebelah bawah.
Tubuhnya membulat walaupun seakan leper jika pandang dari sisi. Barisan gigi sebelah atas berada pada kedudukan sebaris tengah rahang manakala gigi bawah di kiri dan kanan rahang. Jika dilihat barisan gigi malong, selain gigi tajam memanjang, ia turut dibarisi gigi-gigi tajam lecil tersembunyi di bahagian dalam mulut.
Hujung mulut sebelah atas seperti mengecil terbina sedemikian sesuai untuk membenarkan cengkaman kuat terhadap mangsa. Mangsa apabila dicengkam malong, ia jarang dapat melepaskan diri dengan mudah.
Malong banyak menghabiskan masa di dasar sungai atau muara serta didalam lubang perumahnya. Mendiami kawasan yang berdataran samada pepasir halus dan lumpur pada kedalaman dari 10meter hingga 100 meter. Lubang atau sarangnya menyediakan tempat pelindungan paling sesuai dari musuh.
Ia keluar memburu mangsa tidak kira siang dan malam yang terdiri dari anak ikan. Berlainan dengan spesies pengacau sesirat yang gemar menggumpal, menyimpul, melendirkan serta memintalkan tangsi, malong tidak bersifat demikian walaupun kedua-duanya berlendir dan memiliki ciri-ciri persamaan habitat dan pemakanan.
Nama umum: Daggertooth pike conger
Keluarga: Muraenesocidae
Ciri fizikal: Badan memanjang kekuningan seperti belut air tawar. Barisan gigi tajam adalah ciri-ciri yang paling di geruni pemancing
Diet: Ikan dan hidupan krutesia
Habitat: Mendiami lubang dikawasan dasar berlumpur
Taburan: Wilayah Indo-Malaysia, Filipina hingga Selatan Jepun, Indo-West Pasifik. Kebanyakannya di sekitar perairan Selat Melaka, Sarawak dan persisiran Sabah.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Kadang-kadang tu macam tak percaya tapi itulah kenyataannya. Dengan menggunakan bahan-bahan utama seperti yogurt dan minuman tenaga Redbull, anda boleh menghasilkan umpan yang berpotensi untuk mendaratkan ikan seperti patin dan lain-lain lagi.
Jom tengok bagaimana cara menyediakan umpan ini.
Bahan-bahan keperluan:
Yogurt segar 370gm
1 tin Redbull
Pes strawberi Original
1 pek NS Power strawberi
Yis segera
Cara penyediaan umpan:
Tutorial 1
Campurkan 1 pek yogurt, setengah atau 3/4 tin Redbull, 5 penutup pes strawberi, 1 pek NS power stawberi dan suku pek yis segera ke dalam bekas pengisar. Kemudian, kisar bahan-bahan tersebut sehingga larut dan sebati.
Tutorial 2
Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar (umpan) ke dalam bekas atau botol kedap udara separas 3/4 penuh sahaja. Umpan ini akan menapai dan menghasilkan gas. Biarkan (peram) umpan ini selama sekurang-kurangnya satu malam sebelum ia digunakan.
Cara menggunakannya
Umpan ini sesuai digunakan dengan roti dadu dan juga palet (dedak biji). Tuangkan umpan secukupnya sahaja ke atas roti dadu di dalam bekas bancuhan dan pastikan setiap roti dadu sebati dengan umpan.
Sebaiknya perap seketika sebelum umpan ini dijadikan umpan untuk memancing patin atau lain-lain spesies yang ada di dalam kolam.
Kebanyakan orang melihat unggun api digunakan untuk memasak, memanaskan air dan sebagai pencahayaan. Seeloknya, sediakan kayu api yang mencukupi untuk sepanjang malam dan jangan biarkan unggun api terpadam sehingga terbitnya fajar. Andai terdapat ahli kumpulan seramai 4 orang, pastikan terdapat 4 batang kayu yang berbara. Ia boleh dijadikan sebagai senjata andai harimau, beruang atau gajah datang melawat.
Kawasan Lain Dari Lain
Apabila melalui sesuatu kawasan, haruslah kita peka dengan keadaan sekeliling. Jika kita melalui sesuatu kawasan yang menghijau rumputnya tetapi terdapat sekelompok kawasan yang rumputnya sudah mati, elakkan melalui kawasan tersebut.
Kebiasaannya, kawasan tersebut merupakan tempat untuk orang asli membuang bisa. Bisa hutan ini bermacam, tidak kira yang nampak atau tidak nampak. Jika kita melalui kawasan lapang pula yang seakan dibersihkan, jangan melalui kawasan tersebut ataupun mengotorkan tempat itu.
Taman Permainan Bunian
Orang tua selalu berpesan, “Jangan digayut akar berjuntai, nanti ada teman mengintai”. Nampak menarik bila kita ternampak akar pokok yang berjuntai seperti dalam filem Tarzan tu.
Tetapi harus diingat, kebiasaannya ia adalah tempat jin bermain. Salah satu tempat bermain dan bergayut bagi makhluk jin adalah akar yang berjuntai. Apa jadi apabila tempat permainan kita diganggu orang luar? Pasti akan timbul rasa tidak puas hati.
Bau-Bauan Semerbak
Hutan bukanlah tempat untuk kita membeli belah atau bergaya. Hutan adalah tempat di mana penghuninya mempunyai seribu ragam. Ada haiwan yang alah pada wangian, ada juga yang tertarik pada wangian. Deria bau yang ada pada haiwan sangatlah hebat.
Bukan seperti manusia, hanya mampu mengesan bau beberapa meter sahaja. Kebanyakan haiwan mampu mengesan bau berkilometer jauhnya. Andai wangian tersebut menarik haiwan yang tidak berbahaya, anda bernasib baik.
Tapak Kaki Binatang
Harus diingat, pemangsa utama rusa adalah harimau. Selalunya apabila ada rusa, dibelakangnya harimau mengikut. Apabila ternampak kaki rusa atau kelibatnya, jangan berasa seronok dapat melihat rusa sebesar kereta kancil. Kemungkinan besar sang belang menanti di belakang. Silap-silap rusa ditinggalkan, anda yang dia tunggu.
Nama Panggilan
Sepanjang berada di dalam hutan, kurangkan menyebut nama haiwan secara terus. Contohnya gajah, boleh dipanggil Paklong. Seperti ketika zaman sekolah, ada panggilan tertentu kepada rakan-rakan yang hendak dikutuk tanpa dia tahu. Sama juga apabila berada di dalam hutan.
Jika berjalan secara berkumpulan, jangan suka menjerit ataupun memanggil nama kawan.Takut-takut ada benda lain yang menyahut. Benda ini banyak kali terjadi pada pendaki ataupun kaki pancing.
Lebihan Makanan
Apabila memasak, pastikan kuantitinya sesuai dengan kehendak perut anda. Jangan ada sisa makanan yang ditinggalkan ataupun lebihan makanan yang tidak dimakan. Kebanyakan haiwan amat peka pada bau makanan. Sama juga bagi haiwan seperti beruang, harimau dan lain-lain. Jangan terkejut ketika tidur, khemah anda diselongkar beruang ataupun gajah.
Peka Bunyi Hutan
Kadangkala ada rakan mengeluh kerana bunyi cengkerik dan berbagai lagi yang didengari ketika mereka tidur di khemah. Itu adalah normal. Yang tidak normalnya apabila keadaan sekeliling menjadi sunyi sehingga dengkuran tidur rakan anda yang menyakitkan telinga. Apabila keadaan menjadi sunyi secara tiba-tiba, itu menandakan terdapat haiwan yang besar sedang memerhati kita. Andai ada bahan letupan seperti mercun, bakarlah mercun tersebut. Sekurang-kurangnya ia dapat menghalang haiwan liar daripada mendekati kita.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...