Info Spesies – Kenali Ikan Kuku (bream)!!

Share

 

Ikan kuku atau nama Inggerisnya Pasific seabream turut dikenali dengan nama black bream, goldsilk seabream, picnic seabream dan juga pikey black bream.

Ia dikelaskan dalam kumpulan nama sea bream atau porgies. Dikhususkan dalam keluarga Sparidae, dalam genus Acanthopagrus dan dengan nama spesies Acanthopagrus pacificus.

 

Spesies A. pacificus merupakan spesies ikan air cetek yang bertaburan di seluruh barat Lautan Pasifik termasuk Pulau Iriomote, kepulauan Ryukyu, Jepun, Taiwan, selatan China, Vietnam, Filipina, Malaysia, Indonesia, Papua New Guinea dan utara Australia.

 

Ia juga merupakan spesies ikan yang berpopulasi tinggi di kebanyakan muara Australia. Spesies yang berkembang biak ini tidak menjadi sasaran penangkapan secara meluas oleh para nelayan dan kurang dieksploitasikan dalam sukan perikanan rekreasi.

 

Spesies marin air cetek ini dipercayai bermigrasi ke muara-muara dari Mei hingga September untuk bertelur dan waktu puncak musim bertelur berlaku dari Julai hingga Ogos. Spesimen terbesar yang pernah direkodkan sepanjang 35 cm namun ia mampu membesar sehingga 60-70 cm.

 

Ikan kuku boleh ditemui perairan air payau, muara dan teluk, kuala sungai dan kadangkala memasuki bahagian air payah sehingga sempadan air tawar.

Ikan kuku juvenil mendiami teluk dan muara yang berstruktur sebagai perlindungan.

Lazimnya ikan kuku bergerak secara solo atau berkumpulan kecil namun akan bermigrasi dalam kumpulan yang besar.

 

Begitu juga di Malaysia, spesies kuku ini tidak diburu secara komersial oleh nelayan dan aktiviti perikanan rekreasi juga tidak meluas.

Malah boleh dikatakan ramai pemancing kurang mengenalinya apatah lagi menjadikan ikan kuku sebagai spesies sasaran dalam aktiviti memancing.

 

Hakikatnya,  dengan memahami habitat dan tabiat pemakanannya, pancngan ikan kuku boleh menjadi satu aktiviti memancing yang menyeronokkan.

Berikutan habitatnya yang kurang gemar berada di kawasan terbuka sebaliknya lebih banyak ditemui di kawasan berstruktur seperti kawasan berbatu dan tukun, kawasan pesisir pantai bertambak dan muka kuala merupakan kawasan terbaik untuk memancing spesies ini.

 

 

 

Ikan kuku atau Pasific seabream juga adalah spesies dengan tabiat pemakanan pengutip dasar dan menyambar.

Udang, ketam dan ikan yang turut menjadi dietnya amat sesuai digunakan sebagai umpan.

 

Dari aspek teknikal memancing pula, ikan kuku boleh dipancing dengan teknik dasar serta apungan hanyut.

Berikutan sifatnya yang gemar mendiami kawasan berstruktur, kelengkapan peralatan memancing haruslah tahan lasak dan kurang risiko sangkut pada sebarang struktur terutamanya batu berteritip.

 

Begitu juga dengan tindak balas pemancing apabila umpan diragut oleh spesies kuku ini. Respon yang lambat dari pemancing akan berhadapan dengan kegagalan kerana ikan kuku akan segera melarikan diri ke kawasan berbatu atau reba apabila tertancap mata kail.

 

Seperkara lainnya, ikan kuku turut berkongsi habitat dengan spesies lain seperti siakap merah dan tetanda.

Maka melalui aktiviti memancing ikan kuku anda juga berpeluang untuk mendaratkan spesies yang lebih bernilai.

 

Published by
amirulazhar