Ikan begahak dengan nama umum giant shealfish, Malaysian toothead catfish atau nama binomialnya Belodontichy dinema (sebelum ini menggunakan nama saintifik Wallago dinema) turut dipanggil gerahak, gahak dan gohok menurut sebutan tempatan.
Taburan ikan behagak ini tidak meluas dan hanya boleh ditemui Indochina, Sumatera Timur, Borneo dan Semenanjung Malaysia. Lebih unik lagi di Semenanjung Malaysia, ikan ini hanya boleh ditemui di Sungai Pahang. Ia dikatakan pernah wujud di Sungai Perak namun sehingga kini tiada sebarang tangkapan di sungai tersebut.
Begahak mempunyai ciri-ciri tingkah laku dan fizikal yang hampir sama seperti tapah. Satu perbezaan yang paling ketara adalah bentuk muncung mulutnya yang lebih melengkung ke atas. Begitu juga dengan misai atau sesungutnya agak lebih pendek berbanding tapah.
Namun begahak memiliki tabiat sama menyambar binatang atau serangga yang jatuh ke permukaan air. Ekoran dietnya lebih kepada anak-anak ikan maka ia boleh dipancing dengan kaedah mengilat menggunakan umpan tiruan.
Ikan begahak dikatakan mampu membesar sehingga 100 cm panjang dan berat tidak rasmi 10 kg. Tangkapan tersebut dikatakan berlaku di Sungai Tembeling, Pahang namun tiada sebarang data direkodkan.