Ikan runtu atau haruan runtu, yang dikenali dengan nama umum Baram Snakehead merupakan ahli keluarga snakehead yang unik dan mudah dikenali berbanding spesies Channa kecil lainnya.
Paling ketara ialah corak penampilan badannya. Boleh dikatakannya ia satu-satunya spesies snakehead yang memiliki corak berbintik pada badannya.
Seperkara lainnya, Channa baramensis ini dikatakan hanya boleh ditemui di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sahaja.
Channa kecil ini hanya mampu membesar antara 18 hingga 22 cm sahaja. Dan paling menarik, nama umumnya iaitu Baram snakehead dinamakan sempena spesimen yang ditangkap di Sungai Baram, Sarawak.
Menariknya tentang ikan ini adalah, ia memiliki sifat yang cara menyambar hampir sama dengan bujuk dan cara sambarannya agak agresif.
Jika sambaran tidak kena, ia tetap akan menyambar umpan yang dilontarkan di tempat yang sama.
Bila sahaja terkena pancing, runtu akan cuba melakukan lompatan akrobatik ke udara untuk meloloskan diri berbanding bujuk yang kuat menggelupur.
Walaupun mendiami parit yang sama, tetapi runtu ada wilayahnya sendiri iaitu jika runtu ada di satu-satu spot, bujuk dan haruan tidak ada dan begitulah sebaiknya.
Runtu juga pada pengamatan saya mendiami satu-satu lubuk dalam bentuk koloni. Ini kerana, selepas mendapat seekor, baling lagi umpan di lokasi yang sama pasti akan ada 2-3 ekor yang lain.
Untuk mendapatkan lebih potensi tangkapan ialah gunakan umpan yang bersaiz kecil dan jatuhan umpan juga dalam keadaan senyap.
Berbanding haruan, saiz runtu tidaklah terlalu besar. Menurut kaki pancing di sini, anggaran saiz terbesar adalah sekitar 1.5kg sahaja.
Tetapi jika berjaya menemui saiz sebegini, ia pasti akan memberikan tentangan yang amat mendebarkan.
Spesies yang memiliki corak badan berbintik-bintik di badannya, dikatakan memiliki nilai perubatan yang tinggi berbanding haruan mahupun bujuk di kalangan masyarakat tempatan.
Ia mendapat permintaan yang tinggi di kalangan pesakit yang baru selesai menjalani pembedahan mahupun selepas bersalin.
Runtu akan dibuat sup ataupun masak rebus sahaja sebagai hidangan untuk tujuan perubatan.
Khasiat daripada isi dan sup ikan ini dipercayai mampu menyembuhkan luka selepas bersalin mahupun pembedahan dengan lebih cepat.
Taksonomi:
Kingdom: | Animalia |
Phylum: | Chordata |
Class: | Actinopterygii |
Order: | Anabantiformes |
Family: | Channidae |
Genus: | Channa |
Species: | C. baramensis |
Binomial name | |
---|---|
Channa baramensis |