Impian Terlaksana Di Laut Sabah

Share

 

Kami menaiki sebuah bot pancing antara yang terbesar di Kota Kinabalu yang boleh memuatkan seramai 14 kaki pancing dengan selasa. Bot besar dengan kabin berhawa dingin memudahkan kami berehat sewaktu 6 jam perjalanan menuju destinasi. Sasaran utama trip kali ini ialah ikan amberjack. Masing-masing ingin mencatat personal best untuk ikan amberjack yang terkenal di Sabah.

 

Tiba di lokasi, jig segera diturunkan sehingga mencecah dasar. Lantas henjutan demi henjutan dilakukan untuk menarik minat amberjack di bawah laut sana. Pelbagai jenis, warna dan saiz jig dihenjut namun sambutan adalah suram sekali. Mungkin masih awal petang lagi kami membuat andaian.

 

 

Di sudut lain, beberapa ekor kerapu dan merah kecil menjadi hiburan kaki dasar. Cuma Zul lebih beruntung apabila seekor kerapu dewasa menelan umpan sotong. Kagum melihat geng Sabah ini yang boleh jigging berterusan tanpa menunjukkan tanda-tanda keletihan atau kehampaan apabila tiada sambaran.

 

Amberjack pertama anggaran 3 kg memulihkan kembali kekuatan yang kian pudar untuk ramai kaki jig kembali beraksi. Serangan amberjack tidak lama mungkin ia menyambar ketika laluan amberjack tepat dengan unjun jig.

 

 

Joran Jigging Master PE3-PE6 yang dipadankan dengan Shimano Stella 10000 menerima sambaran amberjack kedua. Itupun setelah tuannya beberapa jenis dan warna jig ditukar ganti. Kegelisahan akhirnya terpadam tatkala saat matahari mula hampir terbenam apabila beberapa ekor amberjack mula tumpas di tangan kaki jigging yang rajin mengunjun jig.

 

Kami berhenti memancing sambil bersembang ketika menikmati makan malam. Bertukar cerita dan merangka pelan aktiviti memancing untuk keesokan hari. Ada yang memilih untuk berehat di kabin dan sebahagian kami memilih untuk sambung aktiviti memancing.

 

 

Letih jigging kami menukar tumpuan memancing dasar pula. Memancing dasar pada waktu yang tiada arus membuatkan pemancing lebih banyak termenung, terduduk, terperosok mencari tempat redup daripada tiupan angin, setiap getuan terjadi pada selang masa agak lama.

 

Saat mata hampir terlelap terganggu apabila satu kekili menjerit. Rupanya umpan selayang yang dihanyutkan menerima sambaran. Hasilnya seekor tenggiri 5 kg tumpas. Menyedari kehadiran tenggiri kami mula tukar strategi dari memancing dasar ke pertengahan dan bawah permukaan air. Pada saat itu masing-masing semuanya merasa sambaran tenggiri.

 

 

Menjelang awal pagi tenggiri mula menyepi, tapi geng Sabah ini pulih kembali tenaga untuk kembali jigging. Syam membuka tirai awal pagi kedua apabila menerima sambaran padu sebaik sahaja jig dihenjut dari dasar.

 

Menyedari apa spesies yang membaham jig tersebut, joran jigging yang tersadai semalaman dicapai kembali. Sah amberjack dikesan berlegar di bawah bot kami pada kedalaman 120 meter.

 

 

Tatkala Syam masih lagi melayan kerenah amberjack, Plabuk dan Zul turut mengena sasaran. Ketiga-tiga beradik kaki pancing tegar dari Ranau ini bagai enggan mahu mengalah. Saiz amberjack kali ini lebih besar daripada petang hari pertama.

 

Bot berpindah spot apabila amberjack kembali sunyi sebaik sahaja matahari meninggi. Yang berjaga malam masuk beradu dan yang masuk shift siang membuat persiapan memulakan sesi hari kedua.

 

 

Bila waktu petang tiba, masing-masing mula mengambil tempat. Joran dasar rata-ratanya sudah disimpan kerana sambutan yang diterima hanyalah anak-anak ikan sahaja. Aktiviti jigging sahaja ditumpukan berdasarkan ikan lebih berminat menyambar objek yang bergerak tatkala air kekat.

 

Seperti kebiasaan tiga beradik Sabah ini terlebih dahulu strike. Kerajinan mereka menjadi titik tolak yang lain untuk turut sama berjigging. Bunyi kekili berteriak kasar memeriahkan lagi suasana untuk merasai kepuasan dengan membuat masalah dengan amberjack. Semua ini tidak berpanjangan kerana serangan amberjack hanya seketika dan sepi bila perubahan pasang surut terjadi.

 

 

Waktu malam kami sekali lagi menyasarkan tenggiri namun hanya lewat maam gerombolan tenggiri mula menyambar umpan. Ramai ketika itu sudah dibuai mimpi. Untungnya penggunaan umpan dan jig kedua-duanya berkesan ketika itu.

 

Tapi masalah timbul waktu ini kerana sewaktu semuanya strike serentak, tiada siapa yang membantu menggancu ikan. Disebabkan kedudukan bot yang tinggi, banyak tenggiri lucut dan putus sewaktu ingin dinaikkan. Ikan semakin galak dan ramai yang turut menyertai sesi pancing menjelang masuk Subuh.

 

 

Hari ketiga masih ada yang belum menemui sentuhan turut mencuba nasib terakhir. Lazimnya Syam akan membuka tirai diikuti oleh Zul dan Labuk. Masing-masing tahu waktu amberjack bakal hentam jig.

 

Akhirnya barulah peserta terakhir tersenyum apabila amberjack idamannya tewas. Bila semua merasai ikan buruan, kami memberi isyarat pada tekong untuk menamatkan misi trip Sabah kali ini.

Published by
Amang