Ilmu Pancingan Pari Yang Wajib Dipelajari

Share

 

Bukan senang nak memancing ikan pari. Memancing itu mudah tapi nak berjaya mendapatkan pari itu yang susah. Berikut merupakan panduan terbaik yang diperturunkan oleh seorang tekong yang berpengalaman penuh memancing pari.

 

Ketahui jenis pari

 

Jenis pari yang biasa makan umpan pemancing ialah pari benting, pari harimau, pari minyak, pari lalat, pari pasir, pari nyonya, pari daun, pari kulim, pari tanjung, ketuka dan kadang kala pari lang. Pari paus, pari kebas dan pari serban adalah di antara pari yang tidak makan umpan.

 

 

Pemilihan umpan yang betul

Umpan yang biasa digunakan oleh pemancing pari tegar ialah udang hidup, sotong cumit atau sotong jarum hidup, sotong mati tapi belum kena ais, sotong kurita, sotong katak kecil, ikan jajang (seperti belacak sungai), ikan belanak, selayang atau selar kuning dipotong dua, anak ikan bebolos, anak gelama, perumpun, ikan tamban dan ikan beliak mata.

 

 

Penggunaan umpan sesetengahnya mengikut tempat dan lokasi pancing. Boleh rujuk kepada penduduk setempat jika ingin kepastian. Umpan yang disebutkan ini adalah jenis umpan yang biasa dirembat sang pari.

 

Set peralatan tepat

Oleh kerana pari ikan yang suka mendap di dasar, peralatan halus dan lembut bukanlah lawannya. Tali pancing paling minimum yang disyorkan ialah 20lb. Mesin atau kekili pula sekurang-kurangnya saiz 5000 dan paling penting tahan lasak. Joran pula sekurang-kurangnya berkekuatan PE2.

 

 

Waktu paling sesuai

Waktu sesuai ialah ketika arus tidak terlalu laju dan waktu di antara berlakunya perubahan pasang surut air. Pari menelan umpan tidak kira masa, sama ada pagi, petang dan malam. Pari apabila menelan umpan dan terasa tekanan yang dikenakan ke atasnya akan mula melarikan diri.

 

 

Tenaga yang dimiliki pada permulaan ini sukar untuk ditangani pemancing. Jika berlaku keadaan ini kita perlu beri tali tapi jangan terlalu longgar dan tunggu sehingga larian pari lemah. Semasa memberi tali, pada masa yang sama sentiasa berikan tekanan pari pari bertujuan meletihkan ia.

 

 

Jika ada peluang mengarau tali lakukan tanpa ragu-ragu. Bermain dengan pari banyak memerlukan kesabaran terutama apabila ia memekap di dasar dalam jangka masa yang lama.

 

Published by
Amang