Belilah peralatan yang boleh digunakan secara allrounder. Peralatan yang boleh digunakan untuk hampir setiap jenis teknik pancingan baik di air tawar atau air masin.
Adalah tidak berbaloi untuk membeli peralatan yang menjurus kepada satu teknik sahaja sedangkan kebanyakan masa ia menjadi perhiasan bilik semata-mata.
Jangan jadi pemancing yang fanatik pada sesuatu jenama hingga tidak dapat membezakan kelemahan dan kekuatan sesuatu jenama terutamanya apabila akhirnya anda gagal untuk menguasai peralatan jenama tersebut. Buatlah research sebelum melabur pada sesuatu jenama yang anda inginkan.
Ads
Jangan ambil peduli dengan apa yang orang kata tentang peralatan anda yang tahap cap ayam kerana yang berjenama pun belum tentu mendatangkan hasil. Hormatilah peralatan anda dan ia akan berbakti dengan baik kepada anda.
Kuasailah dan kenalilah kelemahan dan kekuatan peralatan anda dengan sebaik-baiknya kerana sekiranya anda gagal menguasai peralatan bermakna anda membuang masa dan wang ringgit.
Ads
Kuasailah dan belajar cara terbaik dan mudah untuk mencari serta persembahkan umpan anda. Ianya amat menjimatkan dan lebih berkesan.
Carilah teman memancing yang baik dan boleh diharap kerana dunia memancing memerlukan teamwork, kerjasama dan toleransi untuk menjayakan sesuatu trip.
Ads
Buatlah perancangan yang baik, terutamanya dari segi bajet kewangan anda sebelum bercadang untuk sesuatu trip yang jauh dan memakan masa berhari-hari lamanya.
Belajarlah menghormati alam semulajadi. Jika anda menghormatinya, ia akan berbakti kepada anda dengan hasilnya.
Hormatilah diri kita sebagai pemancing dan sesama pemancing yang lain kerana dalam dunia memancing kita sama saja, cuma pengalaman dan ilmu yang memisahkan, tapi rezeki tidak mengenal sama ada anda otai ataupun newbies.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Hutan simpan Temenggor di Perak merupakan salah satu lokasi atau lubuk pancing tumpuan bagi kaki pancing. Keadaan hutan dan sungai pergunungan yang masih baik menjadikan Temenggor sebagai salah satu lubuk pancingan hebat. ebarau, tengas, dan raja sungai iaitu sang kelah masih boleh ditemui di sungai-sungai pergunungan di sini.
Beberapa kali kunjungan penulis ke sungai pergunungan di Temenggor tidak pernah mengecewakan. Namun, apa yang sedikit mengecewakan ialah ikan target utama iaitu kelah yang agak sukar kerana beberapa masalah yang timbul.
Bersama Kelab Raja Rimba Adventure, kami mengatur pelan sekian kalinya untuk mencari sang kelah sebagai tangkapan utama. Kunjungan atau trip kali ini betul-betul untuk mencari ikan. Setelah beberapa minggu merancang, hari yang ditunggu tiba dan kami masuk ke Temenggor dengan kelengkapan pancing yang ada dengan menaiki lima buah kenderaan pacuan empat roda.
LUBUK SIRA DINDING
Untuk memaksimumkan masa memancing, kami bertolak masuk ke Hutan Temenggor sekitar jam 1.00 pagi. Beberapa masalah teknikal pada kenderaan tidak dapat dielakkan, namun sekurang-kurangnya kami meminimakan masalah yang timbul dengan meminimakan jumlah pacuan.
Setelah tiba di kem utama di Sira Dinding, kami mengambil keputusan untuk bermalam dan akan trekking ke lubuk bahagian hulu. Pada malamnya, kami menyiapkan pancing dan barangan keperluan untuk hari esok. Sempat juga kami menghulurkan umpan di kem utama hasilnya beberapa ekor tengas daun berjaya menjadi santapan kami sebelum tidur.
Awal pagi keesokannya, setelah bersarapan dan berkemas mana yang patut, kami mula trekking menuju ke hulu sungai.
Setelah hampir 2 jam berjalan kaki melalui trek di tepi sungai dan sesekali mendaki bukit, kami akhirnya tiba ke satu kawasan yang kami rasakan sesuai untuk mendirikan khemah sebagai kem untuk bermalam.
HENJUTAN PENGHUNI SUNGAI
Setelah siap mendirikan kem khemah untuk bermalam dan berehat seketika, kami bergegas mencapai set pancing dan mula mengikat mata kail serta bersiap apa yang perlu. Kami berpecah kepada 3 kumpulan kecil memilih lubuk yang berlainan bagi melabuhkan umpan. Penulis dan 2 orang lagi rakan memilih kawasan yang mempunyai lubuk yang agak dalam di bawah kawasan berarus laju.
Pilihan umpan yang ada ialah cengkerik dan kelapa sawit selain lipas batu yang boleh ditemui di bawah batu-batu lembab di tepi sungai. Setelah umpan dilabuhkan, kami tidak perlu menunggu lama. Rod Berkley Cherrywood penulis yang berumpankan cengkerik melentur laju ke bawah menandakan ada yang melarikan umpan. Dengan pantas penulis menyambar pancing yang hampir terjatuh dan terus mengepam laju kekili Shimano Aernos yang digunakan sebagai padanan rod tadi.
Ahhh, larian ikan dalam arus deras begitu mengasyikkan, tambahan pula melihat hujung rod yang meliang-liuk melentur menahan asakan. Seketika kemudian seekor tengas bersaiz 800 gram dinaikkan. Ini petanda baik.
Sedang gembira menaikkan ikan pertama, tiba-tiba rod Ayie pula melentur. Apa lagi, terus saja Ayie membalas dan memulakan aksi karauan. Tali yang memenuhi gelendong setelah dikarau akhirnya menampakkan seekor tengas daun di hujung kail. Selepas itu, berselang seli antara kami bertiga melayan larian ikan terutama spesies tengas. Sesekali tengas daun juga berjaya mencuri umpan.
MALAM PESTA BAUNG
Sebelah petang kebanyakan spesies didominasi oleh tengas. Saiznya pula boleh tahan sekitar 1 kg. Namun, hentaman kelah masih di nanti. Umpan yang sering dijamah dengan cukup laju ialah cengkerik dan lipas batu. Habis batu-batu di sekeliling kami selak untuk mendapatkan lipas batu. Umpan sawit pula sedikit perlahan namun masih dijamah oleh ikan.
Beransur ke malam, baung mula menunjukkan diri. Apabila hari sudah gelap, kebanyakan umpan yang dilabuhkan disambar baung. Tengas semakin kurang dan bertukar kepada baung. Sekitar jam 10 malam, tiba-tiba kekili Shimano Aernos menjerit membuatkan kami yang agak santai menjadi kelam kabut.
Dalam samar-samar cahaya, AJ bergegas mencapai rod dan mengetatkan drag secepat mungkin. Tak sampai 5 minit, tali mono kekuatan 20lbs tiba-tiba putus ketika menahan asakan tersebut. Kami berpandangan dengan perasaan bercampur baur. Kami yakin jeritan kekili tadi akibat henjutan kelah kerana rod tersebut dicangkuk umpan sawit. Paling tidak pun, tengas bersaiz besar.
LENGGOK SANG KELAH
Awal pagi, kami mendapat khabar rakan kami di bahagian atas sudah mendaratkan kelah. Terus cerah mata dan kembali bersemangat menghulur umpan. Tidak sia-sia kerana tiba-tiba kekili Ryobi Navigator milik AJ menjerit minta dikarau. Pantas AJ mula mengepam laju dan bergerak ke arah yang lebih terbuka bagi mengelakkan sebarang masalah.
Tali dipam masuk dan sesekali drag diketatkan sambil menahan asakan larian ikan di hujung kail. Tak lama kemudian muncul si sisik merah dengan lenggok perlahan di gigi air dan sesekali cuba melakukan henjutan akhir ke tengah namun tak terdaya. Akhirnya seekor kelah hampir 2 kg berjaya didaratkan. Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah kami terutamanya AJ yang berjaya menaikkan kelah tersebut.
Setelah itu beberapa ekor tengas lagi berjaya dicungkil keluar dari dalam air. Ayie yang pula yang tidak jemu menghulur umpan dari semalam akhirnya mendapat sambaran yang agak luar biasa. Kamera di tangan diletakkan dengan pantas dan tangan beralih pada pancingnya.
Penantiannya berbaloi apabila seekor lagi kelah yang lebih kecil kelihatan setelah bertarung menahan asakan dari dalam air. Jeritan kepuasan kedengaran walaupun sedikit tenggelam dengan bunyi larian air sambil mengangkat ikan ke udara.
PULANG DENGAN KEPUASAN
Sekitar jam 4 petang, kami berkumpul dan berkemas untuk trekking ke kem utama kami di bahagian bawah sungai. Setelah dikumpulkan hasil tangkapan, spesies tengas paling banyak dan 5 ekor sisik merah atau kelah berjaya dinaikkan. Setelah berkemas lebih kurang dan membersihkan kawasan khemah, kami mula trekking pulang.
Hampir jam 7 malam, kami tiba di kem utama. Malam terakhir kami makan malam dan kelah stim menjadi hidangan utama bersama-sama beberapa ekor tengas. Setelah makan malam dan berehat ala kadar, kami mengambil keputusan untuk terus keluar ke jalan utama pada malam itu juga memandangkan perancangan kami sedikit lewat dari jadual asal.
Selepas membersihkan kawasan persekitaran dan mandi di sungai yang begitu dingin airnya, kira-kira jam 9 malam kami terus bergerak keluar.
Dalam keadaan penat begini, pastinya lewat tiba di luar nanti dan esok belum tentu boleh terus memandu ke Lembah Klang akibat kepenatan. Namun perjalanan malam ini tetap kami teruskan dengan senyuman kepuasan dek lenggok si sisik merah dalam trip kali ini.
IKAN pari seberat 1.935 kilogram yang dipancing pada jam 12.19 tengahari, membawa tuah kepada Hambali Mikam apabila ditabalkan juara Cabaran Pantai Remis, Ahad lalu. Hambali yang hadir ke Pantai Remis bersama beberapa rakan dari Segamat, Johor berjaya menewaskan Ahmad Othman dari Manjung, Perak yang menaikkan ikan belukang 1.380 kilogram dan Adib Mustaqim yang menjinakkan seekor lagi spesis pari seberat 1.375 kilogram.
Dengan kemenangan itu, Hambali membawa pulang hadiah wang tunai RM44,500.00 serta tambahan RM200.00 lagi sebagai hadiah tambahan yang ditawarkan penganjur untuk peserta yang menaikkan spesis pari dalam pertandingan itu. Ahmad pula berpuas hati dengan wang tunai RM10,500.00 manakala Adib menerima RM5,500.00 serta tambahan RM100.00 untuk hadiah khas spesies pari.
Hadiah kepada pemenang disampaikan Pengerusi Persatuan Nelayan Sungai Sembilang, Datuk Abdul Wahab Hamid. Turut hadir Pengerusi JKKP Sungai Sembilang, Muhammad Radzi Mahmud dan Pengarah Urusan Wakjali Event Management, Md Zali Kasran. Md Zali berkata, sebanyak 502 ikan dihantar oleh peserta ke meja hakim untuk ditimbang manakala anggaran 300 ekor lagi tidak dihantar oleh peserta berikutan saiz yang agak kecil.
Menurut beliau lagi, selepas Pantai Remis, Wakjali Event Management akan menganjurkan satu acara mega iaitu Shimano Surfcasting Challenge 2017 di Pantai Puteri Melaka, 3 Disember ini. Acara tajaan Shimano itu menawarkan hadiah wang tunai hampir RM90,000.00 serta barangan Shimano bernilai hampir RM45,000.00. Sebanyak 80 unit kekili pancing Shimano akan dijadikan hadiah cabutan bertuah dan cabutan bonanza ialah Shimano Stella bernilai hampir RM5,000.00 serta Shimano Bullseye bernilai hampir RM2,000.00.
Di Pantai California, ribuan sotong jumbo muncul dan mati di kawasan pantai di sana sekitar Januari 2005.
Tidak banyak maklumat berkaitan sotong ini direkodkan kerana sotong ini hidup di dasar laut berkedalaman 700 meter.
Hal ini menyukarkan saintis mengenal pasti punca kematian ribuan sotong ini. Keracunan toksik menjadi salah satu teori punca kematian sotong ini, namun hal ini disanggah kerana tiada ikan atau pemangsa lain yang mati.
Kejadian hampir sama turut berlaku di San Diego sekitar 2002.
Ratusan paus (pilot whale) ditemui mati di perairan Tasmania, Australia pada tahun 2009. Menurut rekod, lebih 400 paus mati di lautan dan lebih daripada 200 ekor paus terdampar di Pantai King Island bersama ikan lumba-lumba.
Saintis dan pasukan penyelamat berkejar ke sana, namun hampir 140 ekor yang terdampar telah disahkan mati ketika mereka tiba di tempat kejadian.
Hanya sekitar 60 ekor paus dan 7 ekor ikan lumba-lumba berjaya diselamatkan. Selang beberapa bulan kemudian, 150 ekor paus ditemui mati di perairan Tasmania.
Perubahan ekologi habitat merupakan teori punca kematian yang paling logik, namun tetap tidak menjawab semua persoalan tentang punca kematian.
Sekitar tahun 2012, Tasik Erie di Ontario, Kanada diselubungi misteri kematian hampir 10,000 ikan dan burung camar yang terdampar.
Laporan pertama mengatakan tiada sebarang kaitan pencemaran yang menjadi punca kematian tersebut.
Teori lain tentang punca kematian ini ialah akibat penyongsangan kualiti air di mana fenomena biasa yang mengakibatkan air yang kurang oksigen dan lebih sejuk naik ke permukaan.
Begitu pun, para penyelidik menolak teori ini sebagai punca utama kematian misteri kerana fenomena itu tidak berkait dengan kematian burung camar.
Sekitar Mac 2013, penduduk di kawasan bandar Coronel, Chile terkejut setelah melihat pantai di kawasan mereka menjadi merah akibat jutaan udang yang mati terdampar.
Walaupun tiada penjelasan saintifik punca kematian, penduduk di sana yakin punca kematian ini disebabkan oleh 2 kilang arang batu berhampiran yang menyebabkan suhu air meningkat.
Begitu pun, penjelasan secara saintifik masih belum ada dan kekal menjadi misteri.
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...