Ilmu Memancing Siakap Yang Perlu Diketahui

Share

 

Rahsia utama nak memancing atau lebih tepat lagi nak berhasil pancing siakap ni kena pandai baca air! Ini disebabkan oleh tabiat siakap yang suka duduk muara sungai. Waktu terbaik seelok-eloknya ialah masa air dah dekat-dekat nak pasang penuh. Ini kerana pada waktu ini tahap saniliti atau kemasinan air laut yang bercampur dengan air sungai cukup serasi dengan keaktifan siakap ni.

 

 

Siakap boleh dipancing dengan pelbagai cara. Secara tradisi, siakap dipancing dengan menggunakan umpan hidup seperti udang, belanak ataupun jenjulung. Sementara kaedah yang paling berkesan ialah teknik apungan menggunakan pelampung.

 

Saya lebih menggemari peralatan pancing ringan untuk memburu siakap. Kekili siri sederhana (3000-4000) yang memuatkan tali 15-30 lb. Joran jenis fast action 10-20 lb dan perambut kejutan sekitar 30-50 lb.

 

 

Perambut yang lebih kasar perlu digunakan kerana siakap berkemampuan memutuskan tali dengan hujung operkulumnya yang tajam umpama pisau. Namun tidaklah perlu menggunakan perambut dawai meskipun ada juga yang menggunakannya dan berjaya juga menaikkan siakap.

 

Teknik perambut yang berkesan (teknik apungan) ialah dengan meletakkan batu ladung kecil pada tali perambut di antara umpan dan pelampung. Tujuannya adalah bagi mengelakkan umpan berenang di permukaan air. Lebih mengundang masalah jika umpan terutamanya belanak akan berenang menghampiri tali utama sekaligus menyebabkan tali utamanya berselirat dengan perambut dan mata kail.

 

 

Sementara jarak perambut bagi pelampung dan umpan bergantung kepada tahap kedalaman air. Sekiranya muara atau sungai itu dalam maka perambut perlu lebih panjang kerana sifat siakap gemar menyerang hendap mangsa dari bawah. Sekiranya umpan berada lebih bawah daripada paras siakap berlegar maka peluang strike juga rendah.

 

Sekiranya lebih meminati pancingan kaedah moden seperti mengilat dan menunda, waktu yang paling sesuai ialah sewaktu air surut atau ketika bunga pasang. Ketika ini peluang untuk strike adalah lebih tinggi kerana lazimnya mereka akan mendiami kawasan berstuktur pada waktu ini.

 

 

Maka carilah spot yang berstruktur seperti batu-batu, tiang-tiang jambatan, reba-reba kayu atau tukun-tukun kapal pecah.

Published by
Amang