Nama penuh: Nazeri b. Mat
Nama FB: Naz Damaift
Usia: 51 tahun
UMPAN: Sejak bila anda mula memancing dan membeli sendiri peralatan memancing?
NAZ: Menceburi bidang memancing ni sejak berumur 9 tahun. Waktu itu mengikut arwah ayah memancing kat sawah dan juga sungai.
Saya mula membeli peralatan pancing sendiri ketika berumur 13 tahun (sebelumya hanya menggunakan peralatan pancing arwah ayah).
UMPAN: Sebelum fokus kepada pancingan kolam, pancingan apa yang anda telah ceburi?
NAZ: Sebelum terlibat dalam aktiviti pemancingan kolam, saya lebih meminati pancingan laut serta sungai (selalu ikut arwah ayah ke laut ketika berumur 15 tahun.
UMPAN: Pada pandangan anda, apa kriteria yang perlu ada untuk menjadi pemancing kolam?
NAZ: Pada pandangan saya, kriteria yang perlu ada pada seorang pemancing kolam adalah seperti kemahiran dalam menghasilkan umpan, kemahiran dalam pelbagaikan teknik perambut dan teknik memancing, sikap bertolak ansur dan penyabar.
UMPAN: Anda ada mengeluarkan umpan sendiri? Jika tiada, kenapa anda tidak menghasilkannya?
NAZ: Iya, banyak juga umpan yang saya buat sendiri, yang saya share untuk rakan-rakan sehobi sehanyir melalui FB saya dan juga group memancing yang saya tubuhkan.
UMPAN: Ceritakan pengalaman yang pahit dan manis sepanjang bergelar pemancing kolam?
NAZ: Banyak pengalaman manis sepanjang bergelar pemancing kolam. Antaranya… menjadi pemancing pertama yang berjaya pecahkan jackpot patin Mekong di Kolam D’Kalong, Ulu Yam.
Umpan setting air tangan saya sendiri berjaya menobatkan seorang sahabat menjadi johan pertandingan malam Kolam Sri Bayu Tekala.
Antara pengalaman pahit yang saya tak dapat lupakan… dilarang memasuki Kolam Dheritage Ulu Yam apabila saya pecahkan dua kali jackpot tongsan.
Dalam masa yang sama rumah saya dipecah masuk pencuri dan banyak barang-barang pancing saya yang hilang termasuk rod dan mesin kesayangan.
UMPAN: Berikan sedikit tip untuk memperoleh hasil setiap kali turun memancing?
NAZ: Tip untuk berjaya setiap kali turun memancing khasnya di kolam… perlu selidik atau bertanya pada petugas kolam tentang jenis atau perisa umpan yang digemari ikan-ikan di kolam tersebut.
Tanya juga teknik yang selalu diguna pakai oleh pemancing kolam berkenaan.
UMPAN: Apa pencapaian tertinggi yang telah diperoleh?
NAZ: Tiada pencapaian tinggi untuk pemancing kolam. Setakat ini hanya berjaya membawa pulang wang hadiah rangking bulanan setiap kolam.
Lagipun saya kurang sertai pertandingan memancing yang menawarkan hadiah hingga ratusan ribu ringgit.
Saya lebih senang menjadi pemancing kolam dan memancing dengan damai dan tenang.