“Memancing kena enjoy, jangan ada sebarang tekanan, barulah perasaan gembira dan feeling akan mengalir dalam diri kita.”

“Untuk menjadi seorang pemancing yang baik, perlu senantiasa belajar banyak perkara tentang ilmu memancing dan jika sudah berilmu jangan lokek dan sombong untuk berkongsikan dengan pemancing lain terutama pemancing baru,”

itu kata azimat dari otai yang begitu professional dan dikenali dalam arena pancingan tanah air, Mejar (B) Ismail Feisol.

 

 

Bercerita dengan lebih lanjut perihal mengenai dirinya, Ismail atau lebih senang disebut Mejar atau ‘Major’ dikalangan orang yang mengenali dirinya, berkata memancing kini sudah begitu sebati dengan dirinya.

 

“Saya minat memancing sejak dari kecil lagi. Keluarga saya memang gila memancing termasuklah datuk nenek saya dan tempat favourite memancing kami sekeluarga adalah perairan Pulau Langkawi dan sekitar negeri Kedah.”

 

 

“Bahkan, pada awal usia kanak-kanak saya telahpun dibawa oleh keluarga memancing di laut dan ketika usia lima tahun saya telah berjaya merasai pengalaman bagaimana bergasak menaikkan ikan yu besar.”

 

“Kalau nak tahu, dua hari lepas saya dan isteri bernikah, saya pergi berbulan madu dan bulan madu kami itu sebenarnya kami pergi memancing di Langkawi,” katanya.

 

“Selepas menamatkan pengajian, barulah saya betul-betul serius dengan arena pemancingan dalam negara, luar negara, menternak dan buat bisnes berkaitan ikan, terlibat dengan pelbagai program dokumentari dan banyak lagi.”

 

 

“Sejak itu jugalah saya diundang sebagai kolumnis untuk kebanyakan penerbitan di tanah air berkaitan hobi memancing,” katanya yang telah memancing hampir keseluruhan tempat memancing terbaik dunia.

 

Ujar Major lagi, program dokumentari memancing pertama beliau di kaca televisyen adalah Pancing-Pancing yang disiarkan di RTM pada tahun 1996, dimana beliau bergandingan

dengan personaliti Maznah Zulkifli. Program berkenaan diterbitkan oleh Pesona Pictures dan disiarkan selama tiga tahun.

 

 

Disebabkan master mengenai serba-serbi tentang ikan baik kaedah pemancingan, teknik, kefahaman mengenai fisiologi ikan, bapa kepada tiga cahaya mata ini seringkali diundang

memberi ceramah mengenai Fishing World-Sport & Field oleh kebanyakan negara di dunia seperti Australia, Amerika Syarikat, Thailand, Denmark, New Zealand, Jepun, Indonesia, Arab Saudi dan banyak lagi.

 

Walaupun menyertai pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada tahun 1978, hobi memancing dan minatnya tentang ikan tidak pernah surut. Bahkan sebenarnya `memang tidak boleh tinggal langsung`.

 

 

Bertugas memerangi ancaman komunis di Royal Belum sekitar tahun 1980-an, turut mendekatkan dirinya dengan peluang memancing di kawasan `syurga ikan` (Orang awam dilarang masuk disebabkan darurat ketika ini).

Katanya, waktu itu hanya tuhan sahaja yang tahu, bagaimana seronoknya memancing ikan di kawasan yang banyak ikan dan bersaiz mega terutama ikan kelah.

 

SAMBUNG PENGAJIAN

Pada tahun 1993, Ismail bersara wajib dari ATM dengan berjaya menyandang jawatan mejar.

Disebabkan minatnya mendalam dengan dunia ikan, beliau kemudiannya melanjutkan pengajian di Oceanic Institute Brest, di Perancis dalam bidang fisiologi ikan selama enam bulan.

 

Bahkan Ismail juga dilantik pernah dilantik ‘produk tester’ jenama terkenal dunia seperti Lucky Craft, Duel, Ofmer, serta jenama lain.

Malah pengeluar gewang tersohor dunia, Lucky Craft telah mengiktiraf Ismail sebagai pemancing professional dan beliau satu-satunya pemancing dari Malaysia dan Asia Tenggara mendapat pengiktirafan berkenaan.

 

 

Tambah Ismail, harus diingat, memancing ini perlu sentiasa enjoy dan untuk memancing sebenarnya boleh pakai apa sahaja peralatan memancing, asalkan ia bersesuaian dengan ikan yang hendak dipancing.

 

Nasihatnya terutama kepada pemancing baru, tidak perlu terikut-ikut menggunakan set pancing mahal, ikut kemampuan poket masing-masing.

Pada masa yang sama sentiasa amalkan etika memancing yang betul seperti sentiasa lakukan catch & release, ambil ikan untuk makan hanya bila perlu dan sentiasa menjaga kelestarian alam padang pancing.

 

Tidak sesekali mahu berbangga dengan apa yang dikecapinya ketika ini, Ismail menambah, seorang pemancing sejati adalah pemancing yang dihormati kawan dan juga lawan.

 

HARAPAN

“Jika kita lihat, arena pancingan tanah air semakin berkembang dengan saban hari kita melihat ramai orang diluar sana mula berjinak-jinak dengan hobi ini.

Ia jelas member satu petanda yang baik, kepada semua pihak sama ada pihak pengeluar barangan pancing dan juga pihak kerajaan.

 

 

“Sayangnya, padang pancing yang kita ada sekarang ini semakin kekurangan ikan dan perlu satu gerakkan yang lebih intensif dilakukan oleh semua pihak.

Ancaman ikan pendatang yang bermahajalela sehingga memusnahkan populasi ikan tempatan juga harus diambil tindakan.

 

“Untuk semua kaki pancing, memancinglah sepenuh hati, kerana ia satu hobi yang amat menyeronokkan.

Sebagai seorang pemancing sentiasa amalkan etika-etika pemancing, sentiasa setiakawan dan jangan sesekali cuba merendahkan moral pemancing lain terutama pemancing-pemancing baru,” katanya mengakhiri perbualan.

 

 

Nama penuh: Ismail Feisol

Tarikh Lahir: 11 Ogos 1959

Tempat Lahir: Sitiawan Perak, dibesarkan di Kedah

Pekerjaan: Pemancing professional, ahli perniagaan, konsultan, penceramah jemputan

Hobi selain memancing: Mengambil gambar, kumpul senjata melayu lama & pemetik api Zippo koleksi khas

Lokasi memancing disifatkan terbaik dunia: Australia perairan air tawar dan air masin, Denmark dan perairan Sabah.

Lokasi pancing yang ingin dikunjungi: Irian Jaya.