Dalam industri pancingan sukan di Malaysia, tidak ramai figura dalam teknik fly fishing atau pancingan layang yang boleh dikatakan otai.
Nick Ooi, Dron Lee dan CK Ling (sekadar menyebut beberapa nama) merupakan antara figura yang mempunyai nama besar di Malaysia khususnya untuk pancingan layang.
Pancingan layang antara teknik pancing yang semakin meningkat naik sekitar tahun 2006.
Waktu itu jugalah merupakan titik tolak bagaimana nama Naveen Kumar turut terhias dalam kancah pancingan layang Malaysia sehingga menjadi antara pemancing fly dan fly-tyer terkenal di Malaysia.
Langkah awal ke dunia Fly Fishing
Menurut Naveen, ceritera tentang dirinya mula meminati pancingan layang bermula sekitar tahun 2006-2007.
Walaupun sudah menjadikan memancing sebagai hobi sejak kecil, dia belum pernah mencuba teknik pancing layang waktu itu.
Sewaktu mula-mula dia melihat aksi pancingan layang, keterujaan untuk mencuba teknik tersebut tidak mengambil masa yang lama untuk timbul.
Naveen mula mencari bahan bacaan berkaitan fly fishing daripada banyak sumber. Setelah sekian lama, dia merasakan tiba waktu untuknya mencari dan bertanya kepada figura yang
betul-betul otai dalam pancingan layang untuk memberikan gambaran kefahaman yang lebih mudah pada dirinya.
Walaupun pada asalnya perasaan malu wujud, dia tidak menjadikannya sebagai kekangan untuk dia lebih mendalami ilmu pancingan layang.
Dari situlah, dia sering berulang-alik dan menghabiskan masa di kedai Tackle Box Adventure untuk mendalami teknik pancingan layang bersama Nick Ooi.
Selain Nick Ooi, Naveen turut mengatakan bahawa Leong Hon Kit dan Dron Lee juga antara figura yang banyak membantunya memahami dan mendalami ilmu fly fishing dan bagaimana mengikat fly.
Penghargaan sebagai fly-tyer
Sewaktu Naveen mula mencuba pancingan layang, dalam masa yang sama juga dia mendalami ilmu mengikat fly atau fly-tyer.
Teknik mengikat fly-tyer Naveen banyak mendapat tunjuk ajar daripada Dron Lee yang merupakan antara fly-tyer terkenal di Malaysia.
Setelah beberapa lama, Naveen mula membuat fly mengikut cita rasa dan kreativitinya sendiri.
Menurut Naveen, kepuasan yang paling dinikmatinya ialah apabila dia berjaya mendaratkan ikan dengan menggunakan fly buatan tangannya sendiri.
Tambah manis jika rakan-rakan yang menggunakan fly buatannya turut berjaya mendapatkan ikan.
Pada tahun 2012, nama Naveen diangkat sebagai salah seorang selebriti undangan (Guest Fly-tyer) untuk International Fly-Fishing Festival 2012 yang berlangsung di Taman Botani Negara, Shah Alam, Selangor.
Ini merupakan antara penghargaan dan momen paling manis kerana menjadi antara undangan dan mewakili Malaysia bersama beberapa orang tetamu lain dari pelbagai negara.
Harapan dan tip untuk pemancing baru
Naveen sempat berkongsi tip khususnya untuk pemancing yang baru mahu mencuba pancingan layang.
Menurut Naveen, pemancing yang ingin mencuba teknik ini perlu mempunyai minat yang mendalam, bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Dia juga menyarankan agar pemancing membuat bacaan awal tentang fly fishing dan berjumpa dengan pemancing yang lebih lama dalam industri untuk mendapatkan gambaran awal tentang fly fishing.
Selain itu, Naveen juga berharap agar komuniti pemancing di Malaysia tidak kira apa teknik memancing untuk lebih terbuka dalam soal perkongsian ilmu memancing.
Malah, pemancing juga seharusnya tidak lupa untuk memikirkan bagaimana untuk terus konsisten dalam konservasi alam sekitar dan sumber perikanan.
“Semua pemancing sama sahaja walaupun mungkin berlainan teknik. Namun bagi saya, momen ketika memancing bersama kawan-kawan, menghayati persekitaran semula jadi
yang terjaga mempunyai nilai yang lebih berharga berbanding menaikkan ikan semata-mata dan itulah motivasi saya untuk terus memancing hingga hari ini,” tambah Naveen sebelum menamatkan perbualan.
Profil
Nama : Naveen Kumar a/l Muniandy
Umur : 39 tahun
Kerjaya : Profesional IT di IBM
Asal : Petaling Jaya