WINFREY: Saya mula memancing sejak usia 6 tahun ketika menemani arwah mak ke bendang.
Bermula dengan sebatang joran buluh dan berumpankan cacing skill kemahiran memancing saya bercambah mengikut peringkat usia. Usai tamat pengajian saya memancing secara terhad.
Ads
UMPAN: Kenapa anda memilih hobi ini berbanding hobi lain?
WINFREY: Memilih untuk memancing berbanding hobi lain kerana keseronokan yang dirasai setiap kali umpan diragut ikan.
Satu perasaan yang penuh keghairahan dan tak tergambarkan keseronokannya. Memancing bukan setakat mendapatkan ikan tetapi kedamaian jiwa dan melatih kesabaran.
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi sepanjang memancing dan apa harapan anda untuk meneruskan hobi ini?
WINFREY: Setakat ini tiada rintangan yang terlalu hebat ketika memancing cuma baru-baru ini ketika menyertai fishing trip ke One Fathom Bank saya mengalami mabuk laut. Itu sahaja.
Ads
Harapan saya agar saya punya lebih banyak waktu untuk pergi memancing.
UMPAN: Ceritakan pengalaman manis & pahit ketika memancing?
WINFREY: Pengalaman memancing saya kebanyakannya manis-manis belaka dan jarang pulang dengan tangan kosong.
Setakat ini belum ada lagi kenangan pahit ketika memancing kerana saya memancing untuk suka-suka saja.
Ads
Kalau ada berlaku perkara tak menyeronokan mungkin saya tidak seronok untuk memancing lagi.
UMPAN: Pencapaian membanggakan dan apa sasaran anda seterusnya?
WINFREY: Pencapaian membanggakan setakat ini apa ya… selain dapat hasil memancing saya juga suka berkongsi hasil tersebut bersama rakan-rakan dan jiran.
Dan saya belum pernah menyertai mana-mana pertandingan memancing. Teringin juga mencuba satu hari nanti jika berkesempatan.
Kesimpulannya… tidak ada apa-apa pun pencapaian yang ingin dibanggakan.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Dalam dunia pancingan moden hari ini, nama Jakub Vagner sememangnya cukup dikenali. Beliau merupakan seorang pemancing ekstrem dan pengembara yang diakui kehebatannya dalam memburu ikan gergasi di serata dunia termasuk di lokasi yang sangat terpencil.
Siri televisyen Fish Warrior menjadikannya ikon ‘pahlawan ikan’ bagi rata-rata pemancing seluruh dunia.
Pengembaraan di serata pelosok dunia memerlukan kekuatan psikologi, fizikal, skil dan teknik memancing serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan masyarakat setempat.
Jakub pada awalnya bekerja sebagai guide memancing di banyak negara. Ketika di Australia dan bekerja dengan Big Game Fishing sebagai guide mendaratkan swordfish, tuna
dan jerung, dia telah bertemu dengan Rex Hunt yang digelar sebagai ‘Australian fishing guru’ atau sifu memancing Australia.
Jakub kemudiannya menjadikan Rex Hunt sebagai mentor memancing dan spiritualnya.
Rekod Memancing Unik
Sepanjang berkelana ke serata dunia memburu pelbagai spesies ikan, Jakub telah banyak mencipta rekod tangkapan rasmi dan tidak rasmi, termasuk rekod rasmi International Game Fishing Association (IGFA).
Antara rekod tangkapan Jakub yang unik ialah pada Februari 2008 di mana dia memecahkan rekod spesies goliath catfish sebanyak 3 kali berturut-turut di Lembah Amazon.
Ketika ekspedisi 3 minggu di Amazon, Jakub mendaratkan spesies tersebut seberat 190 kg yang merupakan rekod terbaru.
Kemudiannya, dia berjaya mendaratkan 2 ekor lagi yang beratnya 196 kg dan 215 kg dan memecahkan rekodnya sendiri.
Dalam ekspedisi yang sama juga, Jakub berjaya memecahkan apa yang digelar ‘tembok 3 meter bagi spesies air tawar’ apabila menaikkan arapaima sepanjang 307 cm dengan berat 154 kg.
Tangkapan ini bukan sahaja merupakan rekod bagi Jakub Vagner, malah merupakan rekod bagi Arapaima gigas.
Sumbangan & Pengiktirafan
Dalam lapangan memancing, Jakub menjadi antara pemain atau kunci utama yang menyokong konsep tangkap dan lepas.
Dia juga berjaya membuktikan kehadiran besar ikan catfish bersaiz trofi di perairan negaranya iaitu Republik Czech selepas mendaratkan 147 ekor ikan tersebut dalam masa 40 jam yang juga menjadi salah satu rekod menarik bersama 7 orang pemancing lain.
Pada 2010, pihak IGFA telah memberi penghormatan kepada Jakub dengan jemputan untuk menerbitkan artikelnya tentang pancingan di Congo, Afrika.
Artikel tersebut telah diterbitkan dalam buku tahunan IGFA tahun 2010 dan mendapat respon yang sangat positif.
Selain sering dijemput untuk wawancara, Jakub menulis artikel untuk beberapa majalah antarabangsa berkaitan pengalamannya.
Pada tahun 2010, Jakub menerbitkan buku tulisan pertamanya. Buku dengan judul “My Friend the Catfish” ini mengambil masa 13 tahun sebelum berjaya siap sepenuhnya.
Impian Legenda Pahlawan Ikan
Bagi Jakub, impian terhebatnya ialah mahu memetakan lokasi spesies terbesar ikan air tawar gergasi dan jarang ditemui di bumi.
Dia telah menyenaraikan 24 spesies ikan air tawar gergasi, mewakili pemangsa tertinggi bagi setiap sungai dan tasik terbesar di bumi. Setiap daripadanya mencapai 100 kg berat dan 2meter panjang.
Oleh kerana lebih separuh daripada 24 spesies itu sukar ditemui dan dijangka pupus dalam beberapa puluh tahun lagi, projek besar ini tiada had masanya.
Selepas 8 tahun projek ini bermula, pahlawan ikan ini telah mengembara ke semua benua kecuali Antartika bagi mencari spesies dalam senarai 24 spesies ini.
Setakat ini dikatakan 16 daripada 24 spesies itu telah berjaya dipetakan setelah mengharungi kepayahan bertualang ke serata ceruk lubuk yang sangat terpencil di dunia.
Bagi sesetengah kaki pancing baru, tidak berapa mengenalinya. Ini kerana orang yang berbadan kurus dan sederhana tinggi ini cukup merendah diri. Tetapi bagi mereka yang gemarkan pancingan teknik casting dan juga trekking ke hulu-hulu sungai, nama tekong Karim tidak perlu dikenalkan lagi, kerana dia adalah salah seorang tekong tersohor di Tasik Kenyir.
Apa yang menarik tentang dirinya, adalah dia mengenali semua ceruk tasik buatan manusia terbesar di rantau Asia Tenggara ini. Dia mula bergelumang dengan hutan banat di Hulu Terengganu ini sejak berumur 16 tahun dengan bekerja sebagai buruh Jabatan Penyiasatan Kaji Bumi (kini Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia).
Bahkan, dia begitu arif mengenali nama puncak-puncak gunung yang pernah dia jejaki dahulu di seluruh Tasik Kenyir. Selain hutan di Hulu Terengganu, dia juga pernah bekerja dan tinggal di dalam hutan berminggu-minggu lamanya di hutan negeri Kelantan, Pahang, Perak dan Kedah.
Tekong Karim atau nama sebenarnya Abdul Karim Satar, 53 berkata dia sedikit pun tidak menyangka bahawa suatu hari nanti kawasan tempat dia membesar dan juga tempatnya mencari rezeki semasa usia muda akan ditenggelami oleh air bagi memberi laluan pembinaan Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud.
“Untuk pengetahuan, lokasi seperti Terenggan, Cacing, Mentong, Bewah, Kerbat, Petuang, Belimbing, Petang, Melor dan banyak sebenarnya berasal dari nama-nama perkampungan tradisional di Hulu Terengganu satu ketika dahulu.
“Hanya nama-nama ini sahaja kekal, sedangkan semua kampung-kampung ini berada di dasar Tasik Kenyir,” katanya ketika ditemui semasa kunjungan penulis ke Tasik Kenyir baru-baru ini.
Menurut anak jati Kampung Dura, Kuala Berang ini lagi, dia mengambil keputusan berhenti sebagai buruh lantaran sudah puas bermain dengan hutan. Sebaik sahaja tamat pekerjaan tersebut, dia bekerja sendiri sebagai seorang nelayan sungai dengan menjual hasil tangkapan ikan di pekan Kuala Berang selain mencari anak ikan kelisa dan kelah untuk dijual. Ada kalanya dia mencari kayu gaharu dan madu lebah di sekitar hutan Tasik Kenyir.
Bercakap soal ikan, Tekong Karim memberitahu, ikan di Tasik Kenyir cukup banyak, sehinggakan suatu ketika dulu ikan lain tidak begitu dihiraukan melainkan ikan kelah. “Boleh dikatakan, semua hulu sungai utama di Tasik Kenyir ikan kelah amat banyak, saiznya juga besar-besar. Saya sendiri pernah mendapat kelah hampir 20 kg seekor.
“Masa dulu bukan ada ais macam sekarang. Kalau dapat kelah pun kebanyakannya dijual secara salai kerana jarak perjalanan yang jauh,” katanya yang pernah memperolehi ikan tilan sebesar paha orang dewasa.
Selepas beberapa tahun menjadi nelayan sungai, pada tahun 2005, Tekong Karim mula beralih membawa boathouse selepas diminta oleh rakannya, seorang pesara Perhililitan, Pok Par, juga seorang tekong terkenal di Tasik Kenyir.
“Selepas dua setengah tahun bekerja membawa boathouse Pok Par, saya mengambil keputusan mengikut jejaknya dengan membina sebuah boathouse (no pendaftaran TKP 51) berkongsi modal dengan seorang saudara hasil dari wang simpanan masing-masing serta hasil jualan kayu gaharu,” katanya.
URUSKAN TRIP SENDIRI
Di saat ramai tekong yang sama usianya tidak lagi kerap turun membawa sendiri boathouse ataupun trip trekking, Tekong Karim antara segelintir ‘tekong lama’ yang masih lagi kuat mengerah kudrat membawa sendiri boathouse miliknya selain bertindak sebagai guide untuk trip trekking terutama ke Hulu Sungai Terenggan.
Untungnya, dia kini telah pun ada pewaris untuk meneruskan pekerjaannya membawa boathouse, iaitu anaknya Mohd Nazrul Hidayat (Yo) yang bertindak sebagai pembantunya setiap kali ada trip memancing.
Ujar ayah kepada enam cahaya mata ini, sukar untuknya meninggalkan pekerjaan yang diminatinya buat masa kini, lebih-lebih lagi dia akan berpeluang untuk turun casting bersama kaki pancing setiap kali khidmatnya ditempah pelanggan.
“Dahulu saya memang tak suka langsung casting, tetapi bila Baharom (Tekong Siam) ajak saya sama-sama casting, terus ia melekat hingga ke hari ini. Bila sebarau, badong atau toman besar menyambar gewang, itulah saat yang paling menyeronokkan bagi diri saya.
“Untuk trip trekking pula mencari kelah, setidak-tidaknya ia dapat mengimbau kenangan saya tinggal berminggu-minggu di dalam hutan semasa usia muda dahulu,” katanya yang bergelar datuk kepada dua orang cucu.
Ceritanya lagi, pernah satu ketika dia dan lima orang rakannya sekerjanya terputus bekalan makanan sehingga terpaksa keluar berjalan kaki 2 hari menuju ke Sungai Sephia, Hulu Tembeling, Pahang untuk mendapatkan bekalan makanan sebelum berjalan kaki 2 hari lagi menuju semula ke Hulu Terenggan.
Mengimbau kenangan pahitnya sepanjang dia bergelumang dengan Tasik Kenyir, Tekong Karim memberitahu dia pernah membawa boathouse tengah malam pulang ke Jeti Jenagor gara-gara ada seorang kaki pancing sakit asma yang teruk.
“Bukan perkara mudah membawa boathouse bergerak pada waktu malam, ia cukup berisiko tinggi kerana tidak nampak benda di hadapan, terutama tunggul atau balak hanyut. Syukurlah, segalanya selamat dan dua kali kes tersebut berlaku,” jelasnya lanjut.
Perkara yang paling tidak dapat dilupakannya sehingga ke hari ini adalah, dia pernah menyelam ke dasar Tasik Kenyir sedalam 150 kaki menggunakan tong gas bersendirian gara-gara untuk mencari dan mengambil semula enjin bot sangkutnya yang terjatuh.
Disebabkan keberaniannya itu jugalah, Tekong Karim kini orang yang akan dipanggil untuk mendapatkan khidmatnya oleh rakan-rakannya jika berlaku kes seperti itu.
“Sebagai seorang tekong, saya harus sentiasa bersedia berhadapan risiko dan mesti berani. Dalam masa yang sama, kepuasan hati pelanggan perlu dijaga. Ada masanya trip memancing dapat ikan banyak, ada masanya kurang. Itu semua rezeki datangnya dari Allah,” katanya lagi.
UMPAN: Sejak bila memancing dan mula menjadi tekong?
SHARIMAN: Saya dari zaman budak-budak lagi sudah biasa ke laut. Sudah biasa menangkap ikan dengan pelbagai kaedah yang dibenarkan.
Laut dengan saya seperti sukar untuk dipisahkan. Sebelum menjadi tekong sepenuh masa, saya juga pernah bekerja di pelantar minyak.
Pada tahun 2008, saya mula menjadikan menjadi tekong secara sambilan pada hujung minggu.
Hanya pada 2013 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi tekong sepenuh masa sehinggalah ke hari ini.
UMPAN: Kenapa anda memilih kerjaya ini?
SHARIMAN: Sebagai anak nelayan, saya merasakan ia umpama satu kesinambungan yang lebih baik.
Minat yang mendalam terhadap laut membuatkan saya untuk berpisah dengannya. Selain itu, dengan menjadi tekong, saya dapat melaksanakan hobi nombor satu saya iaitu memancing.
UMPAN: Pada pandangan anda, apa kriteria perlu ada untuk jadi tekong?
SHARIMAN: Menjadi seorang tekong bukan sekadar mampu memandu bot atau memiliki bot pancing sendiri.
Untuk menjadi seorang tekong yang baik anda haruslah memiliki pengalaman di laut. Dan untuk menjadi seorang tekong yang disayangi, anda haruslah mesra pada semua pelanggan.
Tiada istilah pilih kasih dan sentiasa memberikan servis yang tip top.
UMPAN: Apa rintangan yang dihadapi dan harapan anda dalam meneruskan kerjaya ini?
SHARIMAN: Tekong-tekong laut ini bertuankan laut dan alam. Jika keadaan cuaca yang tak menentu, maka pendapatan para tekong juga tidak menentu.
Tentu saja harapan para tekong sentiasa inginkan cuaca yang baik dan menemui spot baru agar bisnes dapat berkembang.
UMPAN: Ceritakan pengalaman memancing (trip) yang manis / pahit?
SHARIMAN: Secara peribadi, pengalaman paling manis sebagai pemancing apabila berjaya menjinakkan jerung seberat 80kg.
Sementara pengalaman manis membawa pemancing ialah berjaya memecahkan tong (banyak tangkapan) dengan ikan merah.
Pengalaman pahit pula pernah kena ribut kuat seorang diri di laut ketika menggunakan bot 19 kaki Panjang dan pernah diekori oleh hantu laut hingga sampai ke rumah.
Pakej
Nama bot: Pdcornia boat charters
Saiz: 32’ X 8’
Enjin: 115hp twin Yamaha
Harga sewa: RM1200
Jumlah pemancing: 6 jiggers
Waktu memancing: 8 pagi – 6 petang
Lokasi memancing: Karang, kapal karam, laluan kapal dan sempadan Malaysia-Indonesia
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...