Nama: Salhaidah Salleh
Nama sosmed : Ebek Mnis (Widuri)
UMPAN: Sejak bila anda menceburkan diri dalam hobi memancing?
MNIS: Sebagai anak nelayan yang dilahirkan di Kg. Air Papan, Mersing, saya terdedah kepada laut sejak kecil lagi. Padang permainan saya adalah laut.
Ikan-ikan adalah anak patung saya. Jadi saya sudah biasa dengan hobi memancing ni sejak dari kecil lagi.
UMPAN: Kenapa anda memilih hobi memancing ini berbanding hobi lain?
MNIS: Sebagaimana yang saya cakapkan tadi, saya sudah terbiasa dengan laut yang menyebabkan hobi memancing itu datang dengan sendiri.
Bila dah memancing saya tidak perlukan hobi lain lagi. Hobi memancing ni lebih selesa dan ada kepuasan tersendiri. Saya berasa aman dan tenang bila memancing di laut biru.
Apatah lagi bila melayan ikan-ikan yang terkena pancing. Keseronokannya susah nak diucapkan yang membuatkan saya ingin terus memancing dan memancing lagi.
UMPAN: Apa pula rintangan dan harapan anda pada hobi ini?
MNIS: Rintangan dalam memancing ni ada macam-macam. Serba-serbi mencabar dari segi laut gelora, mabuk laut dan kena sengat ikan.
Tapi itu semua tak mematahkan semangat saya untuk pergi memancing lagi.
Harapan saya ingin melihat lebih ramai lagi kaum hawa menjadi lady anglers. Banyak kelebihan dengan memancing ini untuk kaum hawa.
UMPAN: Ceritakan sedikit pengalaman pahit manis anda dalam memancing?
MNIS: Pengalaman paling sweet dalam dunia memancing ni bila ikan menyambar umpan yang baru kita lontarkan daan terasa sentapan tu di tangan kita.
Pengalaman pahit dunia pancing bila kena ribut kuat di lautan di atas bot yang rosak. Semua jadi kelam kabut… berdoa dan tawakal je la.
UMPAN: Selain memancing anda juga terlibat secara terus dengan industri memancing, boleh jelaskan?
MNIS: Selain dari hobi memancing dari minat yang mendalam, saya juga nenceburi bidang perniagaan kedai pancing.
Selain umpan pancing, alatan pancing yang berkualiti juga ada dijual. Saya juga ada buat trip pancing ke pulau-pulau area Johor.
Trip diaturkan oleh saya sendiri dan servis yang terbaik saya cuba ikhtiarkan.
Selain itu saya ada juga masuk pertandingan memancing dan pernah berapa kali menjadi juara dalam pertandingan pancing yang dianjurkan oleh beberapa penganjur.
Minat yang mendalam terhadap aktiviti pancing ni sehingga saya memiliki bot sendiri dan mempunyai lesen bot serta ahli Nelayan Johor Selatan.
Untuk kaum hawa yang berminat untuk belajar secara percuma boleh hubungi saya. Saya akan rekemenkan yang terbaik sama ada joran atau apa-apa peralatan pancing.