Bagi yang pernah mengikuti perkembangan siaran Jelajah Joran suatu ketika dahulu sudah pasti mengenali figura yang sinonim dengan jeritan `KEBABOOMM’ ini.
Aksi dan celoteh bersahajanya cukup sebagai rencah tarikan kepada penonton untuk siaran memancing kendalian beliau.
Pemunya nama Nasir Yusof atau sering dikenali Nasir Kebaboom di kalangan kaki pancing merupakan anak jati Teluk Intan. Dibesarkan di Pantai Dalam, beliau mula mengenal dunia pancing sejak umur 9 tahun lagi.
Pengalaman memancing sejak dari kecil saat menggunakan batang bertam dan berumpankan cacing banyak menyumbang ilmu memancing sehinggalah kini terus diingati.
Kalau waktu kecil dahulu mengheret batang bertam menjelajah dari parit ke parit, beralih ke Jelajah Joran dengan set pancing yang lebih moden.
Nasir yang memulakan karier awal dalam bidang kewartawan sekitar tahun 1996 bersama Media Prima merupakan antara pencetus idea asal bagi kelahiran program Jelajah joran.
Setelah lebih kurang 4 tahun meyakinkan pengurusan, akhirnya terbitlah sebuah rancangan untuk kaki pancing iaitu Jelajah Joran pada tahun 2010.
Bagi Nasir sendiri, kelahiran dan kewujudan Jelajah Joran ini sebagai suatu penghormatan kepada golongan kaki pancing di Malaysia khasnya.
Tidak memandang program ini untuk hiburan santai semata-mata, beliau melihat program ini sebagai saluran perkongsian ilmu memancing bagi kaki pancing.
Jelajah Joran juga menjadi medium yang cuba dimanfaatkan sepenuhnya oleh Nasir untuk berkongsi ilmu memancing, teknologi terkini, tip memancing dan sebagainya bersama penonton.
Nasir juga mengakui yang beliau sendiri sehingga kini masih belajar berkaitan dunia memancing dan di samping berkongsi apa yang dipelajarinya.
Potensi industri memancing
Bercakap perihal industri memancing di Malaysia, Nasir melihat industri memancing sekarang mengalami perkembangan positif terutamanya dalam pancingan sukan.
Tidak melihat aktiviti memancing sebagai aktiviti hobi sahaja, potensi industri memancing dilihat sebagai satu aktiviti sukan mempunyai masa depan yang cukup cerah.
Dengan kekayaan sumber seperti pesisir pantai, kawasan laut, tasik-tasik dan sungai pergunungan yang ada, nasir berpendapat pemancing di Malaysia perlu berilmu dan mempunyai etika dalam disiplin memancing untuk mengeksploitasikan sumber yang ada dengan optimum.
Selain itu, pemain dalam industri pula perlu memainkan peranan masing-masing dengan betul bagi mengangkat industri memancing Malaysia ke tahap global. Ini termasuklah pihak kerajaan, swasta serta pemancing itu sendiri.
Harapan
Menurut Nasir lagi, pemancing di Malaysia yang mencecah jutaan juga perlu bersatu padu dan sependapat dalam mengutarakan cadangan dan isu kepada pihak berwajib.
Dengan pengetahuan dan saluran yang betul, tidak mustahil akan ada ruang dan peluang untuk perkembangan pemancing di Malaysia.
“Saya sebenarnya berharap akan wujud sebuah akademi memancing lantas melahirkan pemancing profesional atau sekurang-kurangnya menyumbang kepakaran dalam industri perikanan,” tambah Nasir lagi.
Demi kepenting industri memancing, Nasir juga berharap pemain utama dalam industri seperti kerajaan dan pihak berkaitan dalam menyediakan prasarana berkaitan aktiviti memancing untuk kaki pancing selain saluran untuk mendengar isu dan masalah bagi golongan pemancing.