Ikon: Dunia Hanyir Spark

Share

 

Seingat penulis, semasa menemu bual Shamsul Ghau Ghau dahulu, dia ada memberitahu bahawa figura ini juga mempunyai minat yang mendalam terhadap aktiviti hanyir ini. Namun masih tidak berkesempatan untuk bersemuka sehinggalah mendapat peluang baru-baru ini.

 

Bertemu dengan pemilik nama Zul Huzaimy ini, penulis langsung tidak menyangka penglibatan beliau di dalam dunia hanyir ini bermula sejak kecil lagi. Tidak lokek berkongsi pengalaman awal ketika memancing, Zul Huzaimy memberitahu penglibatan beliau dalam dunia hanyir ini bermula seawal usia 7 tahun.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

Beberapa orang bapa saudara beliau menjadi individu awal yang bertanggungjawab mengajar beliau ilmu memancing sejak kecil. Apatah lagi, membesar di Gerik, kawasan sekitar Tasik Banding menjadi spot pancing utama.

 

Ikan-ikan sungai menjadi spesies yang sering dipancing sejak kecil dengan secara tidak langsung lebih tertumpu kepada teknik mengilat dan teknik pancingan dasar. Selain itu, sebagai anak jati Gerik, selain memancing, memukat ketika pesta ikan loma dan aktiviti ‘meniruk’ juga antara aktiviti biasa baginya.

 

 

TASIK KENYIR DAN ALUCAST

Sekitar tahun 2008 merupakan detik di mana aktiviti memancing beliau lebih aktif apabila berkenalan dengan sahabat-sahabat pancing daripada grup Cakar Rimau yang sekarang ini lebih dikenali dengan nama Alucast atau Aluminium Caster.

 

Perkenalan ini juga antara titik penting dalam karier memancing beliau apabila dapat belajar dengan lebih teknikal tentang teknik memancing terutamanya penggunaan baitcaster dan perihal bot.

Abang Wan dan Amza Ya (sekadar menyebut beberapa nama) antara individu yang banyak berkongsi ilmu memancing kepada beliau.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

Selain itu, Tasik Kenyir juga merupakan antara lokasi pancing kegemarannya. Malah Zul Huzaimy pernah membeli sebuah boat house sekitar tahun 2007 dek kerana minat memancing yang mendalam serta tarikan tersendiri Tasik Kenyir bagi kaki pancing.

 

Beliau juga menjalankan perniagaan pakej memancing menggunakan boat house tersebut selama hampir 4 tahun sebelum menjualnya disebabkan kekangan masa dan beberapa masalah lain terutama berkaitan isu persekitaran dan stok ikan berkurangan yang sedikit sebanyak menjejaskan industri pancingan rekreasi.

 

PANDANGAN TENTANG LAPANGAN PANCING TANAHAIR

Menyentuh tentang lapangan pancing tanah air, Zul Huzaimy secara peribadi berpendapat Malaysia cukup beruntung kerana mempunyai sumber dan khazanah pancing yang banyak memandangkan kedudukan geografi negara yang dikelilingi pantai yang panjang serta khazanah hutan hujan antara yang tertua di dunia.

Begitu pun, kekayaan sumber alam ini seharusnya datang dengan kesedaran individu yang tinggi untuk menjaga kelestarian sumber ini.

 

 

Tidak dinafikan, banyak sumber yang seharusnya boleh dieksploitasi secara positif, namun beliau tidak menolak terdapat isu-isu berkaitan pemancing rekreasi yang seharusnya ditangani dengan lebih berkesan.

 

Isu pelesenan kaki pancing dan kemusnahan ekosistem antara isu seharusnya ditangani dengan lebih berkesan oleh pihak berwajib yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.

 

Pelbagai pihak harus mengambil peranan masing-masing dalam melestarikan industri pancingan tanpa sebarang bentuk kepentingan peribadi. Amalan seperti tangkap dan lepas dan pancingan bermusim pula seharusnya lebih banyak diamalkan bermula daripada individu pemancing sendiri biarpun tiada ‘guidelines’ yang rasmi.

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

 

Selain itu, beliau juga berpendapat peranan institusi pengajian tinggi amat penting terutama dalam kajian dan pembangunan terhadap sungai-sungai tempatan.

Tidak sekadar omongan kosong, beliau pernah membantu pihak UIA Kuantan mendapatkan spesies toman sebagai spesimen untuk kajian penghasilan produk Omega3 berasaskan spesies tempatan.

 

Apa sekalipun, Zul Huzaimy yang juga memiliki lesen Assistant Instructor untuk aktiviti scuba diving ini berharap ekosistem dan sumber alam khususnya di Malaysia dapat dilestarikan seterusnya lapangan pancing kita akan turut menerima kesan yang positif.

 

 

“Sekarang ini, lupakan menuding jari mencari punca salah siapa, sebaliknya lebih baik kita sama-sama fokus bagaimana untuk menjadikan ekosistem ini lebih baik. Secara peribadi saya harap lapangan pancing kita tak jadi ‘terlalu lapang’ seperti padang jarak padang tekukur pula nanti,” ujar beliau sedikit berseloroh sebelum menamatkan pertemuan kami.

 

PROFIL DIRI

Nama: Zul Huzaimy Marzuki

Asal: Gerik, Perak

Umur: 42 tahun

Kerjaya: Pelakon, Pengarah dan Penulis

 

Jom like & See First page portal memancing terbaru – www.facebook.com/umpanmania101

Published by
Amang