Ikhtiar Penawar Bisa Sengat Sembilang

Share

 

Usia yang sudah melepasi setengah abad tidak mematahkan semangat Yusof Abdul Raof dalam aktiviti hariannya sebagai seorang pengusaha makanan di sebuah gerai di Petaling Jaya, Selangor.

 

Beliau masih bertenaga dan aktif dalam apa jua bidang yang diceburi termasuk pelbagai kegiatan pada masa lapang. Yusof, atau lebih dikenali dengan panggilan Raja Sembilang sentiasa bersyukur atas kebolehan luar biasanya sebagai seorang pemancing yang tidak pernah pulang dengan tangan kosong.

 

 

Kegemaran memancing yang sudah tertanam di jiwanya sejak berusia 10 tahun itu membolehkan Yusof mendapat gelaran Raja Sembilang kerana beliau memang penganyir dan pakar memancing ikan bermisai dan bersengat ini.

 

Tanpa mahu merahsiakan kepakaran luar biasa itu, Yusof secara spontan berkata, apa bidang sekalipun seseorang itu mestilah berilmu selain daripada kemahiran semula jadi.

 

 

“Saya mengaku, mempelajari segala petua dan cara-cara memancing sembilang ini daripada seorang tua di kampung saya, tetapi sekadar kegunaan sendiri saja…” Senyumnya menampakkan keikhlasan.

 

Bagaimanapun beliau terpaksa berpegang kepada segala janjinya iaitu tidak boleh makan ikan berkenaan (sembilang) tetapi sekadar memancingnya saja dan jika hasil tangkapan itu lumayan hendaklah dibahagi-bahagikan kepada mereka yang memerlukannya.

 

 

Jika beliau melanggar pantang larang ini, ia akan menyebabkan hasil tangkapan spesies berkenaan tidaklah sebanyak mana kebiasaan yang diperolehi tetapi sekadar untuk sekeluarga saja. Yusof tidak menyimpan rahsia cara mengenali lubuk sembilang.

 

“Pemancing perlu memerhatikan buih-buih yang mungkin dapat dilihat pada permukaan air ketika air besar.

 

Jika buih-buih kelihatan sudah pasti kawasan itu mengandungi banyak sembilang dan tidak akan menghampakan selain ikan ini mudah dipancing ketika air mula pasang dan pada waktu surut.”

 

 

“Pemancng juga mudah memancing ikan jika air teres iaitu ketika air surut mirip kepada lopak-lopak air kawasan menghampiri persisiran pantai.”

 

Yusof juga mempamerkan jari dan sebahagian daripada lengannya sambil tersenyum berkata, “Lihat tangan dan jari ini sudah lali dan kebas kerana bisa ikan sembilang.”

 

Pemancing tentu lebih maklum, sengat sembilang bisanya bukan kepalang menjalar hingga ke jantung dan jika rawatan segera tidak diberi pemancing pasti pengsan malah lebam seluruh badan.

 

 

“Tangan saya ni… tebal kulitnya, bahagian jari ni sudah kematu terkena sengat. Saya kurang pasti ada yang mengatakan bisa ikan ini akan susut selepas tujuh kali air pasang dan surut.

 

Tetapi bagi saya cara menghilangkan biasanya mudah aja iaitu gigit saja ekor ikan ini sekuat-kuatnya, hingga bisa beransur susut.”

 

Published by
Amang