Bagi pemancing yang gemar memancing ikan rohu atau leekoh pastinya tahu umpan perlu diadun dengan minyak berperisa terutamanya minyak berperisa udang.
Minyak udang atau lebih popular dipanggil minyak rohu ini boleh dibeli di pasaran. Namun untuk kepuasan dan kualiti yang lebih baik, anda boleh menghasilkannya sendiri.
Bahan keperluan
1 paket minyak masak 1kg
500gm kerisik
250gm udang geragau/baring
250gm gula melaka
Cara pembuatan
Langkah 1
Sediakan satu bekas kosong. Masukkan 500gm kerisik, 250gm udang, 250gm gula melaka (sebaiknya gula melaka ditumbuk kasar terlebih dahulu) dan juga 1 paket minyak masak. Gaul kesemua bahan tersebut sehingga rata dan sebati.
Langkah 2
Kisar kesemua bahan tadi dengan blender. Tidak perlu kisar kesemua bahan sekaligus. Tapi pastikan kesemua bahan dikisar sehingga menjadi betul-hetul halus.
Langkah 3
Setelah semua bahan dikisar halus, sediakan satu periuk atau kuali untuk memasak kesemua bahan tadi. Sebaiknya masaklah dengan api perlahan bagi tempoh sekurang-kurangnya satu jam. Gaul bahan sekali-sekala bagi mengelakkan ia berketul atau berkerak.
Langkah 4
Setelah masak, biarkan minyak rohu ini menyejuk. Setelah itu barulah dimasukkan ke dalam botol atau balang kaca. Untuk tahan lama sebaiknya minyak rohu disimpan di dalam bekas kaca.
Peranti Sistem Kedudukan Global (GPS) merupakan alat yang tepat mengira lokasi geografi dengan menerima maklumat daripada satelit GPS. Pada mulanya ia digunakan oleh tentera Amerika Syarikat, tetapi kini kebanyakan penerima berada di dalam kereta dan telefon pintar.
GPS adalah sistem navigasi berasaskan satelit yang terdiri daripada rangkaian 24 satelit ditempatkan ke orbit oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. Dahulu penggunaan satelit hanya dikhususkan oleh tentera tetapi pada tahun 1980an penggunaan peranti GPS telah dibenarkan penggunaannya untuk orang awam memudahkan urusan seharian mereka.
Adakah ia berguna kepada nelayan dan pemancing? Jawapannya adalah YA. Kegunaan penentuan bagi lokasi lubuk ke lubuk yang terdapat di laut yang cukup terbentang luas boleh di tanda dengan alat ini. Cara nelayan-nelayan terdahulu hanya menggunakan arah angin, awan dan penanda di laut mungkin kurang tepat ke lubuk yang ditandai menggunakan GPS. Teknologi ini telah lama diaplikasikan kepada nelayan tempatan yang telah banyak merubah taraf hidup nelayan dan mampu meneroka lubuk-lubuk yang ada di laut.
FUNGSI KEPADA PEMANCING.
Fungsi GPS tidak terhad kepada laut sahaja bahkan hutan dan pergunungan juga ia boleh digunakan kerana ia menggunakan pancaran satelit. Bagi kaki pancing yang gemarkan keindahan alam semula jadi, penggunaan alat peranti ini mampu membawa pemancing meneroka lokasi-lokasi yang jauh dan sukar dijejaki orang lain.
Ia boleh dijadikan panduan perjalanan di hutan agar tidak sesat. Ia satu alternatif lain kepada penggunaan kompas yang memerlukan peta sebagai bahan rujukan.
Terdapat pelbagai jenis alat GPS di pasaran termasuklah peranti yang dimuatkan di dalam telefon mudah alih yang mampu membantu pemancing untuk sampai ke lubuk-lubuk yang berpotensi dengan mudah.
Setiap alat peranti ini mempunyai kelebihan masing-masing yang ditampilkan oleh pengeluar. Rujuk buku manual bagi mengetahui fungsi-fungsi yang boleh digunakan bagi mengesan kedudukan kita.
Bagi sebuah GPS, ia biasa didatangkan dengan bateri litium atau yang terdapat di kedai namun sebelum digunakan, pengguna dinasihatkan agar sentiasa memeriksa bateri agar dalam keadaan penuh dan mampu bertahan sepanjang trip berlangsung.
Dikelilingi karang hidup dan terletak berhampiran dengan laluan kapal menjadikan kelong ini sebagai lokasi utama permainan ikan dan sering didiami spesies gred A.
Ini terbukti apabila pelbagai jenis ikan seperti kerapu, merah, jenahak, tebal pipi, kurau, siakap dan pari sering dinaikkan oleh kaki pancing yang berkunjung ke sini.
Malah, saiz yang dinaikkan bukan kecil-kecil anak, ada pemancing yang pernah menaikkan ikan pari seberat 20kg, siakap 13kg dan kerapu 10kg ketika memancing di sini.
Lokasi ini juga menjadi tempat permainan ikan-ikan pelagik seperti selar, kembung dan tamban yang sesuai dijadikan umpan untuk memancing.
Kemudahan Terbaik
Untuk ke kelong ini, ia memakan masa lebih kurang 15 minit dengan menaiki bot dari Pangkalan Penghulu Serkat.
Kemudahan yang ada di sini memang serba mencukupi. Dilengkapi 4 buah bilik rehat dengan tandas yang selesa serta dapur untuk memasak menjadikan kelong ini bukan sahaja sesuai untuk kaki pancing, malah sesuai untuk seisi keluarga.
Tidak cukup dengan itu, di sekeliling kelong turut dilengkapi dengan rod holder bagi memudahkan kaki pancing meletakkan joran mereka sambil menunggu ikan memakan umpan.
Kerusi juga turut disediakan di sekitar kawasan memancing berserta dengan tangguk dan gancu untuk membawa naik ikan besar ke atas kelong.
Menurut pengusaha kelong yang lebih mesra dipanggil En. Afis, pada masa hadapan beliau akan cuba untuk mendapatkan peruntukan bagi membesar dan menaiktarafkan kelong ini untuk menjadi homestay memancing tengah laut.
Beliau yakin dengan usaha ini, ia mampu menarik lebih ramai kaki pancing dari serata Malaysia dan sekali gus menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan memancing negeri Johor.
Majalah Umpan sempat meluangkan masa merasai pengalaman memancing di Kelong Maswira ini. Meskipun ditemani cuaca penghujung tahun yang tidak menentu disertai dengan angin kuat, kami tetap komited untuk mencuba nasib.
Terbukti hasil di sini memang terbaik. Meskipun berdepan cuaca tidak menentu kami masih mampu menaikkan seekor pari berskala 4kg selain beberapa ekor kerapu, tebal pipi, semilang dan pelbagai spesies lain.
Untuk memancing di sini, adalah amat digalakkan untuk membawa rod panjang 13 – 15 kaki untuk memburu pari dan tebal pipi.
Jangan risau untuk membaling rod panjang kerana kelong ini mempunyai kawasan yang luas untuk membuat lontaran jauh.
Oh, jangan lupa membawa batu ladung lebih juga kerana kebarangkalian untuk sangkut juga amat tinggi kerana kelong ini dikelilingi karang hidup.
Bagaimana ke sini?
Sekiranya anda dari arah Utara, keluar dari plaza tol Simpang Renggam dan menuju ke Pontian.
Setibanya di Pontian, anda boleh berpandukan kepada papan tanda menuju ke Taman Negara Tanjung Piai.
Sebelum tiba di Tanjung Piai, anda akan dapat melihat papan tanda Kelong Maswira kerana kedudukan Kelong Maswira hanya kira-kira 1.5 kilometer sebelum anda tiba di Tanjung Piai.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...