Secara amnya coarse fishing adalah terma yang biasa digunakan di United Kingdom dan Eropah untuk menggambarkan pancingan ikan air tawar dengan menggunakan umpan, sama ada yang semulajadi atau sebaliknya.
Ini termasuklah cara pancingan sama ada di dasar, berpelampung ataupun mengilat. Walau bagaimanapun, pancingan layang (fly fishing) tidak dikategorikan sebagai coarse fishing kerana disenaraikan sebagai game fishing.
Terdapat teknik-teknik yang agak spesifik di dalam arena coarse fishing, khususnya feeder dan float fishing, maka perkakas dan peralatan yang digunakan untuk coarse fishing juga agak unik.
Walaupun pada mulanya kelihatan agak merunsingkan, akan tetapi setiap alat tersebut mempunyai kegunaan yang tersendiri bagi memudahkan pancingan ataupun menjadikan pemancing tersebut lebih efisyen untuk memaksimakan tangkapan ikan.
Tidak salah jikalau dikatakan coarse fishing ini adalah cara pancingan ikan air tawar dengan menggunakan teknik-teknik yang dikembangkan di benua Eropah.
Para pemancing Eropah agak mahir dalam membuat penyelidikan serta ujian lapang bagi mencari teknik-teknik dan taktik-taktik terbaru dalam sukan mereka.
Begitu juga pemancing Eropah ini rajin merekabentuk peralatan memancing yang menggunakan bahan-bahan yang terkini, bersesuaian dengan budaya mereka yang sering mengamalkan pembaikan yang berterusan.
Hasil daripada kemajuan dari segi teknik dan taktik memancing dan teknologi peralatan mereka, maka tidak hairanlah pasukan kebangsaan dari benua Eropah sering kali menjuarai Kejohanan Dunia Untuk Pancingan Air Tawar.
Di Malaysia, saya lebih cenderung untuk mempromosikan coarse fishing melalui teknik feeder fishing dan float fishing sahaja disebabkan dua faktor: yang pertamanya ialah saya merasakan pemancing Eropah sudah agak maju dengan kedua-dua teknik ini, maka sesuai dibuat sebagai penanda aras (benchmarking). Yang keduanya pula, saya merasakan para pemancing tempatan pula lebih maju dan lebih mahir dalam arena mengilat!
Oleh yang demikian, sejak 1990an lagi saya lebih berusaha untuk menengahkan teknik pancingan air tawar berdasarkan acuan coarse fishing di tanah air kita kerana didapati kebanyakkan teknik coarse fishing sangat bersesuaian dengan perairan dan spesis tempatan.
Teknik Feeder
‘Feeder’ merupakan singkatan kepada ‘swimfeeder’, dari segi bahasa mudahnya membawa maksud ‘pemberi makan ke kawasan pancingan’. Swimfeeder adalah satu perkakas atau bekas yang boleh diisi umpan dan dibuat balingan bersama dengan mata kail kita ke kawasan pancingan (swim) yang kita rasakan boleh menghasilkan tangkapan.
Antara tugas-tugas utama feeder ini adalah bagi memudahkan kita membuat balingan di samping menarik perhatian ikan ke kawasan pancingan kita. Feeder fishing ini adalah jenis pancingan di dasar (bottom).
Sejak 6-7 tahun yang lepas, minat terhadap pancingan feeder di Eropah telah meningkat dengan begitu mendadak.
Kejohanan Dunia Feeder Fishing yang bermula pada 2010 serta pelbagai pertandingan berkonsepkan feeder kebelakangan ini umpama memberi nafas baru buat teknik yang dulunya hampir dilupakan ini.
Float Fishing
Umpama namanya, pancingan berpelampung, pernah menduduki tangga teratas bagi teknik pancingan yang paling popular di Eropah. Ini terbukti dengan Kejohanan Dunia Pancingan Berpelampung yang telah berlangsung sejak 1954 lagi.
Di dalam arena coarse fishing, fungsi utama pelampung adalah sebagai pengesan gigitan ikan (bite detection). Teknik float fishing ini berani saya katakan adalah teknik pengesan gigitan ikan visual yang paling sensitif yang pernah saya jumpa.
Kehalusan teknik serta ketelitian teknikal di dalam seni sukan float fishing mendapat kedudukan yang istimewa bagi ramai pemancing tegar di Eropah. Seperti swimfeeder juga, pelampung untuk float fishing mempunyai pelbagai bentuk, saiz dan bahan yang masing-masing mempunyai fungsi dan kegunaan yang tersendiri.
Ikuti keterangan lanjut berkenaan Coarse Fishing melalui FB Malaysian Coarse Fishing Association dan FB Supertackle Malaysia.
Salam otai semua… saya nak tanya, kalau pakai baitcaster reel (BC), tali jenis apa yang paling sesuai… sama ada tali braided atau mono? Dan satu lagi anggaran saiz berapa pound yang sesuai?
JAWAPAN:
Saya tak boleh nak beri jawapan yang tepat sebab baitcasting reel atau BC ini macam spinning reel jugak. Apa saja jenis tali dan saiz boleh dimasukkan. Ia lebih tertumpu pada spesies ikan sasaran, faktor padang pancing, saiz rod dan reel itu sendiri. Senang cakap ia bergantung pada setting apa yang kita nak main.
Sebagai contoh jika korang nak layan ultralight, tentulah perlu setup dengan rod yang sepadan dan saiz tali kurang dari 6lb. Dua-dua jenis tali (benang & tangsi boleh digunakan). Cuma kalau korang tak biasa guna tangsi, lebih baik guna braided saja.
Sekiranya korang nak pancing spesies sasaran seperti sebarau dan peacock bass, korang boleh guna tali saiz maksimum 20lb. Kekuatan rod pun maksimum 20lb jugak. Sebaliknya jika hendak pancing spesies toman yang terkenal dengan kekuatan dan halangan padang pancing, pastikan kekuatan tali melebihi 20lb.
Kesimpulannya, untuk dapatkan kesesuaian dan keseronokan menggunakan baitcaster, korang mencuba sendiri untuk dapatkan setting terbaik. Kebanyakan pemancing belajar dari pengalaman sendiri dan setiap mereka ada setting tersendiri.
Selamat petang admin… Bolehkah Majalah Umpan terangkan teknik mancing dari atas kapal yang tingginya 6meter. Dan joran apa yang sesuai untuk digunakan. Dan bagaimana untuk membawa ikan naik ke kapal dengan selamat. Terima kasih admin.
JAWAPAN:
Soalan ini mengingatkan saya pengalaman memancing di One Phantom Bank di mana ketinggiannya melebihi 6meter. Oleh yang demikian teknik pancingan hampir sama saja dengan memancing di atas kapal yang tingginya 6meter.
Joran yang sesuai digunakan sebaiknya joran panjang melebihi 8kaki dengan aksi berat. Joran yang panjang member kelebihan apabila ikan yang dipancing bertindak berenang ke bawah kapal. Joran panjang mampu mengekang larian ikan berbanding joran yang lebih pendek.
Namun, penggunaan joran panjang perlulah juga disepadankan dengan pemilihan tali pancing yang betul. Sebaiknya gunalah tali tangsi atau mono berbanding tali sulam atau braided. Tali mono lebih tahan geseran berbanding tali sulam.
Perkara ini penting kerana kita perlu mengambil kira keadaan badan kapal di alam air yang lazimnya dipenuhi teritip tajam. Apabila ikan berenang ke bawah kapal dan dengan mudah tali sulam air putus apabila bergesel dengan badan kapal. Sebaliknya tali mono lebih tahan. Dan perlu juga guna tali mono berkuatan sekurang-kurangnya 30lb.
Settting peralatan begini juga membolehkan ikan yang dipancing dinaikkan ke kapal dengan selamat. Tetapi jika ikan yang diperoleh bersaiz besar, anda perlulah menggunakan alatan tambahan.
Biasanya saya menggunakan tali yang diikatkan mata tiga bersaiz besar yang berfungsi sebagai penyangkok. Ikan tersebut perlulah dilayan sehingga letih, kemudian barulah diturunkan tali bermata kail itu untuk menyangkoknya.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...