Bercerita tentang spesies pengacau, pasti ramai dapat membayangkan spesies seperti sesirat, tapak sulaiman, ulat bulu dan umang-umang yang menjadi antara pengacau utama umpan yang dilabuhkan.
Spesies ikan juga tak terkecuali. Ikan seperti buntal, mengkerong, belukang, dan usat-usat menjadi antara spesies yang kurang popular untuk dibawa pulang oleh kaki pancing. Bila dapat sahaja spesies pengacau ni pasti ada sahaja terdengar segala caci-makian, sumpahan dan pelbagai lagi kata yang kurang enak didengar.
Tipulah kalau kata kita takkan marah dan kecewa. Tetapi, bila difikirkan apa perlunya kita menyumpah seranah, memaki spesies-spesies pengacau ini? Lebih dahsyat pula ceritanya bila ada segelintir kaki pancing yang bertindak di luar kewarasan dengan menyeksa spesies pengacau ini.
Ada yang membiarkan spesies-spesies ini mati kekeringan di atas darat dan yang lebih ekstrem, sanggup membelah perut dan memotong spesies pengacau ini hidup-hidup tanpa belas kasihan!
Apalah salahnya kalau kita lepaskan semula ia ke laut hidup-hidup? Tak luak sedikit pun kalau kita lepaskan spesies pengacau ini kembali ke habitatnya. Pahala dapat, memancing pun dalam keadaan tenang tanpa ada rasa bersalah. Kalau nak berbicara soal rezeki tu, takde siapa yang tahu apa rezeki kita untuk hari ini.
Mungkin ada baiknya juga kita cuba renungkan mengapa spesies-spesies pengacau ini wujud di dalam ekosistem? Pastinya ada sebab musabab tersendiri atau sekurang-kurangnya bagi keseimbangan ekosistem.
Kami menyeru kepada anda agar hentikan seksaan kepada spesies pengacau ataupun ikan yang anda tidak ingini. Lepaskanlah mereka semula ke habitat dengan berhemah. Jika berniat hendak dijadikan umpan, pastikan anda benar-benar menggunakannya. Janganlah dibiarkan mati kekeringan di atas darat.
“Aku sebagai pemancing kadang-kadang ada juga buat macam ni. Tambah-tambah masa ikan tak makan umpan. Memang rasa marah… bagus juga admin buat topik ni. Rasa sesal pun ada. Lepas ni aku akan lepas balik kalau dapat spesies yang tak diingini ni.”
- TAIB AZIZAN
“Tak perlu menghukum haiwan-haiwan tersebut. Sebaliknya kita perlulah rasional dan rileks… haiwan tersebut tak bersalah. Biasalah, adat memancing. Jika tiada keimanan di dalam diri begitu juga, kena ingat di akhirat kelak mereka (haiwan-haiwan) ini akan membalas semula kezaliman kita lakukan.”
- MOHD ZULKIFLY MOHD JALIL
“Memancing ni mendidik kita supaya menjadi manusia yang sabar. Ramai pemancing tegar sanggup menunggu berjam-jam lamanya untuk ikan menjamah dan melarikan umpan. Tiba-tiba ikan pengacau pula yang tersangkut. Sekali lagi kesabaran pemancing diuji. Sabarlah… lepaskan aje. Janganlah diseksa.”
- ANUAR OSMAN
“Setiap hari Allah sudah bahagi-bahagikan rezeki kepada hambanya di muka bumi ni. Anggap saja ikan pengacau tu rezeki cuma kita yang tak nak makan dan boleh lepaskan balik. Lagipun kadang-kadang best juga layan buntal kalau guna set ringan. Hehehe… sesungguhnya, Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.”
- AMIR BIN MUSAH
“Selalunya kalau dapat buntal asing dulu dan lepaskan di celah lopak batu. Bila air pasang, baru bebaskan semula. Memang geram kadang-kadang, tapi bila fikir balik boleh tersenyum sebab jadi penyelamat kumpaw.”
- FAIZAL PEJE
“Kalau tak nak makan atau tak boleh makan elok lepaskan saja. Dia pun ada hak untuk hidup. Siapalah kita untuk mencabut nyawa tanpa sebab yang kukuh. Kalau binatang merbahaya bolehlah dibunuh tapi tak boleh diseksa. Ikan-ikan yang dah mati, boleh la kita niatkan bagi makan kucing atau bagi lain-lain ikan makan, jika kita tak mahu.”
- SUHAIMI BIN MOHAMAD
“Kalau niat untuk seksa memang dah dikira berdosa. Kadang-kadang spesies ni boleh juga dibuat umpan. Contoh seperti sesirat. Ada ikan tertentu yang makan… contoh macam pari, duri, malong dan yang lain-lain.”
- FIRDAUSS DAUSS
“Tak perlulah sampai nak maki seksa binatang ni. Tak nak lepas balik. Bukan susah pun. Mungkin rezeki lain menanti. Ikan besar barangkali. Mana tau, kan? Lagipun, doh ngail dalam air, ikan yang nampak dululah makan. Kalau tak nak dia makan, tulis kat mata kail ‘Sirat, buntal tak boleh, siakap saje!’.”
- MOHD AZRAI
“Sedih bila ingat kembali zaman kanak-kanak, asal sahaja dapat spesies pengacau (buntal dan lain-lain) memang akan dibiarkan mati kekeringan. Sekarang bila terlihat kanak-kanak buat perkara yang sama memang saya akan tegur dan nasihat mereka lepaskan semula ke habitat asal. Dah sampai masa kesedaran tentang alam sekitar kita terapkan ke dalam sanubari anak muda sekarang.”
- PETRE B. ROMANCON