Ikan Raja 101 – Spesies Peacock Bass

Share

Walaupun dikenali dengan nama peacock bass, spesies ini sebenarnya bukan dari kumpulan ikan bass. Peacock bass atau ikan raja menurut panggilan sesetengah pemancing sekumpulan spesies ikan air tawar yang datang dari genus Cichla.

Spesies yang berasal dari Amerika Selatan ini merupakan antara spesies yang rakus dan cepat membiak. Di negara Brazil, di mana spesies ini mempunyai taburan paling besar, ikan ini mendapat pelbagai gelaran. Gelaran tucunare merupakan nama paling popular di Brazil dan Peru sementara di Venezuela, spesies ini lebih dikenali sebagai pavon (peacock/butterfly).

keluarga chicla

Ketika ini terdapat 15 spesies yang datangnya daripada genus Cicla. Spesies ini merupakan spesies ikan natif bagi kebanyakan sungai di Amerika Selatan. Kawasan asal spesies ini termasuklah Sungai Amazon, Lembah Sungai Orinaco dan Guyana.

Spesies peacock bass ini juga pernah diperkenalkan di beberapa kawasan lain di dunia. Oleh kerana ikan ini cepak membiak dan agresif, spesies ini mempunyai kadar survival yang sangat tinggi malah mampu mengancam spesies ikan asal lantas menyebabkan ekosistem asal di sesetengah tempat terganggu.

Secara fizikal, morfologi luaran bagi bagi peacock bass bergantung kepada spesies dan peringkat tumbesarannya. Sesetengah peacock bass jantan mempunyai bonggol yang besar di bahagian kepalanya apabila mencapai peringkat matang. Bagi semua spesies peacock bass, dapat diperhatikan corak yang berlainan pada badannya.

Namun pada bahagian kaudal pedunkel iaitu sambungan badan dan ekornya, dapat dilihat kehadiran tompokan hitam bulat di situ. Ini merupakan tanda yang hadir pada kesemua spesies ikan ini. Bagi spesies Cichla acellaris, dapat diperhatikan morfologi luaran utama dari segi corak badannya iaitu terdapat dua corak vertikal memanjang. Seterusnya di bahagian bawah berhampiran abdomen di bawah sirip pektoral, terdapat satu lagi corak barisan hitam.

spesies yang dibawa masuk sebagai ikan hiasan

Kebanyakan spesies peacock bass boleh ditemui di kawasan air berarus dan air tenang dengan struktur seperti batu atau tumbuhan akuatik. Selalunya ikan ini bergerak secara berkumpulan. Ikan ini merupakan pemangsa dan sangat agresif. Ia menjadikan ikan kecil malah sesetengah tidak segan untuk menyerang ikan yang bersaiz besar sebagai diet utamanya. Oleh kerana tabiat agresifnya, ikan ini tidak sesuai diternak kerana sifat pelahapnya.

Di Malaysia, ikan peacock bass telah dilabelkan sebagai ikan pendatang atau ikan alien. Dalam kontek sains, ikan ini dikira sebagai perosak yang berisiko tinggi kerana kehadiran ikan ini menyebabkan ketidakseimbangan dalam ekosistem asal. Antara implikasi kehadiran ikan ini tanpa kawalan ialah kepupusan spesies asal ikan tempatan kerana persaingan untuk mendapatkan makanan dan habitat dalam meneruskan kelangsungan hidup. Selain itu, sifat ikan ini yang begitu agresif menjadikan ikan ini pemangsa kepadaq spesies ikan tempatan.

spesies ini lebih popular diukur dengan saiz panjang

Walaupun spesies peacock bass merupakan spesies pendatang, nilainya dari sudut pancingan sukan memang tidak dapat dinafikan. Pemancing Malaysia sekarang ini rata-riti bersetuju bahawa perlawanan di hujung pancing dengan peacock bass sangat mengujakan. Sekali gus menimbulkan persoalan yang tidak terjawab apakah amalan tangkap dan lepas turut wajar dilakukan terhadap spesies peacock bass ini.

Di luar negara, spesies ini diangkat sebagai ikan trofi bagi pancingan ikan air tawar. Spesies C. Temensis merupakan spesies yang mampu membesar sehingga panjang 1 meter. Di Malaysia, selalunya kita dapat menjumpai spesies C. Acellaris yang juga berkualiti sebagai ikan sukan selain mampu membesar sehingga 60 cm panjang.

Published by
Amang