Sehingga kini, peacock bass (PB) terus-terusan menjadi isu yang diperdebatkan atas judul ia sebagai pembinasa spesies ikan tempatan dan ekologi.
Dalam pada masa yang sama, sekiranya pemancing yang mahu memancing menggunakan umpan tiruan seperti gewang dan sebagainya, sudah tentunya ikan jenis pemangsa seperti PB inilah yang dicari.
Kebanyakan pemancing lupa satu perkara utama. Biarpun populasi ikan sangat besar di dalam tasik sama ada jenis pemangsa, herbivor mahupun omnivor tetapi kegiatan sport fishing atau sukan memancing itu sendiri secara tidak langsung juga mendatangkan kesan kepada ekosistem dan perkara ini melibatkan soal sama ada spesies tersebut ikan pendatang ataupun tempatan.
PB adalah ikan lakustrin (hidup di air tenang) manakala asal usul ikan tempatan kita sebenarnya adalah ikan sungai walaupun ada sesetengah mampu menyesuaikan diri dalam habitat berair tenang. Ikan seperti kelah dan sebarau tidak begitu gemarkan kehidupan seperti yang disukai PB.
Mereka tidak berkongsi habitat yang sama. Saya pernah menangkap ribuan anak sebarau di dengan tangguk di Empangan Klang Gate dalam tahun 70-an semata-mata untuk dipindahkan ke dalam lombong-lombong di sekitar Petaling Jaya mengharapkan mereka memberi persembahan terbaik buat kaki pancing seperti saya pada suatu hari nanti.
Ads
Walau bagaimana pun saya dapati spesies sebarau tidak mampu membesar dan membiak dalam habitat lombong yang dikelilingi kesibukan tamadun manusia. Ini berbeza dengan PB yang menjamin persembahan terbaik dalam habitat lombong yang sama.
Kita harus selidik apa yang sedang dan telah berlaku di dalam lombong-lombong sekitaran kita sebelum suarakan sebarang pendapat. Di mana sahaja anda pergi, anda mudah menemui banyak spesies luaran seperti tilapia dan lebih ditakuti, kerapu lombong (Parachromis managuensis) mengambil alih keseluruhan ekosistem.
Ads
Ikan kerapu lombong adalah spesies pepijat yang sangat mudah membiak malah pemangsa yang berbahaya tetapi mempunyai sedikit atau tiada langsung nilai dalam pancingan.
Ikan toman yang disebarkan ke dalam lombong pun tidak mampu mengawal pepijat ini jadi kenapa tidak PB yang melakukan tugas ini untuk kita?
Ads
Akhirnya kita akan mempunyai pengawal biologi yang sangat bagus untuk kerapu lombong dan pada masa yang sama menjadi gamefish kelas dunia untuk tarikan pelancong!
Namun begitu terdapat satu masalah kecil, PB adalah ikan yang sedap dimakan. Jadi siapa yang mampu mengawal para pemancing?
Ada juga yang mengatakan PB tidak memberi perlawanan yang menarik tetapi sebenar PB sepanjang 12 hingga 13 inci adalah berumur kurang dari setahun.
Bagaimana anda boleh menjangkakan ikan juvenil akan memberikan perlawanan sebaik ikan dewasa?
(Sumber: Ronald Looi)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Perancangan untuk memancing di Sungai Bernam telah lama kami bincang. Cuma halangan masa membatasi kami. Maklumlah kami berempat berbeza kerjaya. Namun, cuti panjang sempena beberapa cuti umum baru-baru ini menemukan kami semula.
Hasilnya, kami membuat keputusan untuk pergi memancing pada hari pertama bercuti. Semua alatan joran memang sudah tersedia di dalam bonet kereta masing-masing. Kalau sudah digelar kaki pancing, memang itu adalah benda wajib yang perlu dibawa ke mana sahaja walaupun dalam mood bercuti.
Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Cek Ta di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pak cik yang duduk makan di situ tentang Sungai Bernam.
Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuklah baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.
Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.
Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.
Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Sungai Bernam ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!
Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.
Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram. Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.
Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.
Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.
Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.
Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.
“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.
“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.
“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.
“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.
Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.
Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???
Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.
Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairankan, pagi itu gewangku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.
Jika ia dianggap sebagai salah teknik memancing maka ia merupakan teknik paling murah di dunia. Ini kerana alatan yang perlu ada selain set joran dan kekili, apa yang wajib ada ialah mata tiga dan ladung.
Suatu ketika dahulu para penggemar teknik pancingan ini perlu DIY sendiri mata tiga dan ladung namun kini ia boleh dibeli terus di kedai-kedai pancing. Persoalannya sekarang, pernah atau tidak anda melihat atau menggunakan alatan di dalam gambar ini?
“Penah tengok orang pakai menatang ni. Memang siot punyalah lama aku cast pujuk mama haruan, boleh pulak beliau potong line main sembat… besar plak tu dapat!”
FAZRUL RUSLAN
“Teknik yang agak jahat bagi kaki pancing. Tapi kalau dah bangau tu… bolehlah dipraktikkan sambil karau tali sambil ketawa… hahahaha. Menangislah ikan yang mana kena.”
WAN MUNIR
“Pernah… benda inilah yang mengakibatkan peristiwa buruk terjadi dalam hidup saya. Tertusuk di punggung kawan… mujur dia selamat dan hidup lagi.”
MUHAMMAD FIRDAUS ASHARI
“Mata ni memang kena ada kalau pergi melawat lombong-lombong atau tasik-tasik yang penuh pokok ekor kucing. Kalau takde benda ni payah nak naik ikan boh (buat buang rumpai ekor kucing je…. buat lorong ). Hihihi.”
WAK JEMAN
“Senjata terakhir aku guna kalau ikan tak reti nak makan umpan. Last paling besar pernah aku sembat, ikan pecah periuk tengah mabuk. Ahahaha.”
FARIN SAMSUDIN
“Dulu kat pekan Bangi Lama ada satu kolam tuannya bagi guna benda ni. Orang panggil langgar tali. Tapi mesin memang sekejap jahanam.”
– NOR ZAIHAN ABU BAKAR
“Kalau bangau berterbangan agak ramai, inilah ubat dia… hahaha. Tapi cara ni agak zalim untuk dipraktikkan.”
SHAHRIL REEL ISMAIL
“Cara ini hanya digunakan setelah segala macam ilmu memancing diperturunkan kat situ tapi still membangau… hahaha.”
MUHAMAD SHAMER
“Kadang-kadang je guna. Itu pun tengok tempat jugalah… kalau tempat tu banyak ikan berkumpul, masa itulah mata ini digunakan.”
JALAK LANTING
“Inilah cara terakhir bila tengok ikan bukan main banyak, kita mancing pakai semua jenis umpan tapi dia langsung tak layan.”
MOHD SHAFIZA
“Hahaha… killer ni admin. Tapi jangan dok kerap ajaq pakai benda ni. Nanti hari-hari asyik nak pakai dia je.”
QURSAINY ZAMRI
“Serius tak pernah tau kaedah ni… ilmu ni. Kalau boleh buatlah video sekali. Nak buat jugak… mana tau berhasil. Hehehe.”
JR TIMI
“Senjata di kala ikan yang dipancing tak mahu makan.. dok berlenggang-lenggok depan mata… terpaksalah guna talian hayat terakhir.”
Bagi pemancing yang juga penggemar ikan hiasan pasti tidak lokek mengeluarkan belanja yang besar semata-mata untuk mendapatkan warna-warni akuarium seperti yang diidamkan. Bagi yang gemarkan ikan hiasan, mari kita lihat senarai ikan hiasan tropika yang paling mahal.
CANDY BASSLET (US$1,000)
Ikan yang mempunyai warna terang ini harus menjadi antara ikan marin tercantik. Ikan ini boleh dijumpai di Caribbean. Ikan ini agak aktif tambahan pula hanya memerlukan penjagaan yang minima seterusnya sesuai dijadikan ikan hiasan.
CLARION ANGELFISH (US$2,500)
Spesies Clarion angelfish diberi nama sempena nama sebuah pulau di perairan Mexico. Ikan ini mempunyai tona warna yang menarik dan sering ditangkap untuk dijadikan ikan hiasan. Walaupun mempunyai nilai yang tinggi, sesiapa yang menangkap dan membela ikan ini perlu mendapatkan permit daripada kerajaan Mexico terlebih dahulu.
WROUGHT IRON BUTTERFLYFISH (US$2,700)
Boleh dijumpai di perairan Jepun, ikan kecil yang menawan ini mencapai ukuran sekitar 6 inci apabila dewasa. Ikan ini sering menjadi kegemaran pengumpul ikan hiasan. Ikan ini merupakan perenang aktif dan sesuai diletakkan dalam akuarium selain mempunyai tona warna yang cantik.
AUSTRALIAN FLATHEAD PERCH (US$5,000)
Ikan ini juga antara spesies yang sukar ditemui dan jika ada, nilainya sekitar USD5,000. Ikan ini ditemui di perairan Australia dan agak sukar menangkapnya. Ikan ini bersembunyi di sebalik batu dan karang. Ikan ini akan memecut laju keluar hanya untuk serangan ketika mencari makanan dan akan memecut ke sebalik batu kembali. Warna dan jalur pada badan ikan ini menjadikannya sesuai sebagai ikan hiasan.
NEPTUNE GROUPER (US$6,000)
Ikan neptune grouper ini merupakan kegemaran peminat ikan hiasan dan nilainya sekitar USD6,000. Ikan ini sukar ditangkap kerana hidup di laut dalam. Penyelam yang menangkap ikan ini juga perlu naik ke permukaan dengan perlahan-lahan bagi mengelak ikan ini mati. Juvernil ikan ini mempunyai warna yang sangat berbeza dengan spesies yang telah matang. Warna terang pada badannya merupakan antara sebab spesies ini sangat dicari oleh pengumpul.
GOLDEN BASSLET (US$8,000)
Salah satu spesies terkecil dalam famili grouper, ikan ini boleh ditemui di Atlantik dan Pasifik. Ikan ini juga merupakan antara spesies yang jarang dilihat terjual. Ikan ini juga sangat pemalu dan sering bersembunyi di sebalik batu dan karang. Andai anda membela ikan berwarna seakan emas ini dalam akuarium, mungkin sesekali anda dapat melihat ikan ini berenang menghiasi akuarium kerana lebih banyak bersembunyi.
BLADEFIN BASSLET (US$10,00)
Ikan kecil yang cantik ini mempunyai nilai sekitar USD10,000. Namanya diberi kerana bentuk sirip dorsalnya yang seakan bilah pisau. Boleh ditemui di Caribbean dan mempunyai tona warna daripada oren hingga putih. Spesies ini juga merupakan spesies yang dicari oleh penggemar ikan hiasan kerana jarang dijumpai. Ikan ini hanya sebesar 1.5 inci dan hidup di laut dalam di sebalik karang.
PEPPERMINT ANGELFISH (US$30,000)
Peminat ikan hiasan tropika telah menawarkan sekitar USD30,000 untuk ikan eksotik yang pemalu ini. Pada 2012, hanya seekor ikan ini dipamerkan untuk orang awam. Ikan ini dipamerkan di Waikiki Aquarium setelah dijumpai oleh pasukan penyelidik dari institut Smithsonian. Ikan ini hidup di laut dalam antara 60-120 meter dalam sehinggakan penyelam jarang menemuinya.
FRESHWATER POLKA DOT STINGRAY (US$100,000)
Ikan pari air tawar ini telah muncul pada pameran di Taiwan pada tahun 2014. Spesies ini mempunyai mutasi genetik yang unik. Ikan ini merupakan antara spesies ikan akuarium yang termahal di Taiwan dengan nilai sekitar US100000. Yang menariknya, ikan ini tidak mampu hidup dalam persekitaran semula jadi. Jadi pemilik ikan ini perlu memastikan sentiasa memberi makan secara manual kepadanya.
PLATINUM AROWANA (US$400,000)
Carta teratas bagi ikan tropika paling mahal ialah platinum white arowana. Nilai anggaran ikan ini mampu mencecah sehingga USD400,000. Ikan ini sangat bernilai sehinggakan ia diimplan dengan mikrocip id sebagai pengenalan diri bagi mengelakkan sebarang penipuan genetik. Warna putih badannya adalah disebabkan oleh mutasi genetik yang jarang ditemui.
Carta teratas bagi ikan tropika paling mahal ialah platinum white arowana. Nilai anggaran ikan ini mampu mencecah sehingga USD400,000. Ikan ini sangat bernilai sehinggakan ia diimplan dengan mikrocip id sebagai pengenalan diri bagi mengelakkan sebarang penipuan genetik. Warna putih badannya adalah disebabkan oleh mutasi genetik yang jarang ditemui.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...