Ikan air masin boleh dibahagi kepada dua spesies iaitu ikan bersisik dan tidak bersisik. Sisik pada ikan bolehlah dianggap sebagai agen keselamatan. Bagi spesies yang tidak memiliki sisik, kebanyakannya dibekalkan set pertahanan diri yang lebih berbahaya seperti duri yang menyengat.
Ikan Dengkis
Nama saintifik: Siganus vermiculatus,
Nama umum: Spinefoot fish, Rabbitfish
Ikan dengkis hampir menyamai rupa ikan kitang namun dari segi nilai, ikan dengkis sememangnya jauh lebih bernilai dari kitang. Begitu juga dengan bisa dari sengat berduri ikan kitang. Ia mampu menyebabkan bahagian yang terkena sengat terasa kejang untuk beberapa jam lamanya.
Kitang
Nama saintifik: Scatophagus argus
Nama umum: Spotted scat
Ikan kitang berbentuk pipih dan biasanya mempunyai corak berbintik hitam di badannya. Ikan ini mempunyai duri yang berbisa di sepanjang barisan sirip dorsal serta sirip pelviknya. Duri yang berbisa pada ikan ini mampu mendatangkan kecederaan teruk yang menyebabkan rasa kebas dan kesakitan berlarutan jika tidak dirawat.
Mayong
Nama saintifik: Netuma thalassina, Arius thalassinus
Nama umum: Giant sea catfish
Ikan mayong mempunyai bentuk seperti ikan duri namun saiznya lebih besar dan mampu mencapai panjang sehingga 1.8 meter. Ikan mayong juga mempunyai duri dan sengat yang berbisa serta mampu mendatangkan kecederaan. Duri utama pada sirip dorsalnya sangat tajam dan keras ditambah dengan sepasang duri pada bahagian pektoralnya.
Pari Ketuka
Nama saintifik: Himantura imbricata
Nama umum: Scaly whipray
Ikan pari ketuka mempunyai bentuk badan yang hampir sama dengan ikan pari. Namun saiz ikan ketuka lebih kecil dan ikan ketuka lebih mendiami kawasan berair payau. Ikan ketuka juga mempunyai sengatnya di sebalik ekornya seperti pari. Sengat ikan ini mampu mendatangkan kecederaan yang teruk jika tidak dirawat.
Ikan Debam
Nama saintifik: Acanthurus lineatus
Nama umum: Lined Surgeonfish
Debam jalur merupakan ikan yang bersifat kewilayahan dan menghuni kawasan berbatu karang. Spesies ini biasanya berada dalam kumpulan yang banyak. Debam jalur juga merupakan spesies yang sentiasa berenang dan sering dijadikan sebagai ikan hiasan. Pada bahagian kaudal atau ekornya, terdapat duri yang agak berbisa dan mampu mendatangkan kecederaan jika terkena pada anggota badan.
Talang
Nama saintifik: Scomberoides tol
Nama umum: Queenfish
Ikan talang lampai dewasa biasanya berlegar di permukaan air dalam kawanan kecil. Ikan ini akan memburu ikan kecil sebagai makanannya. Terdapat duri pada sirip dorsal dan sirip anal yang sesetengah mempunyai toksin yang berbisa.
Lolong bara / sebekah karang
Nama saintifik : Sargocentron cornutum
Nama umum : Threespot squirrelfish
Ikan lolong bara hidup di kawasan yang kaya dengan terumbu karang sehingga kepada kedalaman sedalam 40 meter. Selalunya spesies ini bersembunyi di kawasan berbatu dan terlindung. Spesies ini biasanya menjadikan waktu malam sebagai masa memburu makanannya seperti udang dan ketam bentik. Pada bahagian operkulumnya, terdapat duri yang berbisa dan mampu mencederakan jika terkena sengatannya.