Ikan Impian Kaki Fly Fishing

Share

 

Sebagaimana kaki casting atau jigging, kaki pancing layang atau fly fishing juga memiliki ikan atau spesies monster yang menjadi sasaran. Semakin sukar spesies buruan sama ada untuk ditemui, diperdaya dan ditewaskan, semakin tinggilah nilainya sekaligus dinobat sebagai ikan trofi.

 

Arapaima

 

Arapaima merupakan antara ikan yang paling besar dan mengaggumkan. Spesies yang biasanya ditemui di Amerika Selatan dan keunikan ini sering mendapat perhatian kaki pancing seluruh dunia termasuklah pancing layang. Berikutan saiz dan kekuatan yang umpama mustahil untuk dijinakkan melalui pancing layang menyebabkan ia menjadi buruan utama kaki fly fishing.

 

 

Taimen

 

Ikan taimen juga dikenali sebagai river wolf oleh pemancing layang berikutan kekuatan lariannya yang begitu menakjubkan. Ikan taimen popular di Mongolia dan merupakan salmonid terbesar dalam kelasnya. Spesies ini biasanya dijumpai di bahagian atas Mongolia sehingga ke Timur Siberia. Sensasi pancingan gergasi ikan air tawar ini lain daripada yang lain.

 

 

Golden dorado

 

Spesies ini terkenal di bahagian Amerika Selatan. Golden dorado mempunyai kepala yang besar, rahang yang kuat dan gigi yang tajam. Panjang biasa ikan ini ialah 1 meter dengan warna emas meliputi badannya. Menurut kaki pancing layang pernah memancing spesies ini, ikan ini merupakan antara ikan yang paling agresif di Argentina.

 

 

Tigerfish

 

Ikan tigerfish merupakan ikan trofi yang sangat kuat dan ganas. Ikan yang berasal dari Afrika ini banyak ditemui di sungai-sungai di sistem Sungai Congo. Dengan giginya yang tajam dan besar, spesies ganas ini menjadi pengalaman yang menakjubkan bagi kaki pancing layang.

Dengan kekuatan dan sebagai pemangsa yang ganas, spesies ini menjadi antara spesies lagenda ditangkap dengan pancing layang.

 

 

Golden Mahseer

 

Ikan kelah emas atau golden mahseer dikatakan menjadi antara trofi kebanggan kaki pancing layang. Dengan kekuatan dan keunikan bentuk dan warnanya sudah cukup untuk dijadikan trofi kemenangan. Selain kekuatan yang memang tidak boleh dipertikaikan, kesukaran menjejak spesies rare sungai pergunungan ini menjadikan tanggapannya begitu bernilai berbanding spesies lain.

 

 

Giant Trevally

 

Giant trevally atau GT bukanlah spesies yang sukar ditemui. Spesies ini boleh ditemui di kebanyakan lokasi terutama di lautan Pasifik dan Hindi. Namun, kekuatan dan reka bentuk badannya menghasilkan daya juang yang pasi memaksa pemancing untuk memerah sepenuh keringat ketika bertarung.

Kekuatan GT dibantu dengan bentuk tubuhnya yang berotot, sirip pecktoral yang besar dan sirip kaudal yang besar.

 

 

Tarpon

 

Sang tarpon merupakan antara spesies yang mempunyai daya juang yang menakjubkan. Selain staminanya yang tinggi di dalam air, keupayaan di udara ketika melompat keluar permukaan air juga merupakan antara abilitinya yang sering mengecewakan pemancing.

Kombinasi rahang yang kuat, kemampuan ketika di udara dan stamina yang tinggi menjadikan spesies ini pejuang yang hebat.

 

 

Milkfish

 

Milkfish atau ikan susu tergolong dalam keluarga besar Chanidae. Spesies ini boleh membesar sehingga 5 kaki panjang dan mencapai berat 40lb. Memancing ikan susu suatu ketika dahulu dianggap mustahil di kalangan kaki pancing layang. Namun kini ia tidak lagi mustahil malah memancing milkfish menjadi satu trend kegilaan kaki pancing layang. Milkfish dikatakan menguji kesabaran dan teknik pemancing layang yang sebenar.

 

 

Published by
Amang