Ikan pendatang merupakan ikan yang dibawa masuk ke sesuatu perairan yang bukan habitat asalnya.
Kebanyakan dari kita menganggap ikan pendatang ini merbahaya kepada ikan natif atau ikan asal.
Ada pula yang bersetuju atas nama sukan memancing. Walau apa tujuan asalnya, sama ada menyokong atau membantah, mari kita lihat spesies-spesies ikan pendatang dan impak dari kewujudannya.
PEACOCK BASS
Nama lain : Peacock cichlid, PB, Ikan raja
Nama Saintifik : Cichla ocellaris
Negara asal : Kawasan sungai Amerika Selatan, Guyana dan Suriname
Ikan peacock bass dikatakan spesies yang cepat membiak dengan banyak dalam sesuatu kawasan. Asalnya, ikan ini diperkenalkan untuk tujuan akuakultur dan aktiviti memancing secara komersial.
Namun disebabkan sifat kepemangsaannya yang melampau, spesies ini dikatakan tidak sesuai dalam akuakultur.
Namun begitu, bagi sektor pancingan sukan PB amat digemari oleh kaki pancing kerana kekuatan lariannya.
Risiko bagi ekosistem yang mempunyai kemasukan spesies ini dan tidak dikawal selia dengan baik mungkin mengakibatkan penurunan bilangan spesies tempatan lain dan kehilangan spesies tertentu dalam sesebuah ekosistem.
KELI AFRIKA
Nama lain : Northen African catfish, lele
Nama Saintifik : Clarias gariepinus
Negara asal : Kebanyakan negara Pan-Afrika
Keli Afrika pada mulanya diperkenalkan sekitar tahun 1980-an. Ini bertujuan untuk pembiakan kacukan serta beberapa faktor untuk kegunaan akuakultur.
Keli Afrika tidaklah merupakan ancaman yang besar kepada ekosistem dan spesies tempatan.
Biasanya spesies ini memakan apa saja dan hidup secara senyap di tasik, kolam atau lombong. Walaupun dikatakan tidak mempunyai daya melawan yang kuat, keli Afrika
masih mempunyai kelebihan kerana saiznya yang mampu mencapai saiz gergasi membuatkannya masih menjadi buruan bagi sesetengah pemancing.
AMAZON REDTAIL CATFISH
Nama lain : Amazon Redtail catfish
Nama Saintifik :Phractocephalus henioliopterus
Negara asal : Amerika Selatan; Amazon, Brazil, Colombia
Spesies catfish ekor merah ini merupakan spesies yang berasal dari Amerika Selatan. Pengenalan spesies ini kepada habitat tempatan ialah menerusi kepentingan dalam bidang ikan hiasan serta ikan bagi buruan pemancing sukan.
Kekuatan ikan ini menjadikannya menjadi spesies ikan sukan yang semakin popular di kalangan pemancing tempatan.
Terdapat kolam-kolam pancing komersial sudah mula memperkenalkan spesies ini di kolam mereka.
Walaupun diakui ganas, namun masih tiada rekod jelas menunjukkan ancaman risiko tinggi kepada ekosistem tempatan ataupun kemampuan spesies ini untuk membiak sendiri di ekosistem bebas tempatan.
BAUNG EKOR MERAH
Nama lain : Asian Redtail Catfish
Nama Saintifik: Hemibagrus wyckioides
Negara Asal: Indochina, Thailand
Ikan ini dipasarkan secara segar sebagai ikan makanan dan menjadi industri akuakultur di beberapa negara asia.
Spesies ini dibawa masuk ke Malaysia sebagai ikan akuarium dan juga sebagai ikan sukan di kolam-kolam pancing air tawar komersial.
Baung ekor merah ini tidak memilih dan memakan apa sahaja makanan. Spesies ini turut didakwa sebagai ikan air tawar paling agresif di dunia dan sudah pun bertebaran luas memasuki sistem sungai di negara kita.
Secara perlahan-lahan spesies tempatan seperti baung kuning mula terancam survival hidupnya.
PATIN MEKONG
Nama lain : Mekong giant catfish
Nama Saintifik : Pangasianodon gigas
Negara asal : Sungai Mekong, Thailand
Patin Mekong merupakan antara spesies ikan buruan kaki pancing yang terbesar. Patin Mekong berasal dari Sungai Mekong dan sehingga kini spesies ini dikatakan semakin berkurangan akibat eksploitasi tanpa kawalan.
Pengenalan spesies ini kepada perairan tempatan awalnya atas dasar penyelidikan perikanan dan akuakultur.
Dewasa ini, spesies ini menjadi kegilaan bagi pemancing tempatan dan semakin banyak spesies ini boleh ditemui di kolam pancing komersial.
Tiada rekod jelas bagi spesies ini terlepas ke dalam ekosistem bebas, justeru tiada ancaman jelas terhadap spesies tempatan lain.
PATIN CHAO PHRAYA
Nama lain: Giant pangasius, Paroon Shark
Nama saintifik: Pangasius sanitwongsei
Negara asal: Indochina, Thailand
Ikan patin Chao Phraya atau Chao Phraya catfish merupakan spesies ikan air tawar yang berada dalam keluarga ikan yu patin (shark catfish) dalam order Siluriformes.
Ikan yang berasal dari lembangan sungai Mekong dan Sungai Chao Phraya ini telah disenaraikan dalam spesies yang terancam berikutan aktiviti penangkapan secara berlebihan.
Spesies benthopelagik dan bermigrasi ini menjadikan krustasea dan ikan ikan sebagai makanan utama.
Ia kini menjadi ikan sukan khususnya di kolam-kolam pancing air tawar komersial dan sangat berbahaya sekiranya terlepas ke sistem badan sungai ekoran kerakusan dan kemampuan hidup di kawasan air payau dengan baik.
KAP SIAM
Nama lain: Siamese carp, Siamese giant carp,
Nama saintifik: Catlocarpio siamensis
Negara Asal: Indochina, Thailand
Ikan giant barb, Siamese carp atau kap Siam merupakan spesies Cyprinid terbesar di dunia dan hanya terdapat di Lembah Mae Klong, Mekong dan Chao Phraya di Indochina.
Ia telah merosot secara drastik akibat kehilang habitan dan penangkapan ikan secara berlebihan dan kini dianggap kritikal terancam.
Ikan yang mampu membesar panjang sehingga 3 meter dan 300 kg berat ini kini lebih mudah ditemui kolam-kolam pancing dan di dalam industri akukultur.
Kehadirannya sama sekali tidak menjejaskan populasi ikan tempatan kerana tiada sebarang rekod ancaman dari spesies ini.
KARAK
Nama lain: Indian carp, catla
Nama saintifik: Gibelion catfish
Negara Asal: India, Bangladesh, Pakistan, Nepal
Ikan catla atau juga dikenali sebagai karak adalah ikan air tawar Asia Selatan yang paling penting dari segi ekonomi di dalam keluarga Cyprinidae.
Ia berasal dari sungai dan tasik di utara India, Nepal, Myanmar, Bangladesh dan Pakistan tetapi juga diperkenalkan di tempat lain di Asia Selatan dan dan biasanya diternak.
Ikan karak adalah ikan yang makan di permukaan dan pertengahan air. Catla mencapai kematangan usia purata 2 tahun dan purata berat 2 kg.
Spesies yang terdapat di kebanyakan kolam air tawar malam ini tidak dapat dipastikan kesannya jika mencerobohi perairan kita.