Ikan Gred A Buruan Kaki Jigging

Share

 

Walaupun demam teknik slow pitch jigging atau jigging perlahan sudah tidak meninggi sebagaimana dua tiga tahun dahulu, namun ia masih menjadi pilihan utama khususnya para pemancing muda. Tambahan pula masih ada ikan sasaran utama yang belum didaratkan. Jom kita tengok ikan apa yang menjadi sasaran utama slow pitch jigger.

 

IBU GELAMA

 

Nama saintifik: Argyrosomus japonicus
Nama Inggeris: Mulloway, Jewfish, Kingfish
Nama Tempatan: Ibu gelama

 

 

Argyrosomus japonicus adalah spesies ikan berwarna keperakan dan hijau gangsa yang tergolong dalam keluarga Sciaenidae. Di Australia ia dikenali sebagai mulloway atau jewfish dan kob dusky di Afrika Selatan. Ibu gelama ini mampu mencapai panjang kira-kira 180 cm (80 kg berat), walau bagaimana pun purata saiz yang biasanya ditangkap sekitar 3-15 kg.

 

Dalam skop jigging perlahan masa kini, ibu gelama dianggap sebagai spesies buruan paling atas masa kini. Ia berikutan bukan sahaja kerana kesukaran untuk memperolehinya, bahkan disebabkan tahap kekuatan pertarungannya yang luar biasa berbanding spesies. Seperkara lain, ibu gelama yang lazimnya ditumpaskan melalui teknik slow jigging ini, saiznya besar-besar belaka.

 

RUBY SNAPPER

 

Nama saintifik: Etelis carbunculus
Nama Inggeris: Deepwater snapper, queen snapper, jobfish, ruby snapper,
Nama Tempatan: Ruby snapper, kerisi bali.

 

 

Apabila teknik slow pitch jigging dipraktikkan secara meluas di negara ini, barulah spesies ruby snapper yang mendiami perairan berkedalaman melebihi 200 meter ini mencapai kemahsyurannya.

 

Sebelum ini ia menjadi trofi pancingan dasar laut dalam sahaja. Tambahan pula ia tidak ditemui di perairan semenanjung Malaysia menjadikan ia popular di kalangan pemancing tertentu saja. Dalam skop jigging perlahan hari ini, ruby snapper secara tiba-tiba menjadi buruan utama.

 

Hari ini semakin ramai pemancing yang menempah penerbangan ke Sabah dan Sarawak semata-mata untuk mencari lesen ruby snapper melalui teknik slow jigging.

 

JENAHAK

 

Nama saintifik: Lutjanus Johnnil
Nama Inggeris: Golden snapper, John’s Snapper
Nama Tempatan: Jenahak, jenak, ungah

 

 

Ikan yang tergolong dalam keluarga Lutjanidae ini merupakan spesies yang paling popular dalam 60 genus lutjanus yang memakai nama jenahak. Ikan jenahak boleh hidup sihat dan berenang bebas di kawasan laut beriklim tropika dan subtropika.

 

Ia mampu membesar sehingga satu meter panjang dan seberat 13 kilogram. Ia mudah dikenali dengan tompok hitam bulat di bahagian belakang badannya.

 

Dalam disiplin jigging perlahan, ia merupakan ‘ikan sisik’ yang berada di ranking paling atas dalam spesies buruan utama. Bahkan dalam sesuatu trip jigging perlahan, trip berkenaan boleh dianggap gagal atau kumpau jika gagal mendaratkan jenahak.

 

TONG GAS / BORON

 

Nama saintifik: Epinephelus malabaricus
Nama Inggeris: Malabar Grouper
Nama tempatan: Kerapu, boron, tong gas

 

 

Kerapu atau boron ini mampu survival dalam pelbagai habitat. Ia mampu hidup di kawasan terumbu karang, terumbu berbatu, muara, kawasan paya bakau serta lautan hingga kedalaman 150 meter.

 

Boron atau turut digelar ‘tong gas’ merupakan hidupan laut yang lasak. Dengan kepala coklat dan badan panjang. Badannya dilitupi bintik hitam kecoklatan yang meningkat jumlahnya seiring usia. Ia mampu membesar sehingga 120 cm dan 150 kilogram berat.

 

Dalam disiplin jigging perlahan, ia menjadi spesies buruan utama dari aspek saiz dan daya juangnya yang padu. Walaupun daya juangnya cuma seketika namun aksinya selepas membaham jig itulah yang dirindukan.

 

SIAKAP MERAH

 

Nama saintifik: Lutjanus argentimaculatus
Nama Inggeris: Mangrove jack
Nama tempatan: Kakap merah, siakap merah, tambong

 

 

Ikan siakap merah atau lebih popular dengan panggilan MJ di kalangan pemancing lazimnya hidup di kawasan muara sebagai tempat perlindungan dan mencari makanan. Apabila matang ia akan berhijrah ke laut lepas. Justeru ia menimbulkan kekeliruan kepada sesetengah pemancing untuk membezakan kakap merah yang didapati di muara dengan kakap merah di laut dalam.

 

Dalam disiplin jigging perlahan, kakap merah dianggap rare species berikutan peluang untuk mendaratkannya amat tipis walaupun berpuluh kali trip memancing diadakan. Hingga dikatakan hanya jigger tahap masta saja yang bejaya mendaratkannya.

 

MERAH PUCAT

 

Nama Saintifik: Lutjanus erythropterus
Nama Inggeris: Crimson Snapper
Nama tempatan: Merah, merah pucat

 

 

Spesies yang mudah dikenali berikutan keseluruhan badannya termasuklah sirip berwarna merah atau merah jambu. Profil dorsalnya berkepala curam dan bermulut kecil. Ia mampu membesar sehingga 60 cm namun pada kebiasaannya yang didaratkan dalam lingkungan saiz 45 sahaja.

 

Ia merupakan spesies buruan utama dalam dunia pancingan dasar. Namun dalam disiplin jigging perlahan, spesies ini masih menjadi satu persoalan yang tidak terjawab sama ada ia benar-benar membaham jig. Atau dalam erti kata lain, bukannya jig hybrid atau jig yang diletakkan umpan.

 

KERAPU SUNUH

 

Nama saintifik: Plectropomus leopardus
Nama Inggeris: Common coral trout, leopard coral grouper
Nama tempatan: Sunoh, kerapu bara, kerapu bintang

 

 

Kerapu ini dapat dikenali menerusi badannya yang dilimpahi titik biru kecil. Bulatan cincin biru yang tersendiri di sekeliling mata. Dan sirip pektoral yang polos tanpa warna. Ia mampu membesar sehingga 120 cm panjang namun saiz yang lazim didapati sekitar 35cm sahaja.

 

Dalam disiplin jigging perlahan ia merupakan spesies tangkapan impian berikutan kesukaran untuk mendapatkannya, khususnya di perairan Selat Melaka yang merupakan padang pancing utama jigging perlahan.

Published by
Amang