Ikan pendatang ditafsirkan sebagai spesies ikan yang bukan berasal di tempat tertentu namun diperkenalkan atau dibawa masuk ke perairan tersebut. Kebanyakan kita beranggapan ikan pendatang merbahaya, namun tidak kesemuanya mempunyai kesan negatif.
Perlu diingatkan tujuan diperkenalkan pada peringkat awal semua bertujuan positif. Yang tinggal hanyalah bagaimana pengawalan itu dilakukan terhadap spesies yang dibawa masuk.
Keli Afrika
Nama lain: Northen African catfish
Nama Saintifik: Clarias gariepinus
Negara asal: Kebanyakan negara Pan-Afrika
Keli Afrika pada mulanya diperkenalkan sekitar tahun 1980-an. Ini bertujuan untuk pembiakan kacukan serta beberapa faktor untuk kegunaan akuakultur. Keli Afrika tidaklah merupakan ancaman yang besar kepada ekosistem dan spesies tempatan.
Biasanya spesies ini memakan apa saja dan hidup secara senyap di tasik, kolam atau lombong. Walaupun dikatakan tidak mempunyai daya melawan yang kuat, keli Afrika masih mempunyai kelebihan kerana saiznya yang mampu mencapai saiz gergasi membuatkannya masih menjadi buruan bagi sesetengah pemancing.
Tilapia
Nama lain: Tilapia
Nama Saintifik: Oreochromis mossambicus
Negara asal: Negara Afrika; Mozambique, Lesotho, Swaziland
Tilapia merupakan spesies popular dalam keluarga Cichlidae. Spesies ini diperkenalkan bagi pembangunan sektor akuakultur dan sebagai sumber makanan penduduk. Bagaimanapun, spesies dari Afrika ini yang biasanya di kultur
secara sangkar akan menurunkan kualiti air kawasan sekitar. Tilapia yang terlepas ke sesuatu ekosistem pula mampu mengakibatkan pengubahsuaian ekosistem terutama kepada spesies cichlid tempatan serta komuniti bentik sesuatu habitat.
Oreochromis merupakan genus terbesar dalam keluarga cichlid tilapia. Spesies yang biasa ditemui di Malaysia ialah O. niloticus (merah) dan O. aureus (biru).
Keli Bunga
Nama lain: Freshwater catfish
Nama saintifik: Clarias macrocephalus
Negara asal: Asia; Thailand dan Vietnam
Keli bunga mula diperkenalkan untuk tujuan penyelidikan dan kacukan terutama dengan spesies keli Afrika. Selain itu spesies ini juga menjadi sumber penting untuk sektor akuakultur dan diternak secara komersial. Walaupun menjadi ikan yang masih dipancing di kalangan pemancing, nilainya tidaklah tinggi. Tiada ancaman tinggi terhadap ekosistem.
Sepat Siam
Nama lain: Snakeskin gourami
Nama saintifik: Trichogaster pectoralis
Negara asal: Asia; Laos, Thailand, Vietnam, Kemboja
Ikan ini bukanlah asing di perairan kita. Mula diperkenalkan di kawasan sawah padi tempatan sebagai sumber subsisten lain serta kawalan biologi. Spesies ini juga mempunyai kepentingan dalam sektor ikan hiasan.
Mempunyai kepentingan ekonomi yang tinggi lantas menjadikan spesies ini sangat popular untuk ternakan dan akuakultur. Spesies tempatan dari genus sama yang popular ialah Trichogaster tricopterus (three spot gourami) atau lebih kita kenali dengan nama sepat ronggeng atau sepat Kedah.
Lampam Jawa
Nama lain: Javanese barb, Silverbarb
Nama Saintifik: Puntius javanicus / Barbonymus gonionotus
Negara asal: Asia; Thailand, Myanmar, Laos
Spesies lampam Jawa kadang-kadang menjadi perdebatan sama ada spesies ini merupakan spesies natif atau pun spesies yang diperkenalkan. Sumber banyak menunjukkan ikan diperkenalkan di perairan kita bagi tujuan akuakultur dan ikan hiasan secara komersial.
Spesies ini juga tidaklah mengancam ekosistem malah merupakan spesies yang gemar dipancing oleh pemancing terutama di tasik-tasik utama di Malaysia. Selain menjadi spesies popular, ikan ini juga mempunyai rasa yang agak enak sebagai makanan.