VEMP: Saya mula memancing seawal umur 9 tahun. Seperti kebanyakan pemancing, saya juga memancing kerana faktor genetik.
Disebabkan selalu mengikut arwah ayah saya memancing, lama-kelamaan minat memancing terus melekat dalam jiwa saya.
UMPAN: Sejak bila terlibat dengan pancingan muara?
Ads
VEMP: Saya mula terjebak dengan pancingan muara kira-kira 4 hingga 5 tahun yang lalu.
Sebelum ini saya lebih banyak memancing pancingan air tawar. Sungai, tasik, kolam… semuanya saya layan.
Tetapi bila terlibat dengan pancingan muara ini baru saya dapat rasakan bahawa jiwa saya lebih kepada pancingan muara.
UMPAN: Rintangan dan harapan dalam meneruskan hobi ini?
VEMP: Saya memegang konsep tiada alasan untuk memancing. Secara tidak langsung ia menjadikan sebarang rintangan atau cabaran itu seperti perkara biasa yang perlu dihadapi.
Ads
Harapan saya… saya ingin perluaskan lagi ilmu dalam pancingan muara ini. Pancingan muara ini terlalu luas umpama muara itu sendiri.
UMPAN: Pengalaman memancing yang manis / pahit sepanjang hobi ini?
VEMP: Ada orang yang anggap kumpau itu sebagai pengalaman pahit tetapi saya tidak. Kumpau itu indah sebenarnya.
Pengalaman pahit yang sebenar ialah bila tidak dapat pergi memancing tatkala ikan-ikan mega sudah masuk ke lubuk harian.
Ads
Pengalaman manis itu bila dapat pergi memancing dan lebih manis lagi bila dapat tarik ikan-ikan bersaiz besar seperti senohong atau pari.
UMPAN: Sekiranya saya berminat untuk menceburi bidang pancingan muara, apakah peralatan yang perlu saya ada?
VEMP: Dua peralatan utama yang perlu ada ialah rod panjang seperti 10kaki ke 15kaki… mesin size 6000 ke atas yang gear ratio tinggi dan laju.
Selain daripada itu alatan biasa yang boleh digunakan untuk pancingan lain juga.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
ABD RAHMAN: Sebagai anak nelayan, saya telah didedahkan dengan laut sejak dari kecil lagi. Sejak dari kecil saya sudah bergelumang dengan laut.
Sejak dari kecil juga saya sudah terbabit dengan dunia hanyir ni. Kadang-kadang sampan atau bot nelayan ni menjadi rumah kedua saya.
Namun secara rasminya saya menjadi tekong kira-kira 15 tahun yang lalu.
Selain kerjaya sebagai tekong, saya juga angler. Memancing macam-macam jenis ikan darat dan laut. Cari pengalaman dan belajar.
Sama ada candat, casting, jigging, bottom, poping semua saya main… paling suka ultralight set fight dengan ikan besar.
Udang, puyu, kolam ikan darat pun saya main… asalkan memancing.
UMPAN: Kenapa anda memilih kerjaya ini?
ABD RAHMAN: Pada peringkat awalnya saya menjadi tekong ini sekadar untuk suka-suka saja. Tambah pula memancing dah jadi hobi nombor satu.
Jadi, bila boleh bawa sendiri sampan atau bot, tentu lebih senang untuk saya memancing di lubuk-lubuk pilihan saya sendiri.
Dari situlah ia sedikit demi sedikit ia bertukar menjadi kerjaya sehinggalah sekarang ini.
UMPAN: Apa kriteria yang perlu ada untuk menjadi seorang tekong?
ABD RAHMAN: Paling utama mestilah cekap mengendalikan sampan atau bot. Sebab kita bukan bawa nyawa kita seorang saja. Banyak nyawa yang perlu dipertanggungjawabkan.
Kemudian mestilah rajin memancing juga. Tentu pelanggan tidak suka bila tengok tekong sekadar bawa ke lubuk saja kemudian duduk goyang kaki.
Selain itu perlulah berikan servis yang terbaik dan juga ramah. Segala ilmu yang ada jangan sama sekali kedekut untuk dikongsi tanpa mengira pelanggan. Jangan sesekali memilih pelanggan untuk berikan yang terbaik.
UMPAN: Apa rintangan dan harapan anda dalam meneruskan tugasan ini?
ABD RAHMAN: Rintangan tu tidaklah banyak sangat selain faktor cuaca dan ikan tak buka mulut. Bila ikan kurang makan, maka banyaklah spot yang asyik kena ubah dan geledah.
Kalau ikan galak makan, maka taklah banyak tempat kena ubah. Saya bukan mengira soal kos petrol tetapi tentang kepuasan dan masa pelanggan.
UMPAN: Boleh ceritakan sedikit pengalaman memancing (trip) yang manis dan pahit?
ABD RAHMAN: Smeua trip yang saya bawa dan saya anjurkan tu adalah pengalaman manis sebab yang penting adalah UKHWAH.
Yang paling pahit pulak rasanya takde sangat… selain trip kna kencing. Tapi saya anggap itu sebagai lumrah dalam mencari rezeki.
Pakej sewaan bot
Saiz bot: (bot – 29’ x 8’ ) / (sampan – 28’ x 7’ )
Enjin: (bot – 115hp) / (sampan – 75hp)
Kapasiti pemancing: (bot – max 7 pemancing) / (sampan – max 5 pemancing)
Pakej sewa: (bot – RM550) / (sampan – RM350)
Lokasi pancing: Pulau Aman, P. Rimau, Pulau Kendi dll.
Jika di sebelah utara tanah air, nama Pak Ngah memang dikenali ramai oleh kaki pancing di sana.
Kaki pancing terutama kaki mengilat mengenali Pak Ngah kerana pengalaman dan keupayaan Pak Ngah dalam menghasilkan bullet fly buatan tangan yang memang terbukti prestasinya.
Pak Ngah meminati sukan memancing sejak sekian lama. Malah, Pak Ngah juga sering terlibat dengan banyak aktiviti berkaitan sukan memancing di sekitar Kedah dan Pulau Pinang, lebih-lebih lagi aktiviti yang menjurus kepada pendidikan untuk komuniti pancing.
Pengalaman memancing
Menurut Pak Ngah, pengalaman memancingnya bermula sejak sekian lama. Jadi tidak hairanlah, dunia memancing ini sudah menjadi sebahagian daripada hidup Pak Ngah sendiri.
Berkongsi kisah pengalaman memancingnya, Pak Ngah memberitahu bahawa dia mula mengenal pancing dan kail sejak usia 12 tahun. Waktu itu, aktiviti memancing Pak Ngah lebih ke arah pancingan laut.
Sekitar tahun 2001, Pak Ngah mula meminati pancingan ultralight. Waktu itu, Pak Ngah telah berjinak-jinak dengan pancingan ikan tarpon atau bulan.
Pancingan ultralight Pak Ngah bermula apabila dia pulang dan menetap di Kedah setelah beberapa tahun merantau.
Ketika menceburi pancingan ultralight, Pak Ngah merasakan kepuasan yang tersendiri.
Dengan rod dan tali yang mempunyai poundage yang rendah, perlawanan dengan ikan terutama spesies tarpon cukup menghiburkan.
Sejak itu juga, Pak Ngah mula berjinak dengan umpan tiruan dan mula menghasilkan umpan bulu atau bullet fly sehingga sekarang.
Cetusan idea bullet fly
Pak Ngah turut berkongsi cerita bagaimana permulaan ketika dia menghasilkan umpan bulu atau bullet fly secara buatan tangan yang kekal mendapat sambutan hingga hari ini.
Permulaan Pak Ngah menjadi seorang crafter bullet fly banyak mendapat dorongan daripada teman karibnya iaitu arwah Cikgu Fadzil.
Arwah Cikgu Fadzil banyak merupakan orang yang bertanggungjawab mengajar dan memperkenalkan pembuatan bullet fly kepada Pak Ngah.
Dari situ, Pak Ngah mula belajar cara pembuatan dan material bagi menghasilkan bullet fly yang berkualiti.
Jenis bulu dan cara ikatan banyak mempengaruhi bullet fly yang dihasilkan.
Selang beberapa ketika, Pak Ngah mula cuba untuk meningkatkan kualiti bullet fly buatannya baik dari segi material, persembahan dan prestasi.
Hingga kini, material utama penghasilan umpan bulu ini ialah bulu ayam jantan kampung.
Sejak dari awal, Pak Ngah menghasilkan umpan bulu secara kecil-kecilan sahaja sama ada untuk kegunaan diri sendiri dan beberapa orang teman rapat yang sering keluar memancing bersama.
Lama-kelamaan permintaan daripada rakan-rakan Pak Ngah semakin meningkat kerana keupayaan bullet fly buatan Pak Ngah betul-betul ‘mencakup’.
Akhirnya, Pak Ngah mula menghasilkan umpan ini dengan skala yang lebih besar bagi memenuhi permintaan daripada kaki pancing.
Hari ini, bullet fly hasil kerja tangan Pak Ngah mendapat permintaan daripada kaki pancing di seluruh Malaysia.
Harapan dalam sukan memancing
Sebelum mengakhiri perbualan, penulis sempat bertanya apakah harapan Pak Ngah bagi pemancing dan industri memancing itu sendiri.
Secara peribadi, Pak Ngah mengatakan bahawa dia mengharapkan akan berdiri lebih ramai lagi kaki pancing yang berilmu baik dari segi kaedah pancingan dan juga dari segi penjagaan alam sekitar dan sumber.
Bagi Pak Ngah, dia melihat pemancing ini sebagai duta alam sekitar. Dari situ, penjagaan sumber alam sekitar menjadi tanggungjawab pemancing kerana bagi Pak Ngah, pemancing merupakan antara individu dan komuniti yang paling rapat dengan alam sekitar.
Oleh itu, pemancing diharapkan sentiasa berhemah dan beretika, tidak mengotorkan alam sekitar ketika memancing lantas menjadi model ikutan kepada masyarakat sekeliling.
Pak Ngah juga berkongsi pandangannya berkaitan ultralight di mana dia melihat pancingan ultralight merupakan teknik pancingan yang semakin popular.
Sehubungan dengan itu, peningkatan pemancing ultralight biarlah sejajar dengan kredibiliti dan ilmu bagi seorang kaki pancing untuk sama-sama menjadi contoh yang baik kepada pemancing baru dalam penjagaan alam sekitar.
Kerjaya : Pemuzik, pengacara TV dan pemancing ekstrem
Dalam dunia pancingan moden hari ini, nama Jakub vagner sememangnya cukup dikenali.
Beliau merupakan seorang pemancing ekstrem dan pengembara yang diakui kehebatannya dalam memburu ikan gergasi di serata dunia termasuk di lokasi yang sangat terpencil.
Siri televisyen Fish Warrior menjadikannya ikon ‘pahlawan ikan’ bagi rata-rata pemancing seluruh dunia.
Pengembaraannya di serata pelosok dunia memerlukan kekuatan psikologi, fizikal, skil dan teknik memancing serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan masyarakat setempat.
Jakub pada awalnya bekerja sebagai guide memancing di banyak negara. Ketika di Australia dan bekerja dengan Big Game Fishing sebagai guide mendaratkan swordfish, tuna
dan jerung, dia telah bertemu dengan Rex Hunt yang digelar sebagai ‘Australian fishing guru’ atau sifu memancing Australia.
Jakub kemudiannya menjadikan Rex Hunt sebagai mentor memancing dan spiritualnya.
Sepanjang berkelana ke serata dunia memburu pelbagai spesies ikan, Jakub telah banyak mencipta rekod tangkapan rasmi dan tidak rasmi, termasuk rekod rasmi International Game Fishing Association (IGFA).
Antara rekod tangkapan Jakub yang unik ialah pada Februari 2008 di mana dia memecahkan rekod spesies goliath catfish sebanyak 3 kali berturut-turut di Lembah Amazon.
Ketika ekspedisi 3 minggu di Amazon, Jakub mendaratkan spesies tersebut seberat 190 kg yang merupakan rekod terbaru.
Kemudiannya, dia berjaya mendaratkan 2 ekor lagi yang beratnya 196 kg dan 215 kg dan memecahkan rekodnya sendiri.
Dalam ekspedisi yang sama juga, Jakub berjaya memecahkan apa yang digelar ‘tembok 3 meter bagi spesies air tawar’ apabila menaikkan arapaima sepanjang 307 cm dengan berat 154 kg.
Tangkapan ini bukan sahaja merupakan rekod bagi Jakub Vagner, malah merupakan rekod bagi Arapaima gigas.
Dalam lapangan memancing, Jakub menjadi antara pemain atau kunci utama yang menyokong konsep tangkap dan lepas.
Dia juga berjaya membuktikan kehadiran besar ikan catfish bersaiz trofi di perairan negaranya iaitu Republik Czech selepas mendaratkan 147 ekor ikan tersebut dalam masa 40 jam yang juga menjadi salah satu rekod menarik bersama 7 orang pemancing lain.
Pada 2010, pihak IGFA telah memberi penghormatan kepada Jakub dengan jemputan untuk menerbitkan artikelnya tentang pancingan di Congo, Afrika.
Artikel tersebut telah diterbitkan dalam buku tahunan IGFA tahun 2010 dan mendapat respon yang sangat positif.
Selain sering dijemput untuk wawancara, Jakub menulis artikel untuk beberapa majalah antarabangsa berkaitan pengalamannya.
Pada tahun 2010, Jakub menerbitkan buku tulisan pertamanya. Buku dengan judul “My Friend the Catfish” ini mengambil masa 13 tahun sebelum berjaya siap sepenuhnya.
Bagi Jakub, impian terhebatnya ialah mahu memetakan lokasi spesies terbesar ikan air tawar gergasi dan jarang ditemui di bumi.
Beliau telah menyenaraikan 24 spesies ikan air tawar gergasi, mewakili pemangsa tertinggi bagi setiap sungai dan tasik terbesar di bumi.
Setiap daripadanya mencapai 100 kg berat dan 2 meter panjang.
Oleh kerana lebih separuh daripada 24 spesies itu sukar ditemui dan dijangka pupus dalam beberapa puluh tahun lagi, projek besar ini tiada had masanya.
Setakat ini, selepas 8 tahun projek ini bermula, pahlawan ikan ini telah mengembara ke semua benua kecuali Antartika bagi mencari spesies dalam senarai 24 spesies ini.
Setakat ini dikatakan 16 daripada 24 spesies itu telah berjaya dipetakan setelah mengharungi kepayahan bertualang ke serata ceruk lubuk yang sangat terpencil di dunia.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...