Walau bagaimana pun ikan belukang ni pasti banyak cerita atau pengalaman yang seronok dibicarakan. Di sini kami siarkan pengalaman masam manis pahit masin para pemancing yang berkaitan ikan belukang.
AMIRUL RASYID ABD AZIZ
“Ayah saya pernah cerita masa dia bujang pergi memancing dapat ikan ni besar betis, punya la seronok dengan kawan-kawan. Balik rumah nak buat asam pedas, sekali bila belah perut siap ada cili jagung bagai (najis orang). Masing-masing lari nak muntah. Sejak tu sampai sekarang dia dah tak makan spesies-spesies berjanggut ni.”
MOHD AB RAHMAN
“Aku mula-mula datang Johor pergi pasar terbeli ikan ni la. Ingatkan baung, pelik jugak apasal murah bebenor. Kalo kat Terengganu baung tak dapat harga ni. Seekor bapak besar RM5 je. Dalam 2kg kot… balik masak asam pedas sedap wei.… lepas tu bila dah lama kawan dengan orang Johor baru tau apa pasal ikan ni murah.”
Ads
CHE ROMZI CHE SOH
“Pertama kali memancing dekat-dekat muara time air pasang. Naik ler dia, dapat 3 ekor, bawak balik. Akak masak singgang… sedap jugak rasa dia. Haha…”
MZBR VAZO
“Zaman kecik dulu dapat bedukang cari selipar buruk cucuk kat duri atas belakang dia lepastu lepas semula. Haha… nampak selipar bergerak. Tapi jangan la kecam.”
Ads
HIZAM AD ALI
“Jarang dapat ikan ni kat market. Suatu hari nanti akan timbul juga sebab kekurangan ikan. Sekarang pun ikan yang dulu orang jarang makan pun dah ada kat market. Ikan ni kalau kena mata kail duk bunyi macam orang sendawa. Hahaha.”
RIDZUAN ZAHIDI
“Belukang la ikan pertama yang sambar gewang aku. Sampai la ni aku punya gewang tak pernah ikan sambar. Aku tak pandai main gewang atau aku tak sabar baling gewang. Hahaha.”
FIRDAUS BAHAROM
“Pernah dapat besar betis orang dewasa… sampai patah-patah pancing aku dikerjakannya. Rezeki tu… sedap dibuat sup…!!!”
Ads
FIKRI AZIZ
“Aku suka time strike…semacam dia tarik ikan ni. Kalau saiz 2kilo atas…rod cium air lengkungnya.”
MOHD HAFIFI MUHAMAD
“Kalau di Sabah ni kompom catch & release. Tapi kalau pertandingan open stage muara pantai, jadi hadiah ni biarpun dihina.”
ANUAR NAZERI
“Pernah makan ikan ni di restoran Cina Muslim Shahrin Low di Bangi. Sedap yang teramat sehinggakan dok tanya kat tukang masak ikan apa.”
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Antara persediaan kecil yang sebenarnya perlu diberi perhatian adalah penyediaan ubat-ubatan. Ramai yang lupa akan hal ini dan kerap kali hanya teringat apabila sudah tiba di lokasi.
Oleh itu, sediakanlah ubat-ubatan yang difikirkan perlu seperti minyak angin, ubat paracetamol, ubat luka, plaster luka, balm atau semburan penghalau nyamuk dan sebagainya.
Setidak-tidaknya dengan persediaan sebegini, ia akan membantu anda ketika dalam kesusahan dan sekurang-kurangnya mood memancing anda akan terus ’membara’ sehingga selesai trip. Sila simpan semua ubat ini dalam bekas kedap udara dan air.
AIR
Banyakkan minum air kosong, terutama cuaca panas. Ramai yang bawak bekalan air cukup banyak tapi tak diminum. Sudahnya bawak balik semula semua air tu.
BAJU HUJAN
Jika memancing pada musim hujan, ada baiknya anda mengenakan baju hujan dan juga jaket keselamatan sebagai perlindungan keselamatan.
ROKOK
Maksudnya bukanlah perlu sediakan stok rokok. Kaki pancing kebanyakannya merokok. Sila kurangkan atau elak dari merokok secara berterusan, jika ada tanda-tanda sakit tekak, kerana ia akan memudaratkan kesihatan anda.
JUS OREN
Bawa makanan ringan seperti asam atau air berunsur masam seperti jus oren, air asam jawa ketika pergi memancing. Jus oren mampu meneutralkan kandungan PH badan, jika anda berasa mual, air liur terasa pahit.
REHAT
Jika anda berasa pening, ada baiknya selepas anda memakan ubat, berehatlah di tempat yang teduh dan lelapkan mata seketika.
TEMPAT TEDUH
Jangan terlalu lama terdedah di kawasan terbuka, terutama jika casting. Sebaiknya, pilih lokasi yang agak redup bagi mengelakkan kepanasan melampau.
EMBUN MALAM
Elakkan dari terkena embun terlalu lama jika memancing hingga larut malam. Kenakan pakaian yang sesuai dan tebal bagi menghindari udara sejuk. Minum minuman panas amatlah digalakkan.
BERTEMAN
Sebaiknya memancing lokasi atau lubuk yang jauh perlulah berteman. Sentiasa berhati-hati ketika melangkah dan jaga perilaku dan adab semasa memancing.
Seawal jam tujuh pagi, kami berempat berkumpul di gerai Kak Jenab di simpang jalan. Di sini aku sempat bertanyakan kepada beberapa orang pakcik yang duduk makan di situ tentang Sungai Selangor. Masing-masing mengakui memang banyak spesies ikan yang ada di situ termasuk baung, sebarau, tengas, lampam dan juga kelah. Cuma, kata seorang pak cik yang dikenali dengan nama Pakcik Dolah, kami dinasihatkan supaya berhati-hati. Kawasan hulu dikatakan agak keras dan misteri.
Kami meneruskan perjalanan dengan menaiki pacuan empat roda. Jalan tanah merah dan berbukit menjadi cabaran pertama kami. Nasib baik tidak becak. Setengah jam melalui jalan merah yang berbonggol itu akhirnya kami tiba di hujung jalan mati. Hanya kenderaan seperti motosikal yang boleh melalui denai kecil yang ada di situ.
Kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki sahaja kerana jaraknya hanya 200 meter dari situ. Memercik peluh jantan saya mengusung alatan memancing dan sebuah khemah bentuk A. Sebenarnya hajat kami untuk bermalam sekiranya hasil tangkapan memberangsangkan.
Haikal memilih sebuah kawasan lapang yang mempunyai batu besar di depannya. Sungai di kawasan hulu ini agak berbatu dengan airnya mengalir deras. Kesunyian hutan kadang-kadang dipecahkan dengan bunyi jeritan sang ungka berbulu merah yang galak bergayut dari dahan ke dahan.
Keletihan berjalan tidak melunturkan semangat kami untuk mencuba aksi penghuni di Hulu Sungai Selangor ini. Kami mencuba teknik mengilat di kawasan berbatu ini. Hasilnya memang tidak mengecewakan apabila masing-masing menaikkan sebarau yang seberat 800 gram-1 kilogram setiap seekor. Boleh tahan!
Gewang yang kami lontarkan memang tidak sia-sia sehingga kami rasakan bagaikan berpesta sebarau di situ.
Menjelang petang, kami berempat mengambil keputusan untuk bermalam. Saya menanak nasi manakala Budin pula membersihkan enam ekor ikan sebarau yang akan dipanggang dan di cicah sambal kicap yang telah disediakan oleh isteri Haikal.
Selesai menanak nasi, barulah aku mengambil wuduk di tepi anak sungai. Ketika itu kawasan sekitar sudah menjadi gelap dan agak suram.
Nasib baiklah aku sudah mengumpulkan ranting dan dahan kayu yang akan dibakar untuk menjadi unggun malam ini. Nak diharapkan pada pelita ayam yang dibawa, berapa sangat nak diterangkan kawasan yang ada.
Selesai solat Maghrib, aku menyediakan juadah. Tiga orang sahabatku sudah tidak nampak kelibat lagi. Mungkin mereka sedang berehat di dalam khemah. Aku tidak kisah sangat kerana aku tahu masing-masing keletihan dengan aktiviti yang padat hari ini.
Ketika sedang menyuap nasi yang terakhir, aku mula terbau wangi seolah-olah harum kemboja. Ada kalanya bau itu bertukar menjadi bau minyak atar dan bau kenanga putih. Aku tidak mempedulikan semua itu.
Ikan sebarau panggang berbaki seekor yang berminyak itu aku ambil untuk meratahnya lalu aku cubit isi dagingnya dan ku cicah dengan sambal kicap. Fuhh, memang nikmat, tidak dapat dibayangkan dengan kata-kata.
Ketika sedang melayan keenakan isi ikan sebarau itu, ekor mataku dapat menangkap satu lintasan orang yang berjalan bertongkat. Berderau darahku apabila mengangkat kepala, seorang nenek tua, memakai baju kebaya yang agak usang dengan berkain batik sedang memandang ke arah aku sambil tersenyum.
Dia menggenggam sebatang tongkat yang diperbuat daripada kayu cengal rasanya. Tongkat itu sedikit bengkok namun berbonjol bulat di atasnya.
“Jemput makan nek,” spontan aku bersuara walaupun sedikit gugup. Entah kenapa aku tidak rasa takut sedikit pun. Di dalam hati, aku mengulang-ulang membaca ayat Qursi tanpa henti.
“Makanlah cu. Terima kasih kerana tidak membuat onar di sini,” jawabnya perlahan dan agak tersekat-sekat. Aku mengangguk dan tersenyum.
“Minta maaf kalau saya mengganggu kawasan nenek. Saya cuma mencari sedikit rezeki di sini,” kataku lembut. Aku perasan mata nenek bertongkat cengal ini agak merah dan ke dalam. Tudung putih yang dipakai pula bergoyang ditiup angin.
“Tak apa. Nenek izinkan. Kita semua makhluk Allah. Esok selepas cucu dapat apa yang cucu mahu, pulanglah dengan selamat”.
“Errrrr nek….” Aku segera memintas katanya. “Saya teringin nak makan ikan kelah. Di sini takde ikan kelah ke?” berani betul aku meminta.
Nenek tua itu tidak menjawab. Dia hanya senyum dan berjalan perlahan. Lima saat kemudian, dia hilang dari pandangan. Hanya kabus nipis yang tinggal di tempat akhir dia berdiri.
Aku tidak lalu makan. Perasaan mula berbaur. Rasa takut, seram, hairan mula menghantui di benakku. Hairannya tiga lagi orang kawanku seolah-olah tidur mati. Kenapalah aku yang dipilih untuk merasai kejadian aneh ini???
Aku tidur dalam keadaan gelisah. Bayangan nenek tua bertongkat yang aneh dan bau-bau harum membuatkan tidurku tidak tenang sepanjang malam. Namun syukurlah tiada lagi kejadian aneh yang berlaku selepas itu.
Usai solat Subuh, aktiviti memancing kami sambung semula. Sesuatu yang menghairan, pagi itu gewang aku dimakan oleh ikan kelah yang bersaiz besar. Peristiwa ini tidak berlaku pada tiga sahabatku yang lain. Aku memanjat kesyukuran di atas rezeki yang diberikan oleh Allah SWT.
Kami berempat balik dengan tangkapan yang agak luar biasa hingga kami dapat menjual sebahagian hasil tangkapan dan mendapat untung yang lumayan. Sesungguhnya aku mengerti, di bumi ini kita memang berkongsi tempat dengan makhluk Allah yang lain. Dan aku, antara mereka yang sudah merasai pengalaman ini.
Aturkan pengangkutan ( van, kereta ataupun naik bas).
Kenal pasti jumlah yang diperlukan serta barangan yang perlu dimuatkan.
Tentukan pemandu (minimum 2 pemandu untuk perjalanan lebih dari 5 jam).
Rancang perjalanan contohnya di mana hentian pertama, kedua atau tempat mengisi minyak. Jangan gopoh, buat hentian untuk berehat. Jangan sampai tersadai di tengah hutan / jalan kehabisan minyak. Saya dah alami semua ini. Ini juga boleh mengelakkan berlumba sesama sendiri .
Kongsi masa, kos dan nikmati perjalanan indah anda.
Kerjasama Ahli Trip
Bila berada dalam bot, tumpuan ramai pemancing adalah bahagian belakang, sanggup berebut janji dapat duduk belakang.
Posisi ini merupakan ‘favourite’ dan menjadi tumpuan anggota ekspedisi. Setiap bot tidak mampu menyediakan tempat untuk semua pemancing di bahagian belakang kecuali hanya 2 atau 3 orang pemancing yang mampu menyewa bot yang boleh dimuat 10 pemancing.
Kes di mana sesetengah pemancing bolot ruangan belakang sepanjang tempoh ekspedisi tanpa mahu bergilir sedangkan kos perbelanjaan ditanggung bersama. Bayar sama rata.
Tentu tak adil! Selain bergilir, undian sedikit sebanyak membantu menangani masalah berkenaan. Cara yang paling mudah banyak diamalkan oleh rakan-rakan saya ketika memancing dasar ialah bergilir posisi dan atur mengikut saiz kekili yang digunakan.
Siapa yang pakai saiz set paling kecil perlu duduk di belakang sekali, hingga di hadapan sekali buat kaki pancing yang menggunakan kekili besar dan power.
Jika kita biarkan sahabat yang pakai kekili kecil, duduk di barisan hadapan pasti ia akan kaut semua tangsi lain apabila hanyut jauh di belakang bot.
Kekili kecil tidak mampu untuk menggunakan ladung no 24 ke atas, bila pakai kecil tali kita pula dipancing sekali. Kang haru!
Pastikan juga pemancing yang tidur di kabin tidak meninggalkan pancing di dalam air, simpan semua peralatan apabila tidur agar tidak mengganggu pemancing yang berjaga.
Nota Penting:
Kerjasama menyusun pemancing di dalam bot.
Posisi pemancing berdasarkan keseimbangan peralatan terutama kekili.
Secara bergilir-gilir tukar posisi atau kekal dengan persetujuan bersama.
Jangan hulurkan pancing jika ingin tidur. Karau dan simpan sahaja kerana ini tidak akan menyusahkan orang lain yang berjaga.
Jangan tamak, kongsilah kenikmatan memancing bersama kerana bukan kita yang bayar sorang-sorang! Orang lain nak mancing juga.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...