Hampir Dilemaskan Hantu Air

Share

 

Saya membetulkan kedudukan dua joran yang sudah siap dipancang di pinggir air. Dalam kelam malam itu, jangkaan saya baru memasuki sebelas malam. Air di lombong nampak berkilau disimbah cahaya bulan. Kelibat deburan ikan bermain-main di dalam air kelihatan, membuatkan hati saya agak gembira melihatnya.

 

Tidak jauh daripada saya, Ruslan dan kawan baiknya Badrul juga sedang tenang menunggu umpan diragut oleh sang mangsa. Sejak petang tadi, kami bertiga memancing di lombong terbiar berdekatan.

 

Tidak jauh daripada saya duduk, ada sebatang pokok sena yang berdiri gagah. Daripada cerita orang-orang tua, pokok sena itu sudah tumbuh sejak beratus tahun lamanya. Apa saja cubaan untuk menumbangkan pokok itu pasti tidak berhasil. Pasti ada rintangannya.

 

 

Joran saya bergerak. Sekali sentap, mangsa sudah kelihatan. Seekor ikan kalui sederhana besar mungkin dalam 300 gram menggelepar lemah di permukaan air. Dari jauh, saya lihat Badrul dan Ruslan juga sedang sibuk menaikkan joran masing-masing. Ini bermakna rezeki kami agak murah pada malam itu.

 

Setelah memasang umpan pada mata kail tiba-tiba mata saya melihat dua ekor ikan kecil sebesar ikan puyu berwarna putih bermain-main di gigi air dengan jinak sekali. Saya jadi terpesona dan khayal melihat gelagat dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.

 

Di dada langit, bulan semakin mengambang penuh. Cahayanya jatuh berkilauan di atas permukaan lombong yang luas. Kalau tadi, terdengar suara cengkerik bersahutan dari hutan kecil di sebelah kini suasana sudah bertukar menjadi senyap sepi.

 

 

Hanya deru angin yang semakin sejuk terasa. Saya pula seolah-olah ditarik perasaan untuk cuba menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih itu.

 

Gelagat Badrul Dan Ruslan tidak saya pedulikan lagi. Begitu juga dengan dua joran yang saya letakkan tadi. Apa yang bermain di dalam fikiran saya hanyalah untuk menangkap dua ekor ikan kecil berwarna putih yang saya rasa sungguh aneh dan istimewa sekali.

 

Ketika itulah, tanpa saya sedar, kaki saya sudah mula melangkah ke gigi air lombong tempat dua ekor ikan putih bermain-main tadi. Semakin saya dekat, semakin ikan itu bermain dengan riang seolah-olah mencabar saya untuk menangkap mereka.

 

 

Setiap kali saya cuba menangguk dua ekor ikan putih itu (dengan tangguk yang saya bawa) pasti terlepas. Ikan-ikan itu pula tidaklah berenang terlalu jauh daripada saya tetapi entah mengapa saya masih gagal untuk menangkapnya.

 

Pada masa yang sama, saya tidak sedar bahawa saya bukan lagi berada di gigi air, tetapi saya sudah berjalan jauh ke depan dengan air kini separas dada saya!

 

“Zack…Zack….” Sayup-sayup saya terdengar suara memanggil tetapi keasyikan saya pada kedua-dua ekor ikan putih itu menyebabkan saya sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling saya.

 

 

Tiba-tiba saya terdengar laungan azan. Agak sayup dan sayu pada pendengaran saya. Bukan sekali malah tujuh kali. Ketika itulah ikan putih tadi ghaib dan saya seolah-olah baru tersedar akan kedudukan saya yang berdiri di tengah lombong terbiar itu!

 

Ruslan datang berenang mendapatkan saya dengan mulutnya terkumat-kamit membaca ayat Qursi. Saya seperti dipukau hanya membiarkan tangan saya ditarik ke tepi tebing. Dengan dibantu oleh Badrul, saya didudukkan dan diberi minum air kosong. Selepas itu barulah fikiran saya menjadi waras dan boleh berfikir.

 

Published by
Amang