Hadiah RM115,000.00 menunggu di Ampang Hilir

Share

HADIAH bernilai lebih RM115,000.00 menanti peserta pertandingan memancing KOPDBKL 2017 di Taman Tasik Ampang Hilir, 5 November ini.

Pertandingan anjuran Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur  (KOPDBKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu adalah siri akhir daripada empat siri GP tahun ini.

Hadiah wang tunai ditawarkan ialah RM41,900.00 dengan juara menerima RM25,000.00 beserta Kad Mesra Petronas bernilai RM600.00, kedua RM6,000.00 berserta Kad Mesra bernilai RM500.00 dan ketiga RM3,000.00 berserta Kad Mesra bernilai RM300.00. Hadiah wang tunai ditawarkan hingga tempat ke-50.

Pertandingan kali ini juga bakal menyaksikan siapa akan membawa pulang hadiah perdana (Grand Slam) sebuah kereta Proton Persona bernilai lebih RM50,000.00 sebagai juara keseluruhan. Kereta ini bakal dipandu pulang peserta yang mengumpul mata tertinggi daripada empat pusingan.

Meskipun dua orang peserta yang berada pada kedudukan teratas ketika ini iaitu Sauli Abdul Manaf (99.48 mata) dan Tuan Putih Tuan Kuning (91.73 mata), dianggap peserta pilihan untuk memandu pulang Proton Pesona, namun hakikatnya peluang masih terbuka luas kepada semua peserta untuk muncul juara Grand Slam.

Ini kerana pertandingan ini menggunakan sistem mata berasaskan berat ikan yang ditetapkan dan jika peserta berjaya mendaratkan spesis berkualiti tinggi seperti temoleh, mereka bakal mendapat mata yang sangat tinggi sekali gus mencantas kedudukan teratas.

Tempat kedua Grand Slam menawarkan motosikal Modenas Kriss, TV LED 60’’ (ketiga), TV LED 50” (keempat)  dan TV LED40’’ untuk pemenang kelima.

Turut menjadi buruan ialah motosikal Modenas Kriss, 14 kad Mesra Petronas dan 20 hamper cabutan bertuah. Yuran penyertaan RM50.00 untuk satu joran. Turut ditawarkan empat hadiah wang tunai bernilai RM300.00 setiap satu kepada peserta yang menaikkan ikan bertanda.

Tasik Ampang Hilir, terkenal dengan ikan patin bersaiz mega, namun peserta lebih cenderung untuk mencari ikan bersisik, khususnya belida dan toman bagi mengejar kejuaraan. Ini berikutan ikan patin hanya diberikan pemberat 1 mata bagi setiap satu kilogram manakala spesis belida diberikan pemberat 6 mata bagi setiap kilogram.

Ini bermakna seekor belida seberat 6 kilogram (36 mata) boleh menewaskan ikan patin seberat 35 kilogram (35 mata).

Sebagai simbolik pertandingan, penganjur melepaskan hampir satu tan ikan patin ke Tasik Ampang Hilir, hari ini yang disempurnakan Pengerusi KOPDBKL, Sr Hj. Kamarulzaman Bin Mat Salleh.

Majlis pelepasan ikan kali ini turut menyaksikan empat ikan patin ditandakan sebagai ikan buruan pemancing. Pemancing yang menaikkan ikan berkenaan pada hari pertandingan akan menerima RM300.00 setiap satu dan ikan yang sama juga layak bertanding untuk hadiah utama yang ditawarkan.

Penyertaan bagi acara ini dikenakan bayaran RM50.00 setiap satu joran dan peserta hanya dibenarkan mendaftar 2 joran (maksimum). Peserta yang mendaftar lebih daripada dua joran akan menyaksikan ikan yang dipancing dibatalkan.

Pendaftaran bagi menyertai acara ini boleh dibuat di Pejabat KOPDBKL, di Cheras sehingga Jumaat, 3 November ini. Selepas itu, kaunter pendaftaran 24 jam akan dibuka di lokasi pertandingan.

Tasik Ampang Hilir adalah lokasi terbaik untuk memancing kategori ikan air tawar di negara ini. Rekod tangkapan di tasik berkenaan ialah ikan patin lebih 25 kilogram. Selain patin, tasik berkenaan turut dihuni spesis jelawat, kap rumput, tongsan, kalui, arapaima, belida, rohu, tilapia dan lain-lain.

Published by
Amang