Ikan ini lebih dikenali sebagai ruby snapper sahaja tanpa nama gelaran tempatan yang kukuh sehingga diguna pakai secara meluas. Ada juga di beberapa tempat menggelarnya dengan panggilan tertentu namun ia hanya diguna pakai di lokasi tersebut sahaja.
Sebaliknya nama umum begitu banyak seperti deepwater red snapper, deepwater snapper, jobfish, queen snapper, red snapper, ruby-colored snapper fish, snapper atau squirrelfish snapper. Sementara nama saintifiknya pula ialah Etelis carbunculus.
Ikan ruby snapper adalah salah satu ikan hidangan paling berharga di negara ini! Tekstur daging putih lembab dan lembut menjadikan ikan ruby bukan hanya salah satu ikan yang paling lazat di lautan kita tetapi juga salah satu yang paling berharga.
Ikan ruby snapper pada awalnya dikenali melalui hasil penangkapan ikan komersial menjadikannya banyak tersedia untuk umum. Ketika itu kebanyakan pemancing rekreasi tidak biasa dengan spesies ini kerana habitat airnya yang dalam. Walau bagaimana pun ia tidak kekal sedemikian berikut bantuan moden kekili elektrik!
Spesies marin benthopelagic ini hanya boleh ditemui pada kedalaman 90 – 400 m atau pada kebiasaannya 200 – 350 meter. Taburannya meliputi Indo-Pasifik, Afrika Timur ke Kepulauan Hawaii, utara ke selatan Jepun, selatan ke Australia. Dirakam di Three Kings Island, New Zealand.
Spesies Etelis carbunculus dikatakan mencapai usia matang apabila mencecah 61 cm. Ia mampu mencapai panjang maksimum sehingga 127 cm dan tempoh usia sehingga 32 tahun. Ikan yang memiliki warna merah ruby ini tentu saja boleh dikenali melalui warna merah tersebut. Manakala bahagian di bawah perut adalah putih.
Ikan ruby dewasa mendiami dasar berbatu. Diet utamanya terdiri daripada ikan, invertebrata yang lebih besar seperti krustasea, sotong dan ketam. Ia juga mengambil organisma planktonik, termasuk urochordates pelagic.