Di Sungai Kinta lebih-lebih lagi di sekitar kawasan Sungai Galah, terdapat banyak spot pancingan menarik yang menjadi pilihan kaki-kaki pancing dasar dan pengilat khususnya. Banyak juga terdapat taburan lombong pecah di sepanjang aliran sungai ini terutamanya dari Tronoh Mines.
Antara spesies ikan buruan yang terdapat di sini adalah sebarau, baung, jelawat, patin, toman, lampam, tapah, belida dan juga udang galah. Bagi saya yang gemar memburu sebarau sungai, di sinilah antara spot kegemaran saya di sekitar negeri Perak selain Sungai Kampar serta Hulu Belum.
Jarak perjalanan ke sini juga tidaklah begitu jauh, hanya mengambil masa lebih kurang 30 – 40 minit dari pekan Tapah yang melalui Tapah Road, Chenderong Balai dan Ladang Rakyat.
Kaedah Pancingan & Faktor Pemilihan Air
Sebarau yang bersifat pelagik sudah pastinya mudah diburu dengan mengaplikasikan teknik mengilat gewang. Kebiasaannya waktu yang paling efektif bagi menduga sebarau di sini adalah dari seawal pagi dan lewat petang kerana spesies ini akan aktif mencari makan pada dua waktu ini.
Gewang-gewang yang lazim kami gunakan di sini adalah Rapala Shallow Shad Rap SSR5, Rapala Countdown CD5 dan Rapala Flat Rap 8cm berwarna natural seperti ‘Bleak’ dan ‘chrome’ serta skema warna terang seperti ‘Goldfish’, ‘Hot Tiger’, ‘Fire Tiger’ dan ‘Perch’ sekiranya kondisi air agak keruh.
Jika paras airnya sedikit tinggi, kami akan menggunakan gewang selaman dalam seperti Rapala Tail Dancer TD7 dan Rapala Shad Rap SR7.