IKAN gemang seberat 1.11 kilogram yang dipancing oleh Awie Nur Farish pada jam 8.50 pagi menjulang pemancing dari Pekan, Pahang itu sebagai juara Stingray Attack di Pantai Puteri, baru-baru ini. Awie hadir ke Pantai Puteri selepas turut mendapat habuan dalam pertandingan memancing di Pantai Kelulut, Terengganu, sehari sebelumnya. Kehadiran bersama lima rakan dari Pahang nyata berbaloi apabila beliau dinobatkan juara sekali gus membawa pulang RM15,000.00.
Tempat kedua disandang oleh Iskandar Nelson, yang berasal dari Sabah tetapi menetap di Melaka. Beliau menjinakkan ikan pari seberat 0.845 kilogram manakala Hakimi Abdullah di tempat ketiga dengan ikan kurau seberat 0.84 kilogram.
Ads
Ads
Iskandar membawa pulang wang tunai RM4,000.00 manakala Hakimi menerima RM2,000.00. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengurus Wakjali Event Management, Md Zali Kasran. Md Zali berkata, meskipun hadiah pertandingan berkenaan terpaksa diturunkan berikutan penggunaan kawasan pantai yang terhad, namun kehadiran peserta tetap membanggakan.
Ads
“Pada awalnya, saya menjangkakan peserta tidak berminat menyertai acara ini berikutan hadiah dikurangkan. Namun, saya terkejut apabila penyertaan adalah melebihi sasaran, mungkin kerana yuran penyertaan yang turut diturunkan,” katanya.
Menurut beliau, acara memancing anjuran Wakjali Event akan berhenti rehat selama dua bulan pada Ramadan dan Syawal. Acara sulung selepas Aidilfitri ialah Gigasurf Pantai Remis yang dijadualkan pada 30 Julai. Hadiah keseluruhan ditawarkan bernilai hampir RM120,000.00. Juara akan membawa pulang RM70,000.00, kedua RM13,000.00 dan ketiga RM5,000.00.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Aktiviti mencari lampam agak sinonim dengan kami. Sebenarnya bukan lampam saja yang kami gemar pancing.
Kami lebih gemar memancing ikan-ikan liar termasuklah baung dan beberapa spesies lain yang merupakan ikan-ikan manis.
Biasanya ikan yang kami dapat itu kami akan bakar atau masak di tempat itu juga.
Oleh kerana itulah kami mencari ikan-ikan liar di sungai, tasik, lombong atau kolam (bukan kolam pancing komersial) yang bersih dan sihat kualiti airnya.
Bila air cantik barulah ikan yang dipancing enak dan manis rasanya.
Hobi memancing untuk ikan berlauk ini juga merupakan salah satu alternatif riadah.
Walaupun memancing agak santai dan rilek tetapi kebanyakan kawasan memancing yang kami pergi tidak boleh diakses dengan kereta secara terus.
Sesetengah tempat kami terpaksa berjalanan kaki sehingga setengah jam.
Biarpun agak penat untuk ke lokasi tetapi merasa aman dan damai dikelilingi alam semulajadi yang indah dan tenang.
Ia sama sekali tidak sama dengan suasana memancing kolam-kolam memancing bebayar.
Disebabkan itulah kami ke merata tempat semata-mata mencari ikan berlauk…. walaupun ia cumalah lampam.
Dan walaupun ia cuma lampam tetapi keenakkannya sukar untuk diperbandingkan. Lampam digoreng garing-garing pun sudah cukup sedap diratah begitu saja.
Apatah lagi kalau dibuat gulai tempoyak atau goreng berlada.
Pada kebiasaannya kami memancing lampam menggunakan umpan alternatif berasaskan dedak, roti dan pes perisa.
Lebih kurang sama dengan umpan yang digunakan untuk memancing di kolam berbayar. Cabaran memancing lampam adalah kesabaran perlu tinggi.
Lampam perlu dirasuah dengan bancuhan dedak yang banyak. Dan apabila ada seekor lampam yang terkena mata pancing, selepas itu barulah keseronokan bermula.
Keseronokan berganda jika menggunakan set pancingan ultra ringan. Tarikannya memang mengujakan!
Apa pendapat anda? Teruskan klik & share artikel kami ini. Terima kasih!
Jangan lupa LIKE, FOLLOW & SEE FIRST Facebook Majalah Umpan
Sudah subscribe channel Youtube umpan? Klik sekarang Youtube Umpan
Sungai Kinta merupakan salah satu cabang sungai yang mengalir ke Sungai Perak yang puncanya mengalir dari Gunung Korbu di Ulu Kinta, Tanjung Rambutan. Sungai Kinta ini mengalir dan melalui beberapa buah bandar dan pekan antaranya Ipoh, Pasir Putih, Pengkalan Pegoh, Pusing, Batu Gajah, Tanjung Tualang dan Kampung Gajah.
Kuala Sungai Kinta ini pula terletak di selatan Kampung Gajah yang terletak kira-kira 75 km di barat Bandaraya Ipoh. Dahulu warna air sungai ini jernih kini sangat keruh kerana dicemari oleh aktiviti perlombongan dan pengorekan pasir.
Kunjungan Semasa kunjungan saya dan seorang rakan ke sini, kami mencuba dengan kaedah boating menggunakan enjin 5 kuasa kuda bermula dari jambatan kayu di Sungai Galah menghulu sehingga ke kawasan lombong pecah di Tronoh Mines.
Paras air ketika itu adalah normal dan keadaan air tidaklah begitu keruh seperti kelazimannya. Pada masa inilah yang dikatakan amat sesuai untuk mencuba nasib di Sungai Kinta. Awalnya kami mengambil pendekatan untuk membuat balingan ke arah tebing sungai yang bereba namun tiada sambutan.
Kemudian kami mengambil keputusan untuk mencuba pula di kawasan berjeram kecil yang kami temui di sepanjang laluan. Bot kami tambat betul-betul di kawasan ekor lubuk dan membuat balingan ke arah kawasan air tenang selepas arus ekor lubuk. Tidak sampai beberapa balingan sahaja kami telah menerima banyak strike.
Gewang selaman cetek bersaiz 5-7cm kami gunakan dan hasilnya beberapa ekor sebarau remaja berjaya didaratkan. Begitulah seterusnya yang kami praktik dengan mencari jeram kecil bereba. Kawasan air tenang selepas arus adalah spot yang sering mendapat sambaran.
Pada sebelah petang pula, semasa menghilir pulang kami membuat mencuba ke arah tebing berpasir yang landai kerana sering ternampak kelibat anak ikan seakan-akan dihambat pemangsa. Andaian kami tepat kerana sebaraulah pemangsa yang meligan anak ikan di sekitar tebing pada sebelah petang.
Kunjungan seterusnya kami mencuba dari tebing pula. Spot terbaik adalah di sekitar tiang jambatan Sungai Galah dan kawasan tebing berdekatan. Menurut sumber dari rakan-rakan, waktu yang paling sesuai adalah semasa banyak sampah yang terperangkap di sekitar tiang jambatan tersebut kerana pada ketika itu banyak pemangsa yang gemar mengendap di sekitar timbunan sampah hanyut tersebut terutamanya pada awal pagi dan lewat petang.
Kan Tang, sebuah daerah di wilayah Trang, selatan Thailand bukan sahaja popular dengan eko pelancongan, malah turut menjadi destinasi tersohor bagi kaki pancing domestik dan juga luar negara.
Malah pancingan laut dalam di Kan Tang turut tercatat dalam kalendar trip ramai pemancing dari Malaysia.
Kan Tang yang terletak di pesisir Laut Andaman sememangnya padang pancing idaman kaki pancing tanah air yang berhajat untuk menduga ikan-ikan mega bernilai tinggi.
Terutamanya ikan kerapu hitam gergasi atau giant black grouper dan ruby snapper. Ikan yang hanya ditemui di perairan kedalaman melebihi 150 meter dan tidak akan ditemui di perairan Selat Melaka.
Kebiasaannya musim memancing di sini bermula dari bulan September sehingga bulan Mac pada setiap tahun.
Justeru ia menjadi lapangan altenatif kepada penggemar pancingan laut dalam di Laut China Selatan yang sedang berhadapan dengan monsun Timur Laut atau musim tengkujuh.
TRIP BERMULA
Kami bertuah kali ini kerana dapat mengikuti trip dan bergandingan dengan Abang Roslan selaku organizer trip dan Saudara Shahrizal sebagai jurupandu pancing.
Sebahagian dari kami masih newbie dan ia merupakan pengalaman baharu buat kami. Ia merupakan lapangan dan persekitaran memancing agak berbeza dengan padang pancing terdapat di Malaysia.
Penyertaan 14 orang pemancing dari pelbagai latar belakang memberi peluang untuk kami berkongsi ilmu dan pengalaman memancing masing-masing.
Perjalanan darat mengambil masa 9 jam yang memenatkan perlu diharungi dari Putrajaya untuk tiba di Kan Tang.
Sebelum memunggah naik barang dan peralatan ke bot, kami sempat singgah di kedai peralatan memancing setempat bagi mendapatkan stok wajib seperti perambut tangsi tahyul, tangsi biru Siam.
Tali tangsi ini sangat efektif dalam menjerat ikan kerapu hitam gergasi atau Lontang Andaman. Harganya amat ekonomi tetapi kukuh sekali gus menjadi pilihan utama.
Organizer mengesyorkan agar kami membeli stok tali tangsi ini bagi trip ini untuk dijadikan perambut utama.
Abang Roslan menyarankan agar menggunakan setting perambut apollo tali tangsi biru Siam berkekuatan 200lb dan dipadankan mata kail circle hook bersaiz 13/0 serta batu
ladung seberat 2kg hingga 3kg untuk pancingan dasar di lubuk berkedalaman 200 meter hingga 300 meter.
Penggunaan kekili elektrik atau lebih popular dengan gelaran`Bangla’ berkapasiti tali utama 500 meter ke atas adalah disyorkan.
Pelayaran bot ke lubuk mengambil masa 13 hingga 18 jam. Dalam perjalanan tersebut Tekong Pakdee akan berhenti di beberapa lubuk unjam bagi memancing umpan hidup.
Bot Tekong Pakdee dilengkapi pelbagai kemudahan keselamatan seperti terdapat 2 unit rakit keselamatan, jaket keselamatan, radio komunikasi dan telefon satelit sekiranya berlaku kecemasan di lautan Andaman.
Tekong Pakdee juga menyediakan empat orang awak-awak dan seorang chef untuk keselesaan pelanggannya sepanjang trip memancing ini.
Setibanya kami di lubuk yang pilihan, Tekong Pakdee memberikan isyarat agar semua pemancing menurunkan umpan di lubuk berkedalaman 250 meter.
Tanpa melengahkan masa kami menghulurkan umpan hirisan ikan tongkol. Tidak sampai 10 minit satu persatu set pancing kami dihenjut kasar oleh penghuni lubuk.
Seekor demi seekor ikan kerapu hitam gergasi berskala saiz 10kg hingga 30kg berjaya didaratkan. Sukar untuk kami gambar perasaan ketika itu.
Pada sebelah malam pemburuan gergasi hitam diteruskan. Penggunaan tanduk besi dua kaki panjang dan dipadankan dengan perambut tangsi 100lb ukuran antara 2 hingga 3
depa panjang serta batu ladung 1kg dan mata kail circle hook dicangkukkan umpan isi ikan tongkol. Umpan yang dilepaskan jauh ke lubangkerapu, disambut ganas.
Joran dihenjut, drag kekili elektrik dilaras ketat agar dapat melawan dan menarik keluar sebelum ia berjaya memasuki lubang batu karang yang tajam.
Seekor demi seekor lontang didaratkan dengan jayanya sekali gus telah memenuhkan tong ikan kami.
Ikan kerapu hitam gergasi atau lontang banyak mendiami lubuk karang berbatu yang dalam. Ia jenis yang tidak memilih umpan dan akan menyambar apa sahaja makanan melintas di hadapannya.
Justeru penggunaan batu ladung sehingga berat 2kg-3kg sangat penting bagi memastikan umpan dapat dilabuhkan tepat ke sasaran lubuk.
Namun lubuk tersebut turut dihuni ikan belut yang menjadi pengacau dan sering mencuri umpan kami serta merosakkan tali perambut kami.
Satu rahsia menarik mengenai lontang ini, walaupun rupanya tidak menarik tetapi isi dagingnya sangat lembut dan sedap. Harganya di pasaran juga tinggi. Maka tidak hairanlah ia menjadi buruan dan sasaran pemancing ke lautan Andaman.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...