Lazimnya apabila pulang bercuti di kampung halaman di Terengganu, terutamanya cuti perayaan, akan pastikan peralatan memancing tidak ketinggalan. Kebiasaannya juga peralatan memancing tersebut tidak terusik sehinggalah kembali ke Lembah Kelang. Sebaliknya bila tidak membawa sebarang peralatan, tatkala itulah ada rakan yang pelawa sertai trip memancing.
Lama juga saya meminta ruang untuk berfikir. Meskipun diberi jaminan segala peralatan akan dibekalkan namun kepuasan menggunakan peralatan sendiri biarpun harganya lebih murah berbanding peralatan pinjam. Hanya setelah mendapat tahu trip ini akan disertai oleh Asri dan Nafiez, dua orang pemancing tenggiri handalan di Dungun, saya berusaha juga mencari sedikit kelengkapan untuk jigging tenggiri bagi menyertai trip tersebut.
Hasil Aiman dan Asri
Ads
Trip jigging di luar perairan taman laut Pulau Tenggol, Dungun ini lebih kepada sesi ulangan trip hampir setahun yang lalu. Bezanya cuma pada ahli trip. Saya, Tamizam dan Nahar (pemilik bot) adalah ahli trip asal manakala Asri, Nafiez dan Aiman pula ahli baru menggantikan tiga ahli lama. Pada trip yang lalu kami gagal mendaratkan tenggiri berikutan lubuk-lubuk berpotensi lebih banyak didiami saudara rapatnya bergigi tajam, alu-alu.
Trip bermula agak lewat berikutan mengalami sedikit masalah teknikal berkaitan dengan bateri bot namun sesi memancing bermula dengan agak memberangsangkan. Di lubuk kedua, Nafiez membuktikan kehandalannya apabila berjaya menewaskan seekor pemangsa. Namun ia bukanlah ikan sasaran sebaliknya seekor alu-alu yang kurang dialu-alukan kehadirannya.
Ads
Nafiez
Tidak lama berselang, Aiman selaku pendatang baru dalam dunia hanyir ini membuktikan pengalaman sahaja tidak cukup untuk memperoleh tenggiri. Kalau sudah bukan rezeki, strike banyak kali pun belum tentu berjaya mendaratkannya.
Begitulah yang dialami oleh kami yang lain beberapa kali berhadapan dengan kekecewaan tewas ketika sedang bertarung. Macam-macam rintangan yang dihadapi dan bukan sedikit jig yang terkorban termasuklah yang tersangkut pada unjam atau bangkai kapal.
Ads
Setelah Nafiez berjaya juga mendaratkan seekor lagi tenggiri, lubuk-lubuk lain yang digeledah seperti ketiadaan tenggiri. Berikutan cuaca berangin semenjak dari pagi malah kian menderu pada waktu petang yang menyulitkan situasi untuk memancing dengan selesa, mahu tak mahu terpaksalah tempoh memancing dipendekkan. Biarpun tidak banyak tenggiri yang berjaya ditewaskan, namun kami berenam semuanya berjaya pulang dengan selamat dan bebas dari membangau.
Hasil seharian
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Hutan simpan Temenggor di Perak merupakan salah satu lokasi atau lubuk pancing tumpuan bagi kaki pancing. Keadaan hutan dan sungai pergunungan yang masih baik menjadikan Temenggor sebagai salah satu lubuk pancingan hebat. ebarau, tengas, dan raja sungai iaitu sang kelah masih boleh ditemui di sungai-sungai pergunungan di sini.
Beberapa kali kunjungan penulis ke sungai pergunungan di Temenggor tidak pernah mengecewakan. Namun, apa yang sedikit mengecewakan ialah ikan target utama iaitu kelah yang agak sukar kerana beberapa masalah yang timbul.
Bersama Kelab Raja Rimba Adventure, kami mengatur pelan sekian kalinya untuk mencari sang kelah sebagai tangkapan utama. Kunjungan atau trip kali ini betul-betul untuk mencari ikan. Setelah beberapa minggu merancang, hari yang ditunggu tiba dan kami masuk ke Temenggor dengan kelengkapan pancing yang ada dengan menaiki lima buah kenderaan pacuan empat roda.
LUBUK SIRA DINDING
Untuk memaksimumkan masa memancing, kami bertolak masuk ke Hutan Temenggor sekitar jam 1.00 pagi. Beberapa masalah teknikal pada kenderaan tidak dapat dielakkan, namun sekurang-kurangnya kami meminimakan masalah yang timbul dengan meminimakan jumlah pacuan.
Setelah tiba di kem utama di Sira Dinding, kami mengambil keputusan untuk bermalam dan akan trekking ke lubuk bahagian hulu. Pada malamnya, kami menyiapkan pancing dan barangan keperluan untuk hari esok. Sempat juga kami menghulurkan umpan di kem utama hasilnya beberapa ekor tengas daun berjaya menjadi santapan kami sebelum tidur.
Awal pagi keesokannya, setelah bersarapan dan berkemas mana yang patut, kami mula trekking menuju ke hulu sungai.
Setelah hampir 2 jam berjalan kaki melalui trek di tepi sungai dan sesekali mendaki bukit, kami akhirnya tiba ke satu kawasan yang kami rasakan sesuai untuk mendirikan khemah sebagai kem untuk bermalam.
HENJUTAN PENGHUNI SUNGAI
Setelah siap mendirikan kem khemah untuk bermalam dan berehat seketika, kami bergegas mencapai set pancing dan mula mengikat mata kail serta bersiap apa yang perlu. Kami berpecah kepada 3 kumpulan kecil memilih lubuk yang berlainan bagi melabuhkan umpan. Penulis dan 2 orang lagi rakan memilih kawasan yang mempunyai lubuk yang agak dalam di bawah kawasan berarus laju.
Pilihan umpan yang ada ialah cengkerik dan kelapa sawit selain lipas batu yang boleh ditemui di bawah batu-batu lembab di tepi sungai. Setelah umpan dilabuhkan, kami tidak perlu menunggu lama. Rod Berkley Cherrywood penulis yang berumpankan cengkerik melentur laju ke bawah menandakan ada yang melarikan umpan. Dengan pantas penulis menyambar pancing yang hampir terjatuh dan terus mengepam laju kekili Shimano Aernos yang digunakan sebagai padanan rod tadi.
Ahhh, larian ikan dalam arus deras begitu mengasyikkan, tambahan pula melihat hujung rod yang meliang-liuk melentur menahan asakan. Seketika kemudian seekor tengas bersaiz 800 gram dinaikkan. Ini petanda baik.
Sedang gembira menaikkan ikan pertama, tiba-tiba rod Ayie pula melentur. Apa lagi, terus saja Ayie membalas dan memulakan aksi karauan. Tali yang memenuhi gelendong setelah dikarau akhirnya menampakkan seekor tengas daun di hujung kail. Selepas itu, berselang seli antara kami bertiga melayan larian ikan terutama spesies tengas. Sesekali tengas daun juga berjaya mencuri umpan.
MALAM PESTA BAUNG
Sebelah petang kebanyakan spesies didominasi oleh tengas. Saiznya pula boleh tahan sekitar 1 kg. Namun, hentaman kelah masih di nanti. Umpan yang sering dijamah dengan cukup laju ialah cengkerik dan lipas batu. Habis batu-batu di sekeliling kami selak untuk mendapatkan lipas batu. Umpan sawit pula sedikit perlahan namun masih dijamah oleh ikan.
Beransur ke malam, baung mula menunjukkan diri. Apabila hari sudah gelap, kebanyakan umpan yang dilabuhkan disambar baung. Tengas semakin kurang dan bertukar kepada baung. Sekitar jam 10 malam, tiba-tiba kekili Shimano Aernos menjerit membuatkan kami yang agak santai menjadi kelam kabut.
Dalam samar-samar cahaya, AJ bergegas mencapai rod dan mengetatkan drag secepat mungkin. Tak sampai 5 minit, tali mono kekuatan 20lbs tiba-tiba putus ketika menahan asakan tersebut. Kami berpandangan dengan perasaan bercampur baur. Kami yakin jeritan kekili tadi akibat henjutan kelah kerana rod tersebut dicangkuk umpan sawit. Paling tidak pun, tengas bersaiz besar.
LENGGOK SANG KELAH
Awal pagi, kami mendapat khabar rakan kami di bahagian atas sudah mendaratkan kelah. Terus cerah mata dan kembali bersemangat menghulur umpan. Tidak sia-sia kerana tiba-tiba kekili Ryobi Navigator milik AJ menjerit minta dikarau. Pantas AJ mula mengepam laju dan bergerak ke arah yang lebih terbuka bagi mengelakkan sebarang masalah.
Tali dipam masuk dan sesekali drag diketatkan sambil menahan asakan larian ikan di hujung kail. Tak lama kemudian muncul si sisik merah dengan lenggok perlahan di gigi air dan sesekali cuba melakukan henjutan akhir ke tengah namun tak terdaya. Akhirnya seekor kelah hampir 2 kg berjaya didaratkan. Kepuasan jelas terpancar pada raut wajah kami terutamanya AJ yang berjaya menaikkan kelah tersebut.
Setelah itu beberapa ekor tengas lagi berjaya dicungkil keluar dari dalam air. Ayie yang pula yang tidak jemu menghulur umpan dari semalam akhirnya mendapat sambaran yang agak luar biasa. Kamera di tangan diletakkan dengan pantas dan tangan beralih pada pancingnya.
Penantiannya berbaloi apabila seekor lagi kelah yang lebih kecil kelihatan setelah bertarung menahan asakan dari dalam air. Jeritan kepuasan kedengaran walaupun sedikit tenggelam dengan bunyi larian air sambil mengangkat ikan ke udara.
PULANG DENGAN KEPUASAN
Sekitar jam 4 petang, kami berkumpul dan berkemas untuk trekking ke kem utama kami di bahagian bawah sungai. Setelah dikumpulkan hasil tangkapan, spesies tengas paling banyak dan 5 ekor sisik merah atau kelah berjaya dinaikkan. Setelah berkemas lebih kurang dan membersihkan kawasan khemah, kami mula trekking pulang.
Hampir jam 7 malam, kami tiba di kem utama. Malam terakhir kami makan malam dan kelah stim menjadi hidangan utama bersama-sama beberapa ekor tengas. Setelah makan malam dan berehat ala kadar, kami mengambil keputusan untuk terus keluar ke jalan utama pada malam itu juga memandangkan perancangan kami sedikit lewat dari jadual asal.
Selepas membersihkan kawasan persekitaran dan mandi di sungai yang begitu dingin airnya, kira-kira jam 9 malam kami terus bergerak keluar.
Dalam keadaan penat begini, pastinya lewat tiba di luar nanti dan esok belum tentu boleh terus memandu ke Lembah Klang akibat kepenatan. Namun perjalanan malam ini tetap kami teruskan dengan senyuman kepuasan dek lenggok si sisik merah dalam trip kali ini.
Bila melihat aktiviti nelayan menangkap ketam nipah, tergerak juga hati untuk mencubanya. Lebih menyeronokkan apabila ketam yang diperoleh tersebut dijadikan juada sejurus kembali dari menangkapnya.
Ketam nipah sememangnya sudah terkenal sejak dulu lagi dijadikan juadah di meja makan. Namun disebalik keenakan rasanya, pernahkah anda terfikir untuk merasai sendiri pengalaman menangkap ketam nipah ini?
Jika anda ada menyimpan angan-angan tersebut, jangan bimbang! Anda boleh merasai sendiri pengalaman baru menangkap ketam nipah menggunakan bento atau bubu ketam di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah, Johor.
Sempena kunjungan trip media anjuran Tourism Malaysia Johor, ia memberi peluang kepada saya untuk mencuba sendiri satu tarikan eko-pelancongan negeri ini.
Kampung Sungai Melayu yang merupakan sebuah perkampungan nelayan terletak di Mukim Pulai, dengan jarak 10 km dari Gelang Patah.
Selangkah sahaja menjejakkan kaki di sini saya telah terpana dengan suasana nyaman dan damai kampung yang dihiasi pemandangan paya bakau ini.
Impian termakbul
Di sini, saya dapat merasai sendiri pengalaman pertama menangkap ketam menggunakan bento ini. Tidaklah sesukar mana rupanya untuk mengendalikan bento ini. Hanya menggunakan isi ikan atau ayam sebagai umpan dan meletakkan ke dalam bento tersebut. Kemudiannya, bento itu dilepaskan di dasar Sungai Gading selama kira-kira 30 minit sebelum kami kembali semula untuk memungut hasil.
Sementara menunggu waktu untuk memungut ketam, saya dibawa menyusuri sepanjang sungai untuk melihat sendiri suasana hutan paya bakau yang begitu menenangkan. Saya turut diperjelaskan, bahawa kawasan hutan bakau di sini merupakan habitat pelbagai burung migrasi.
Selain itu, kami turut bertembung dengan beberapa kumpulan pemancing yang sedang memancing di sini. Menurut mereka, sungai ini juga menjadi antara spot terbaik untuk memancing siakap putih, siakap merah, kerapu, sembilang dan pelbagai spesies lagi.
Setelah seketika menyusuri sungai yang dikelilingi pokok bakau ini, saya kembali semula ke tempat pelepasan bubu untuk melihat hasil tangkapan. Saya diberi peluang merasai sendiri pengalaman menaikkan bento ketam ke dalam bot.
Bagaikan membuka kotak hadiah misteri, tali ditarik perlahan-lahan untuk mendaratkan bento. Bubu yang pada mulanya kosong berjaya memerangkap seekor ketam nipah yang bersaiz besar dan sedikit agresif.
Pengalaman manis
Setibanya di jeti, saya diajar teknik mudah untuk mengikat ketam yang ditangkap menggunakan tali rafia bagi mengelakkan terkena penangan sepitan ketam ini.
Ketam yang ditangkap boleh hidup di darat dalam jangka masa yang lama kerana kerana mempunyai satu ruang yang mengandungi sedikit air pada insangnya yang boleh ditutup untuk membantu pernafasannya.
Seusai misi pencarian, saya dibawa untuk menjamu selera dengan masakan kampung yang amat menyelerakan. Asam pedas resepi asli, kangkung goreng belacan, sambal, ketam dan udang, apa lagi yang ditunggu, kami makan dengan berselera. Memang lazat!
Sememangnya, aktiviti sebegini memberi pengalaman baru terutamanya buat anak-anak muda untuk merasai suasana sebenar masyarakat nelayan serta menghargai ekosistem alam semula jadi.
Tambahan pula, sedikit ilmu dapat dibawa pulang dimana pengalaman menangkap ketam menggunakan bento merupakan suatu aktiviti yang amat menyeronokkan.
Selain crab netting, Kampung Sungai Melayu turut terkenal dengan aktiviti sungai seperti menangkap kupang, ikan dan udang. Kulit kupang turut dijadikan sebagai salah satu produk kraftangan oleh masyarakat tempatan. Selain itu, pelancong turut dapat melihat sendiri rutin kehidupan penduduk dan perusahaan kecil seperti pembuatan belacan.
Kalau dah rezeki memang tak ke mana! Begitulah kisah durian runtuh bagi kebanyakan pemancing di kawasan Sungai Udang, Pulau Pinang apabila berlakunya kejadian sangkar ikan pecah di kawasan tersebut.
Menurut follower fan page Majalah Umpan yang mengirim berita ini dari tempat kejadian, beliau mendapat perkhabaran kejadian sangkar pecah melalui pemilik sangkar itu sendiri pada jam 2.00 petang, sebentar tadi.
Tanpa menunggu lama beliau segera menghebahkan perkara tersebut kepada rakan-rakan lain dan persiapkan kelengkapan memancing dan segera menuju ke kawasan sangkar tersebut.
Menurut beliau lagi, sebuah sangkar (sangkar 90) yang banyak memuatkan ikan jenahak itu dipercayai pecah akibat dipukul alunan ombak.
Nasib mereka agak bertuah kerana lazimnya ikan-ikan yang bebas dari sangkar ini tidak akan merayau jauh dalam tempoh terdekat.
Sehingga berita ini dimuat naik ke halaman web Umpan, Izuandi dan rakan-rakan sedang bergasak sakan dengan spesies ikan jenahak dan juga merah.
Dalam pada masa yang sama Izuandi turut sempat merakam aksi pancingan di sangkar Sungai Udang, Pulau Pinang ini.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...