Tahun 1995 hingga 1998 adalah tahun saya kemaruk dengan aktiviti memancing. Maklumlah waktu tu jadi guru banyak masa senggang. Waktu petang boleh buat macam macam aktiviti. Lebih-lebih kalau duduk di Saratok. Boleh mengail udang di pangkalan.
Waktu itu juga kawan-kawan Iban sering mengajak saya memukat di Alit. Pantai Alit yang agak landai memang menjadi lokasi memukat anak belanak atau disebut orang tempatan ikan kemura. Selain anak belanak kadang udang laut (lapis/tohey) juga mudah sangkut.
Saya masih teringat lagi saat air surut kami dah mula mencacak kayu atau buluh di pantai. Selepas jaring diikat pada kayu atau buluh tadi. Kami akan menunggu saat air pasang. Waktu itu kami tak hanya berdiam diri. Maka masing-masing mencapai joran dan melabuhkan kail dan ladung sambil menanti pari merenggut umpan.
“Woii! Dapat woiii!” jerit Cikgu Zul bila jorannya direntap sesuatu. Sambil melayan kekili, Cikgu Zul menarik sedikit demi sedikit tali jorannya. Meskipun mula-mula ikan melawan tapi akhirnya tewas juga ditarik ke daratan. Ternyata bukan pari tapi sembilang.
Bila air mula pasang… saya, Cikgu Zul dan Cikgu Wan mula meninjau pukat. Banyak juga anak belanak sangkut dipukat. Cikgu Zul memang peminat ikan belanak.
“Ni kalau masak steam sedap ni, Zal.” kata Cikgu Zul.
IKLAN
Selesai memukat saya menyimpan pukat di dalam bonet Kancil. Masing-masing pulang ke rumah. Namun pada waktu malam ada ‘pelawat’ datang menjengah di rumah mertua tempat saya menginap.
Ia disedari oleh orang kampung yang nampak sebiji bebola api berlegar di atas kereta saya. Saya juga perasan bila terdengar bunyi kicauan murai dan tekukur di tengah malam agak riuh.
Saya pun turun ke bawah rumah. Kelihatan beberapa orang kampung datang membawa lampu suluh. (maklumlah waktu itu kampung Nyabor masih menggunakan generator).
“Ado antu laut dibah yo… tapi dah lari dikepong kamek orang.” Kata seorang jiran tidak jauh dari rumah.
IKLAN
Keesokan paginya 5 ekor bangkai tekukur peliharaan adik ipar mati dalam keadaan dadanya berlubang.
“Apa kitak polah ari marek cikgu?” Tanya seorang penduduk.
“Kamek memukat jak. Dapat ikan murak dan lapis. Pas ya kamek pulang,” jawab saya.
“Ni pukat tek?” Soal beliau kembali.
“Ado dalam bonet,” jawab saya.
“Sik dicuci?” tanya beliau lagi.
IKLAN
“Sik…” jawab saya pendek.
“Yasullah. Patutlah diagak antu kitak tok… (patutlah kamu di kejar hantu) rupanya pukat sik dicuci.”
“Manalah saya tahu…” jawab saya tersengih.
Saya membuka bonet. Terkejut sungguh bila pukat saya penuh dengan sampah, daun kering dan tulang ikan.
Saya dan penduduk kampung mengutip semua sisa yang terlekat dipukat dan dibawa semula ke pantai Alit untuk dibuang.
Sejak itu saya tak berani lagi kelaut. Rasa cuak bila dikejar penunggu laut. Bila gian nak mengail. Saya hanya mengail haruan di parit sahaja.
(Sumber: cikguemmet.com)
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Aku masih lagi terkenang pada satu kejadian aneh yang berlaku ketika aku, Mie, Faizal dan Zamree pergi memancing di sebuah ‘bonda’ (panggilan pada terusan kecil yang mengalir ke sawah bertujuan untuk mengairi kawasan sawah. Ia adalah dialek orang Minangkabau di kawasan Kuala Pilah).
Kami pergi memancing sebaik sahaja pulang dari kelas mengaji Tuan Haji Hamdan. Aku rasa waktunya dalam pukul 5.30 petang. Berbekalkan umpan cacing yang dimasukkan ke dalam tin susu yang kami sediakan sebelum itu, kami meredah semak belukar untuk mencari port memancing yang sesuai.
Kawasan itu memang sunyi. Hanya terdapat sebatang pokok ara yang tumbuh melangit dengan akarnya yang terjuntai. Nun di kejauhan, terbentang sawah padi sedang menghijau. Kalau diikutkan cerita nenek, kawasan di situ agak keras. Banyak peristiwa aneh dan misteri yang berlaku di situ terutamanya pada waktu senja dan tengah malam.
Namun pada kami, budak-budak lasak dan nakal yang baru berusia sembilan tahun, hanya keseronokan yang tergambar di fikiran. Apatah lagi apabila mengenangkan ikan keli masak lemak kuning yang dimasak kuahnya pekat-pekat atau ikan puyu gemuk goreng berlada. Itu semua menambahkan lagi semangat kami untuk meneruskan aktiviti memancing pada petang itu.
Memang rezeki kami agak murah pada petang itu. Selain port yang strategik, aku tidak tahu mengapa setiap kali kami melabuhkan joran batang buluh dengan berumpankan cacing tanah, ikan-ikan darat seperti keli, sepat dan haruan galak memakan umpan kami seolah-olah tidak memilih bulu.
Setiap 2-3 minit pasti kami akan menaikkan ikan yang agak besar. Ini membuatkan semangat kami tambah membara sehingga kami berempat seakan-akan berlumba untuk menaikkan ikan terbanyak. Dalam keasyikan memancing itu, aku dan kawan-kawan seakan terleka dengan perubahan cuaca yang berlaku. Hari sudah remang senja.
Kawasan sekitar mula di terpa dengan kegelapan malam namun keasyikan menaikkan ikan membuatkan kami berempat meneruskan aktiviti memancing tanpa rasa takut atau curiga. Di dalam kepala hanya satu yang kami fikirkan, mahu memancing seberapa banyak ikan untuk dibawa pulang.
Kami berempat bagaikan dirasuk tentang ikan yang dikail. Kami tidak kisah dengan baju yang sudah lencun dek peluh atau kawasan sekitar yang sudah semakin gelap. Kepenatan langsung tidak terasa hinggakan apabila telingaku mendengar laungan azan bertalu-talu dan tiba-tiba aku dan kawan-kawan bagaikan tersedar daripada mimpi panjang yang menakutkan.
Ketika itulah baru kami terpinga-pinga serta saling berpandangan sesama sendiri. Ikan yang ditangkap bagaikan tiada erti apabila kami dapati di sekitar kami adalah satu kawasan gelap yang sungguh asing pada pandangan mata.
Ketika itu, aku rasa bagai mahu menangis. Terkenang akan ibu, abah dan adik-adik di rumah. Aku tidak dapat mengagak waktu ketika itu. Mungkin pada firasatku baru pukul 7.30 malam. Suara azan berlaung lagi. Zamree dan Mie menjerit sekuat hati memanggil ‘Mak’. Aku pula perlahan-lahan membaca surah An Nas bersama ayat Qursi.
Aku cuba menenangkan diri dan membaca ayat-ayat itu di dalam hati. Tidak sampai sepuluh minit, kami ternampak suluhan lampu bersimpang siur di hadapan kami. Rupa-rupanya suluhan lampu-lampu itu datangnya dari sekumpulan pemuda kampung yang datang mencari kami berempat. Kami dipeluk dan dicium dalam keadaan kami terpinga-pinga kehairanan.
Tiba di rumah, barulah aku tahu kisah sebenar yang berlaku. Apabila kami tidak pulang sehingga jam 7.45 malam, abah mengambil keputusan untuk memberitahu Tok Empat Kampung tentang hal ini. Apatah lagi bila bapa Mie, Zamree dan Faizal memberitahu perkara yang sama. Operasi mencari bermula pada jam 8.00 malam. Dan kami hanya dijumpai pada jam satu pagi!
Semenjak hari itu, aku dan kawan-kawan tidak lagi berani keluar memancing di kawasan ‘bonda’ berkenaan. Aku tidak tahu mengapakah aku tidak terasa sudah duduk memancing sambil bertinggung di kawasan itu hampir tujuh jam lamanya. Namun, aku bersyukur, aku dan kawan-kawan selamat.
Memori ini walaupun sudah hampir 20 tahun berlalu, namun ia segar dalam ingatan kerana itulah kali terakhir aku memancing bersama rakan-rakan baik di kampung. Sesungguhnya, benarlah kata orang-orang tua dahulu, selain kita sebagai penghuni dunia, ada lagi makhluk Allah yang berkongsi bumi yang sama.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Sepanjang saya memancing, banyak juga kejadian misteri yang saya alami terutama apabila memancing di kawasan lombong tinggal.
Ini yang ingin saya kongsi bersama anda semua. Pengalaman ini saya peroleh 10 tahun yang lepas sewaktu memancing di sebuah lombong tinggal di kawasan Serendah, Hulu Selangor.
Malam itu, saya bersama sahabat baik Hafiz keluar memancing di lombong itu selepas waktu Maghrib. Kami sengaja memilih waktu itu kerana mahukan ketenangan memancing.
Sebelum bergerak, cuaca agak gelap seakan-akan mahu hujan. Angin bertiup agak kencang dengan awan hitam menutup langit.
Kalau tak kerana desakan Hafiz, saya memang tidak mahu pergi memancing pada malam itu.
Sebaik sahaja mata kail dilabuhkan di dasar lombong, hujan sudah turun rintik-rintik. Angin juga semakin kencang.
Air lombong sedikit beralun-alun namun kegembiraan kerana umpan yang galak dimakan ikan membuatkan saya dan Hafiz masih lagi bertahan walaupun beberapa orang pemancing yang ada di situ sudah angkat kaki pulang ke rumah.
Saya masih teringat kata-kata seorang pemancing yang lalu berdekatan tempat saya dan Hafiz duduk. Katanya “Jangan memancing lama-lama dik. Tempat ni agak keras”.
Namun kelekaan kerana mendapat ikan yang banyak membuatkan saya mengendahkan kata-katanya itu.
Dalam keadaan riang gembira itulah saya dan Hafiz tidak perasan air di tengah lombong kelihatan berpusar. Pada mulanya perlahan namun lama-kelamaan ia menjadi kuat dan air lombong menjadi ombak besar seperti ombak laut.
Saya dan Hafiz hampir terhumban ke dalam lombong sekiranya lambat sesaat memanjat tebing lombong yang sedikit curam itu.
Dari atas tebing, kami dapat melihat dengan jelas satu lembaga besar muncul dari permukaan air dengan badannya yang hitam berkilat. Mukanya seperti begitu hodoh, bertanduk dan mempunyai satu biji mata yang sangat merah.
Setiap kali lembaga itu meranduk air lombong yang separas pinggangnya, setiap kali itulah air lombong akan membuak membentuk seperti ombak besar yang menghempas tebing lombong itu.
Kami berdua seperti terpaku melihat kejadian itu. Hujan pula semakin lebat, menyukarkan pandangan kami ke arah lembaga itu.
Tiba-tiba saya lihat lembaga aneh bermuka ikan toman itu seperti menyedari kehadiran kami di atas tebing lombong itu. Wajahnya tiba-tiba membengis.
Matanya menyinga memandang kami. Dan akibat ketakutan yang teramat sangat, saya terkencing di dalam seluar!!!
“Lari Syamil. Lari…!!!” ajak Hafiz.
Namun, kaki saya bagaikan terpaku ke tanah. Tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya hanya berdiri tegak sambil mata tepat memandang ke arah lembaga bermuka ikan toman itu yang kini berjalan ke arah saya!
Saya tidak tahu apakah yang terjadi seterusnya. Pandangan saya beransur gelap apabila melihat tangan lembaga itu yang penuh lumut dan licin bagaikan toman seolah-olah mahu mencapai saya untuk masuk ke dasar lombong.
Saya hanya sedar apabila nama saya dipanggil. Celik mata, saya sudah berada di rumah dengan dikelilingi sanak saudara dan jiran tetangga.
Saya diberitahu bahawa saya mengalami histeria di tebing lombong itu dengan mulut berbuih, hanyir berbau ikan.
Tangan saya pula mengapa-apai ke atas seolah-olah mahu menyelamatkan diri dari lemas di dalam air. Menurut pawang yang dipanggil untuk memulihkan saya, saya terkena lintasan hantu air.
Nasib saya baik kerana sebaik sahaja Hafiz melihat saya mula menjerit ketakutan, dia azan sebanyak tujuh kali di tepi lombong itu. Selepas itu, keadaan menjadi semakin reda dan air lombong tidak berpusar lagi.
Kejadian itu hanya menakutkan saya buat sementara waktu sahaja. Selepas tiga bulan, saya mula memancing kembali. Saya percaya di dalam dunia ini, kita berkongsi alam dengan semua makhluk ALLAH yang ada.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...