Game Retro – Pertandingan Memancing Tahunan MCCH

Share

 

Bertemankan angin laut musim luruh, pertandingan memancing tahunan Malaysian Community Of Cheetam Hill (MCCH) Manchester kali kedua telah dianjurkan dengan jayanya. Bagi edisi kali ini, Pantai Barat United Kingdom atau tepatnya di Fairhaven Lake, Lytham St. Annes berdekatan bandar pelancongan Blackpool menjadi pilihan.

 

Meskipun Fairhaven Lake merupakan sebuah tasik (sesuai dengan namanya), pertandingan ini sebenarnya dijalankan di sepanjang pantai bertembok menghadap ke pertemuan Laut Irish dan muara Sungai Ribble, kurang seratus meter dari Fairhaven Lake.

 

 

Pertandingan kali ini turut bertujuan untuk mengutip dana sumbangan kepada rakyat Gaza. Sumber kewangan diperolehi daripada yuran penyertaan sebanyak £3.00, sewa rod, perambut, ladung dan jualan umpan yang disediakan pihak penganjur.

 

SAMBUTAN MEMBERANGSANGKAN

 

Jika sebelum ini hanya pemancing-pemancing dalam kalangan pelajar postgraduate dan permanent resident yang menyertai, edisi kali ini menyaksikan percubaan pertama sekumpulan pelajar undergraduate untuk mencabar orang-orang yang lebih berpengalaman.

 

Ternyata faktor umur dan pengalaman tidak menghalang anak-anak muda ini untuk turut sama bersaing dalam meraih kejuaraan untuk sesi kali ini. Secara keseluruhan, seramai 21 orang pemancing mendaftar sebagai peserta.

 

 

Memandangkan suhu sejuk musim luruh kali ni agak luar biasa berbanding selalu, Dr Mohd Idzam Zakaria selaku ketua jawatankuasa penganjur telah pun menasihatkan peserta dan penonton agar memakai jaket musim sejuk dibawa di samping baju dua persalinan, sarung tangan, dua pasang stoking, kasut dan sebagainya.

 

Tambahan lagi, pertandingan dijalankan pada waktu malam. Jelas bahawa cabaran kali ini bukan sekadar bertempur dengan angin laut musim luruh yang tidak menentu, tapi juga dengan tahap suhu yang menggila.

 

Para peserta tiba sekitar jam 12.00 tengah malam dan pertandingan dimulakan dengan penerangan peraturan pertandingan dan bacaan doa. Para peserta terpaksa menunggu air untuk naik hampir ke tembok bagi membolehkan lontaran dilakukan.

 

 

Kira-kira jam 1.30 pagi, barulah paras air sesuai untuk para peserta memulakan pancingan. Persisiran pantai bertembok Blackpool menjadi semakin meriah saat kawasan perumahan sekitar semakin sunyi ditelan malam.

 

Satu demi satu tempikan berkumandang apabila setiap peserta mendapat ikan. Para pengadil terpaksa bergegas dalam keadaan gelap dan hanya berbekalkan lampu suluh untuk mencari para peserta yang duduk secara bertebaran.

 

 

Markah setiap tangkapan dikira berdasarkan panjang ikan dan ditukarkan kepada mata mengikut jadual SAMF (Shore Anglers Match Federation) yang sudah disediakan. Markah akhir adalah berdasarkan jumlah mata yang terkumpul sepanjang waktu pertandingan.

 

Kebanyakan hasil tangkapan adalah flounder (Platichthys flesus) atau lebih dikenali sebagai ‘ikan sebelah’. Tidak kurang peserta yang mendapat lesser spotted dogfish (Scyliorhinus canicula) dan belut (Common Eel-Anguilla anguilla) yang mempunyai kelebihan dari aspek panjang iaitu sekitar 50 cm.

 

 

Ikan yang tidak mencapai panjang minimum mengikut klasifikasi IFCA (Inshore Fisheries and Conservation Authority) masih dapat dikira sebagai markah pertandingan. Namun ikan di bawah panjang minimum ini haruslah dilepaskan semula ke laut untuk menjamin ekosistem yang berterusan, selaras dengan undang-undang yang dikeluarkan pihak berkuasa IFCA di United Kingdom.

 

ERATKAN PERSAHABATAN

 

Aktiviti sampingan sepanjang pertandingan ini adalah jamuan ringan yang dibekalkan melalui konsep ‘pot luck’ oleh para peserta sendiri. Ada yang membawa kopi panas, nasi goreng, bihun tom yam, pasta, sup daging dan sebagainya. Sememangnya enak untuk menikmati makanan panas dalam cuaca sejuk sambil menanti mata kail menemui hasil.

 

 

Pemenang pertandingan ini adalah saudara Abdul Razak Yacob dari Warrington dengan kutipan sebanyak 117 mata, diikuti dengan Ruslan Omar (Manchester) dengan 74 mata di tempat kedua dan tempat ketiga Harris Mohd Idzam (Manchester) dengan 71 mata.

 

Pertandingan seumpama ini sememangnya merapatkan silaturahim antara pemancing-pemancing sekitar kawasan Barat Laut England di samping memperkenalkan aktiviti memancing kepada mereka yang baru hendak berjinak dengan hobi memancing ini.

 

 

Diharapkan agar semangat para pemancing akan terus membara meskipun bumi United Kingdom bakal dikunjungi musim sejuk untuk bulan-bulan mendatang. Selain itu, kutipan terkumpul sebanyak £380.00 (RM2005.00) untuk Gaza sedikit sebanyak menyumbang dalam meringankan penderitaan mereka di sana.

 

Info

 

Pertandingan Memancing Malaysian Community of Cheetam Hill (MCCH) adalah pertandingan memancing yang dianjurkan oleh sekumpulan komuniti rakyat Malaysia di UK yang begitu meminati hobi memancing. Ia dicetuskan oleh Dr Mohd Idzam Zakaria, yang berkhidmat Bahagian Kecemasan di Hospital Manchester selepas mendapati ramai rakyat Malaysia yang menetap di sana meminati hobi memancing.

 

 

Ujarnya yang telah menetap selama 15 tahun di sana, walaupun berbeza bidang, ia tidak membataskan aktiviti komuniti rakyat Malaysia di sana untuk memancing bersama!. Hobi memancing bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia, bahkan ia sebagai satu wadah perjumpaan sesama mereka apabila mereka kerap pot luck, bersiar bersama keluarga masing-masing sambil mengadakan aktiviti memancing di serata pelosok United Kingdom.

 

 

Published by
Amang