Gadis-Gadis WAC Tegar Memancing Laut Dalam ®

Share

 

Tidak sampai sebulan melangsungkan trip memancing di perairan Sabah, Kelab Pemancing Wanita atau Women Anglers Club (WAC) kembali beraksi di laut dalam lagi.

Kali ini perairan Terengganu sekitar Pulau Tenggol pula yang menjadi padang pancing tujuh orang ahli WAC yang tidak gentar dengan perairan Laut China Selatan yang banyak `menewaskan’ para pemancing.

Trip yang dikendalikan oleh exco WAC ini sekali lagi mendapatkan khidmat juru pancing berpengalaman, Pok Mud dan penulis sendiri turut sama diundang bagi menjayakan trip tiga hari dua malam ini.

 

Shima bertarung dengan spesies yang belum dikenal pasti

 

Dalam perancangan misi utama trip adalah untuk mencandat sotong, namun kelengkapan pancingan dasar seperti kekili elektrik dibawa bersama sebagai persediaan.

Ini berikutan perairan Pulau Tenggol di Dungun ini bukanlah spot popular mencandat sotong. Dan langkah tersebut ternyata tepat.

Setelah tiba di satu lokasi berpotensi mencandat sotong pada lewat petang, aktiviti mencandat segera dilaksanakan.

 

Namun sehingga lewat malam dengan hasil candat yang sangat menghampakan, dan banyak bot lain yang turut mencandat meninggalkan spot tersebut.

Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menamatkan aktiviti mencandat sotong dan mencari spot berpotensi untuk aktiviti memancing ikan.

 

cermin pertama didaratkan Normala

 

Setelah meninggalkan lokasi pesisir pantai ke lubuk kapal karam dan tukun berpuluh batu nautika perbezaan jaraknya, maka aktiviti mencandat sotong terpaksa ditamatkan juga.

Maka giliran kekili elektrik dan set pancing aksi berat pula yang mengambil giliran beraksi. Manakala sotong-sotong hasil candat yang tidak seberapa itu dijadikan umpan untuk memancing ikan.

 

Trofi trip didaratkan oleh Amylia

 

Sebagaimana sukarnya untuk mencari sotong, begitu juga kisahnya mencari ikan yang sepadan dengan set pancing aksi berat dan kekili elektrik yang digunakan.

Berkali-kali tekong dan awak-awak melabuh dan menarik sauh namun aksi `menarik’ yang dinantikan tidak juga menjadi kenyataan.

Koleksi lubuk simpanan yang tidak pernah menghampakan seperti ketandusan ikan bersaiz kasar.

Kebanyakan ikan yang dinaikkan lebih sesuai untuk set pancingan aksi ringan dengan menggunakan apollo.

 

Mazlina tidak ketinggalan mendaratkan cermin

 

Hanya pada hari terakhir barulah keceriaan terpancar pada wajah ahli-ahli WAC. Hanya beberapa jam sebelum kembali ke jeti baharulah ikan cermin, kerapu dan tetambak bersaiz sederhana sudi menjamah umpan yang dihulurkan.

Walaupun hasil yang dibawa pulang jauh untuk menyamai trip pecah tong mereka di perairan Sabah, namun ia sudah cukup memuaskan hati ahli WAC.

Lebih menggembirakan mereka, trip ini dianggap berjaya kerana tiada seorang pun ahli tumbang dek alunan Laut China Selatan yang sedikit bergelora.

Published by
Amang