Fishing Spot Dalam Kenangan – Suka-Suka Lake Retreat

Share

 

Kehidupan di bandar raya sememangnya diakui penuh kesibukan. Detik yang berlalu seolah sangat pantas menandakan betapa sibuk dan lajunya perjalanan hidup di bandar. Bagi mereka yang inginkan hentian untuk bernafas dan mencari ketenangan, apa kata anda berkunjung ke sukasuka lake retreat yang terletak di lenggong, perak.

 

Suka-Suka Lake Retreat merupakan sebuah homestay dengan konsep yang sangat unik. Terletak di Kampung Kelantan, Lenggong, Perak, homestay ini sangat sesuai bagi mereka yang mahu mencari ketenangan selain lari dari kesibukan kota.

 

 

Kunjungan anda ke sini akan dilayan sebaik mungkin oleh pemilik homestay ini iaitu Aziz Abd Manaf atau mesra disapa Pak Aziz. Pak Aziz sangatlah peramah dan tidak lokek untuk berkongsi apa sahaja cerita berkaitan homestay selain memberikan layanan terbaik sepanjang kunjungan anda ke sini.

 

Tarikan Konsep Luar Bandar

 

Menurut Pak Aziz, Sukasuka Lake Retreat pada asalnya bermula sekitar tahun 1995 disalah sebuah tanah pulau di Tasik Raban.  Setelah lebih sedekad beroperasi di pulau, Pak Aziz akhirnya membuat keputusan untuk lebih menumpukan operasi homestay di tanah besar atau mainland sekitar tahun 2009 sehingga sekarang bersama isterinya iaitu Kak Asiah dan anak bongsunya, Azam.

 

Jom join port baru di www.facebook.com/umpania101

 

Pak Aziz sempat berkongsi cerita berkaitan konsep homestay ini. Konsep utama di Sukasuka Lake Retreat ialah menjadikannya lokasi untuk berkongsi cara hidup di luar bandar serta lari daripada kesibukan. Malah, menurut Pak Aziz lagi, perkataan`retreat` itu sendiri memberi maksud lari dari kesibukan.

 

Selain itu, antara keunikan yang akan anda lihat jika berkunjung ke sini ialah keadaan dan bentuk binaan rumah yang ada di sini. Rumah yang terdapat di sini merupakan rumah asal di mana ia mengekalkan ciri-ciri keaslian binaan tradisional asal rumah.

 

Menurut Pak Aziz, rumah di sini datangnya dari Sayong, Lenggong, Parit, Kati, Selama dan Bukit Gantang. Selain mengekalkan binaan tradisional, Pak Aziz turut melakukan sedikit pengubahsuaian untuk keselesaan pengunjung seperti ruang mandi yang dilengkapi mandian air panas.

 

 

Keunikan yang terdapat di sini juga sering menarik pelancong dari dalam dan luar negara. Kunjungan pelancong terutama dari luar negara sudah pasti untuk merasai suasana kehidupan tradisional masyarakat di sini. Mereka akan diajar makan menggunakan tangan, bermain permainan tradisional seperti congkak, memasak serta berjalan menjelajah kampung berdekatan.

 

Lokasi Di Tasik Raban

 

Lokasi Sukasuka Lake Retreat yang terletak di Tasik Raban juga sering menggamit kedatangan pelancong dalam negara termasuklah kaki pancing. Bagi kaki pancing, di sini merupakan antara lokasi yang terbaik untuk meluangkan masa berkualiti bersama keluarga sambil melakukan aktiviti memancing.

 

Jom join port baru di www.facebook.com/umpania101

 

Kebelakangan ini, Tasik Raban cukup terkenal dengan spesies pendatang iaitu peacock bass dan saiznya juga mampu mencapai sehingga 48cm panjang. Selain daripada peacock bass, spesies tempatan lain juga masih boleh didapati di sini seperti toman, sebarau, tengalan dan belida walaupun mungkin populasi spesies tempatan agak berkurangan berbanding masa lepas.

 

Bagi yang mahu menjalankan aktiviti rekreasi air pula, anda boleh memilih untuk menginap di pulau dan melakukan aktiviti berkayak atau kayak fishing. Malah anda juga boleh melakukan aktiviti berkumpulan atau team building di pulau yang dikelilingi oleh air Tasik Raban ini kerana pulau ini mampu memuatkan sehingga 20-25 orang dalam satu masa.

 

 

Menurut Pak Aziz, sambutan dan maklum balas yang diterima oleh pengunjung yang pernah datang ke sini cukup menggalakkan. Malah, untuk rekod, terdapat pengunjung yang telah datang kembali ke sini sebanyak 66 kali.

 

Bagi pengunjung dari luar negara, homestay milik Pak Aziz ini telah menyambut kedatangan pelancong asing dari 117 buah negara berlainan. Ini menunjukkan betapa Sukasuka Lake Retreat merupakan hentian untuk lari dari kesibukan yang pasti akan menggamit anda untuk kembali ke sini.

 

Jom join port baru di www.facebook.com/umpania101

 

Published by
Amang