Fikir Dulu Sebelum Nak Jadi Kaki Pancing

Share

 

Di sebalik keseronokan hobi memancing, sebenarnya ia antara hobi yang berisiko mendatangkan kecederaan dan kemudaratan sekiranya beberapa perkara di bawah ini dianggap tidak penting dan ambil mudah. Berikut disenaraikan beberapa risiko seorang kaki pancing yang perlu sentiasa waspada agar tidak mendatangkan kedukaan kepada diri, keluarga dan juga insan tersayang.

 

Terkena mata kail gewang

 

Ia kes yang kerap berlaku di kalangan kaki casting terutama menaiki bot yang ‘sesak’ dengan penumpang. Kesannya, bila ternampak boiling sang ikan, mulalah gelojoh tidak pandang kiri dan kanan, akibatnya rakan tepi dan belakang menjadi mangsa. Walaupun punca kesalahan ini sering kali dituding kepada caster baru, ada kalanya berlaku juga di kalangan caster lama.

 

 

Tindakan: Jangan sesekali menaiki bot melebihi had penumpang. Selain tidak selesa, ia juga mengundang kejadian bot karam.

 

Kemungkinan Bot Karam

 

Kes berlaku disebabkan, tidak mahir mengendalikan bot (fiber), bot fiber dibawa laju terlanggar objek (biasanya kayu balak hanyut, tunggul yang tidak kelihatan). Di laut pula ia jarang-jarang berlaku dan kes bot karam selalunya disebabkan dipukul ribut dan ombak besar.

 

Tindakan: Pengendali bot perlulah seorang yang mahir dan tahu selok-belok sesuatu lokasi pancingan, misalnya di sungai dan tasik. Sentiasa berhati-hati ketika melewati kawasan tunggul, melalui sungai yang berarus deras. Jika di laut, sentiasa peka dengan keadaan cuaca.

 

Sesat Dalam Hutan

 

Pernah mengalami kejadian sesat ketika memancing. Jika pernah, anda boleh tahu betapa bingungnya macam mana ia boleh berlaku. Untuk elakkan sesat, sentiasa berteman di sesuatu lokasi yang belum anda pernah sampai. Jika menjarakkan diri di kawasan yang tiada liputan telefon pula, pastikan anda dapat melihat kelibat rakan anda dan rancang dengan rakan-rakan terlebih dahulu sekiranya anda ingin berpecah lokasi (kumpulan lebih kecil).

 

 

Tindakan: Paling mudah bawa wisel bagi tujuan kecemasan. Anda boleh meniup bagi menarik perhatian di saat anda sudah kekeringan tekak menjerit meminta tolong.

 

Kemungkinan Lemas

 

Tiada sebab mengapa anda tidak memakai jaket keselamatan sebaik sahaja anda menaiki bot, lebih-lebih lagi bot fiber ketika memancing. Sentiasa periksa dan sematkan jaket keselamatan dengan baik. Sekiranya bot karam dan terbalik, jangan sesekali panik. Cuba bertenang dan capai benda yang boleh terapung seperti tong minyak. Elakkan memakai pakaian yang berat seperti seluar jean ketika memancing.

 

 

Tindakan: Bagi jaket keselamatan jenis gas, periksa bilakah tarikh luput gas berkenaan.

 

Kemalangan Jalan Raya

 

Perkara paling indah buat kaki pancing adalah ‘banyak masa dan banyak duit’. Namun bukan semua kaki pancing beruntung ada kedua-duanya. Ramai kaki pancing terus pulang dari trip atas alasan kena esok masuk kerja.

 

Penat, mengantuk, tidak tukar pemandu, tidak berehat dan tidur seketika, mengejar masa untuk sampai di rumah, antara faktor mengundang berlakunya musibah ini. Periksalah keadaan kereta sebelum menaiki kenderaan dan jangan lupa memakai tali pinggang keselamatan kerana ia mampu mengurangkan kecederaan lebih teruk sekiranya berlaku kemalangan.

 

 

Tindakan: Langkah terbaik, semua ahli trip perlu merancang perjalanan trip dengan baik seperti mengambil cuti lebih, hotel, chalet dan menginap selepas pulang dari trip sebelum pulang keesokan harinya.

Bacaan doa perlu dipanjatkan kepada yang Maha Esa dipanjatkan agar terhindar dari sebarang musibah.

Seorang kaki pancing dan juga bukan kaki pancing MESTI memiliki sekurang-kurangnya satu pelan perlindungan insurans diri kerana malang itu tidak berbau.

 

Published by
Amang