Tiba di spot pertama, tidak jauh dari sebuah pulau tandus, kami mula menurunkan jig. Cuaca begitu cantik, tetapi keadaan arus agak laju sedikit waktu itu. Kami yang menyasarkan teknik light jigging dalam trip ini masing-masing cuba mencari lesen pertama.
Tidak lama kemudian, masing-masing termasuklah tekong masing-masing memperoleh tangkapan kerisi. Namun belum ada tangkapan yang bersaiz kasar. Cuma ada satu sambaran rakus yang saya perolehi dan dipercayai kerapu berjaya menyelinap masuk ke sarangnya dan keputusannya lebur!.
Tekong Adik, kemudiannya beralih ke spot kedua dan ketiga sebelum kerisi sahaja yang menjadi penyeri. Kami sempat singgah di salah satu unjam. Di sini, Saiful berjaya memperoleh seekor tenggiri hasil jig cast yang di lontar jauh di luar kawasan unjam.
Pacai yang berada di hadapan bot yang mengunjun jignya juga berjaya memperoleh sambaran. Sayangnya ikan yang dipercayai juga sang tenggiri berjaya meloloskan diri selepas ia menyelinap di tali unjam sebelum putus. Selepas itu, tiada lagi sambaran yang diterima dan kami bergerak menuju spot lain di perairan Tioman.
Sebelum trip, Azha dan juga Tekong Adik ada menyarankan agar kami bersedia dengan memasang bulu pada mata kail jig. Ini kerana air di sekitar perairan ini agak jernih. Ikan ada kalanya enggan membuka mulut tanpa ada aksesori tambahan ini.
Saya perhatikan cara Tekong Adik dan Paiz yang turut sama menurunkan jig setiap kali tiba di mana-mana spot. Jelas kedua-dua tekong ini gemar menggunakan Senses jig Candy (saury) warna hijau dan silver 40 gram. Cara yang dipraktikkan lebih kepada jig cast iaitu melontar jauh, sebelum dibiarkan seketika dan karau laju secara jerking. Antara spesies yang diperolehi, termasuklah ikan tambak, kerisi dan juga kerapu.
Pada masa yang sama juga, Tekong Adik menyarankan agak kami mencuba kaedah tundaan. Sebanyak dua set joran untuk menunda disediakan di belakang bot. Hampir setengah sejam ulang tundaan juga tidak mendatangkan sebarang hasil. Lantas, set trolling terus disimpan dan set jigging diguna semula.
Ketika sedang rancak jigging, Zul yang sedang menjawab panggilan telefon sambil tangan kanannya melakukan unjunan jig secara aksi yo-yo tiba-tiba disentap rakus menyebabkan rod Storm Gomoku Erito PE0.8-1.5 dipadankan dengan Twin Power 3000s. Kelam kabut dibuatnya .
Tiga minit kemudian, naik seekor ikan cermin dalam skala 2 kg. Terus sahaja, derai ketawa kedengaran, apabila kami mengatakan, sambil jawab telefon pun boleh dapat ikan. Ini dinamakan ‘racun’ untuk beliau yang kali pertama turun jigging.
Melihat di bawah air yang begitu jernih sungguh mempersonakan. Ada kumpulan ikan berwarna kuning. Begitu juga tidak lama kemudian, sekumpulan ikan berwarna biru pula muncul. Tiba-tiba muncul boiling kumpulan ikan menghampiri bot, terus sahaja kami melontarkan popper dan jig. Saya yang membiarkan Ima Gun 40 gram warna silver tenggelam sekitar 8-10 saat, terus sahaja disentap kuat dan terus menekan ke bawah.
Dalam perjalanan pulang, Tekong Adik memutuskan singgah sekali lagi di sebuah unjam. Seekor lagi tenggiri menjadi rezeki kami selepas membaham Senses Pintail. Tidak ketinggalan, kami mencari ikan lauk di unjam yang sama menggunakan apollo sebelum menamatkan trip ini.