Fenomena Jigging Kelajuan Tinggi Di Terengganu ©

Share

 

Aktiviti perikanan rekreasi di Terengganu sama ada di sistem air tawar dan air masin bolehlah dikatakan seimbang.

Dengan kewujudan sistem empangan di sungai-sungai menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi perikanan rekreasi popular.

 

Manakala pembinaan pelantar minyak menyemarakkan lagi aktiviti memancing di perairan Laut China Selatan ini.

Namun kebelakangan ini, apabila salah satu teknik memancing iaitu mengunjun atau jigging kian menular, secara tidak langsung menyaksikan industri memancing di Terengganu semakin meriah.

 

Dengan peningkatan penggemar teknik pancingan mengunjun dan operator bot memancing menyaksikan perairan Terengganu bermula dari Kemaman hinggalah ke Besut menjadi destinasi memancing pilihan sejurus berakhirnya monsun.

 

Perairan Marang yang sebelum ini hanya popular apabila tibanya musim mencandat sotong turut tidak terkecuali terkena tempias dalam fenomena ini.

Untuk merasai sendiri bahang fenomena ini, saya sertai satu trip jigging di perairan Marang dengan menggunakan khidmat operator bot jigging tempatan yang tersohor di FB, Seby Shya.

 

 

Misi dan taktikal yang dipraktikkan dalam aktiviti memancing adalah memburu spesies tenggiri dengan teknik fast jigging.

Justeru spot memancing yang menjadi sasaran utama ialah unjam-unjam. Berikutan kekurangan spesies tenggiri di perairan Marang, tekong memutuskan untuk cuba nasib di perairan Dungun.

Namun masa perjalanan lebih satu jam dari jeti Marang dengan menjadikan unjam dan barisan paip sebagai spot permainan.

 

Mengunjun kepingan jig besi seberat 40-60 gm dengan karauan sepantas mungkin di kawasan unjam berselirat dengan rintangan benar-benar memerah kudrat dan pengorbanan.

Pengorbanan yang dimaksudkan adalah bersedia berhadapan dengan situasi kehilangan set jig atau lebih malang lagi putus tali utama akibat mata kail tersangkut pada tali unjam atau apa-apa struktur di kawasan tersebut.

Dan ia bukan sekali dua terjadi kepada kami, bukan sedikit jig kami lebuh menjadi tukun, malah saya sendiri turut kehilangan satu gelendong tali utama.

 

 

Di sebalik kehilangan banyak jig dan tenaga, hasil yang diperoleh sebenarnya tidaklah terlalu mengecewakan.

Setelah ditolak penyebab kegagalan mendaratkan spesies sasaran seperti tali kevlar putus, putus tali perambut, split ring melocot keluar, mata kail terkangkang lurus dan beberapa lagi masalah teknikal, kami berjaya membawa dua ekor tenggiri beberapa ekor lain spesies lain seperti tongkol, ebek dan cermin.

 

Hasil keseluruhan yang diperoleh

 

Published by
Amang