Lluvia de Peces (Rain of Fish) merupakan satu fenomena misteri di mana hujan yang turun tak hanya membawa air tetapi membawa ikan yang berlaku setiap tahun di kawasan Yoro, Honduras. Fenomena ini juga dikenali sebagai aguacero de pescado dan telah menjadi festival tahunan bagi komuniti di sana.
Penjelasan Fenomena
Terdapat beberapa penjelasan berkaitan fenomena yang berlaku sekitar bulan Mei atau Jun ini. Antara yang paling popular ialah, dalam keadaan cuaca yang mengakibatkan angin kuat seperti ribut taufan, akan terhasil puting beliung atau tornado kecil.
Ads
Apabila tornado ini bergerak ke kawasan air, organisma kecil seperti ikan atau katak akan ditarik ke atas dan dibawa sehingga beberapa batu jauhnya. Tornado ini mampu membawa organisma tersebut sehingga ke kawasan yang agak jauh sebelum ikan ini akan bertebaran jatuh selepas ribut.
Misteri
Ads
Walaupun penjelasan tersebut dikatakan antara yang paling logik, namun terdapat beberapa persoalan yang masih menjadi misteri. Walaupun pakar kaji cuaca menjelaskan fenomena ini merupakan kejadian meteorologi, persoalan timbul apabila kesemua ikan yang turun bersama hujan ini merupakan spesies air tawar sahaja. Bahkan, ikan-ikan ini dalam keadaan sempurna di mana mempunyai mata. Selain itu, ikan yang turun juga merupakan bersaiz kecil sahaja.
Beberapa persoalan ini masih belum dapat dirungkai secara saintifik. Penduduk tempatan pula kebanyakannya percaya fenomena ini terjadi kerana doa seorang paderi Katholik iaitu Father Jose Manuel Subirana yang meminta rezeki untuk penduduk yang miskin.
Ads
Apa pun penjelasan terhadap fenomena ini, Rain of Fish tetap menjadi antara fenomena misteri. Tak memancing pun boleh tunggu ikan jatuh dari langit. Di Malaysia, kejadian seperti ini belum lagi pernah terjadi.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
“Percayakah kamu sekiranya saya menyatakan adalah sesuatu yang sangat sukar untuk menaikkan seekor temoleh seberat 40 kg ke dalam sampan kecil berseorangan?”
Dalam fikiran aku, tentu saja sedang kita membongkok cuba menaikkan ikan liar yang terperangkap dalam jala panjang 10 kaki itu ke dalam sampan, sampan akan terumbang-ambing dan terus senget.
“Sudah tentu air akan mencurah-curah masuk. Kamu boleh bayangkan nasib penjala tersebut!” ucap Cek Mat kepadaku ketika aku sedang menghirup kopi pekat di anjung rumah pusaka datuknya. Cek Mat terus menceritakan lagi kisahnya…..
Aku sendiri pun pada mulanya tidak yakin, tapi setelah melihat sendiri Pak Jangit mendayung sampan dengan membawa seekor temoleh besar dalam perut sampannya yang sedang merapat ke tebing memang sungguh mengejutkan.
“Ada orang tolong Pak Jangit tadi ke?” kata aku sambil memerhati sampan Pak Jangit mula merapati tebing.
“Kamukan nampak aku seorang je ni,” ujar Pak Jangit sambil tersenyum.
Aku terdiam. Dalam fikiranku mungkin ada seseorang yang sedang mudik ke hulu bertembung dan membantunya menaikkan ikan tersebut ke dalam sampan. Mana mungkin seseorang menaikkan ikan tersebut bersendirian, fikirku lagi.
Aku segera membantu Pak Jangit memikul ikan temoleh menuju ke rumahnya yang berjarak suku batu. Suasana agak suram bila memasuki lorong kebun getah yang menuju ke rumahnya yang jauh dari rumah jiran-jiran.
Terasa pelik dan kagum apabila melihat Pak Jangit masih gagah memikul tanpa mengeluh ikan tersebut naik ke dapurnya. Pak Jangit mengeluarkan golok dan menyuruh aku memotong mana-mana bahagian yang aku sukai.
Melihat aku masih ragu-ragu, Pak Jangit lantas memotong bahagian kepala dan memasukkan ke dalam buntil tepung dan menyerahkan padaku untuk dibawa pulang.
Esoknya, selepas pulang dari bekerja di Kilang Getah Kati Estate, aku mencapai batang-batang joran lantas mencapai basikal. Hajatku untuk pergi memancing. Di simpang jalan aku singgah di Kedai Runcit Pak Alang Him untuk membeli rokok dan sedikit roti manis buat bekalan.
Bunyi riang-riang rimba yang tingkah meningkah menyambut kedatanganku di pinggir sungai. Dua batang pancing segera kusiapkan dan siap kutambatkan pada anak pokok pinang. Aku pun bersandar pada perdu pokok sambil mengeluarkan bekalan roti yang dibawa.
Tiba-tiba aku teringat pelawaan Pak Jangit mengajak aku menjala ikan bersamanya. Seingat aku Pak Jangit Tamih pernah memberitahu dia berasal dari suku Kerinci dari daerah Jambi, Indonesia. Telah setahun Pak Jangit mengambil upah menoreh getah di kebun ketua kampung. Pak Jangit pernah berkahwin tapi bercerai tanpa meninggalkan zuriat.
Aneh, orangnya. Rela tinggal bersendirian di hujung kampung dan menghuni rumah kecil peninggalan Bidan Mak Limah.
Sekiranya tidak menoreh kerana hujan, dia akan membuat jala. Kadang-kadang ada juga orang kampung turut menempah jala darinya. Cuma dia agak kurang bergaul. Satu-satunya yang menentang keras akan kehadirannya adalah Pak Malim, seorang guru silat di kampung kami.
Pernah tiga bulan yang lalu, Pak Jangit menggemparkan penduduk Kampung Beluru dengan tangkapan ikan temoleh seberat 40kg di Sungai Jawang. Berita kejayaannya telah menjemput kaki-kaki pancing dan pemukat dari kampung-kampung berhampiran.
Namun ramai yang hampa. Cuma Pak Ngah Tago agak bernasib baik dapat menaikkan temoleh 17 kg, itu pun dibantu oleh anak bujangnya yang ikut bersama.
Aku menyalakan sebatang rokok. Nyamuk yang berlegar di sekeliling badanku mulai berkurangan. Ada juga desas-desus menyatakan Pak Jangit mengamalkan ilmu hitam. Ada juga menyatakan Pak Jangit ada pendamping.
Terasa seram menyelubungi diri sewaktu aku berpaling ke kiri. Berderau darahku. Berdiri di bawah pokok salak kelihatan Pak Malim yang sedang melangkah ke arahku. Kami pemuda-pemuda Kampung Beluru dan kampung-kampung sekitarnya sangat menghormatinya kerana ilmu persilatannya yang tinggi.
“Aku mencari kerbau aku yang terlepas!” ujar Pak Malim sewaktu aku bertanya akan kehadirannya. Aku dengar kau nak ikut Pak Jangit menjala? Berhati-hati jangan cepat percaya dengan orang luar.”
Aku mula merasa tidak selesa. Bagaimana Pak Malim boleh tahu rancanganku? bisik hatiku. “Mat, kau ada rasa kelainan tak semasa berada di halaman rumahnya?”. Aku mengangguk perlahan.
Memang aku akui. Ada ketikanya suasana tiba-tiba rasa sejuk yang melampau, bau kemenyan yang nipis menusuk ke hidung sewaktu berada di halaman rumahnya. Lebih-lebih lagi waktu rembang petang.
“Kebaikan kau akan dipergunakannya, berkemungkinan dia akan melepaskan sakanya pada kamu.” Aku merenung jauh memikirkan kata-kata Pak Malim. “Kehebatannya menaikkan ikan-ikan besar seorang diri ke dalam sampan hanyalah dibantu oleh pendampingnya. Tapi ingat itu hanyalah ilmu dunia yang sementara!”
Aku mula merenung muka Pak Malim. Sayup-sayup kedengaran bunyi kereta api barang melintasi jambatan besi Victoria. Petang yang cerah tiba-tiba bertukar kelam. Langit hitam beserta angin kencang membawa gerimis. Sebaik bunyi guruh berdentum kuat, tiba-tiba kami dikejutkan kelibat Pak Jangit di bawah pokok kabong, sambil merenung tajam ke arah kami.
Daripada pandangan mata wajahnya, perlahan-lahan seakan berubah menjadi harimau. Suaranya kedengaran garau dan bersedia dalam kedudukan untuk menerkam kami.
Pak Malim lantas mengeluarkan kain hitam berjalur merah. Dari mulutnya meluncur ayat-ayat suci. “Mat kamu jangan gentar, teruskan membaca ayat Qursi.” Aku akur sambil cuba melangkah pantas ke belakang Pak Malim.
Belum sempat aku berada di belakang Pak Malim, satu tamparan singgah di dada kiriku. Sepantas kilat Pak Malim merentap daunan dan menepuk sambil mulutnya kumat kamit menghembuskan ke dadaku dan tangan kiriku menekup daunan seperti diarahkan. Aneh!
Dalam beberapa saat dada terasa seperti terbakar mula reda seperti di sirami air dingin. Jelmaan Pak Jangit yang telah bertukar wajah kepada harimau jadian mengaum sekuat tenaganya.
Terkamannya yang agak tersasar memberi peluang Pak Malim melibas muka harimau jadian dengan kain hitam dengan sekuat hati. Lantas ghaib dari pandangan mata kami dan meninggalkan bau kemenyan yang tajam. Perlahan-lahan Pak Malim memapahku pulang….
“Peristiwa ini telah 20 tahun berlalu. Pak Malim pun telah lama meninggal dunia. Pak Jangit telah lama menghilangkan diri tanpa berita. Lihatlah ini bekas cakarannya masih meninggalkan parut di dadaku sebagai kenangan,” Ucap Cek Mat sambil tertawa kecil.
Matanya merenung jauh ke puncak Bukit Karai. Sesekali mataku merenungi bunga-bunga teratai di permukaan kolam yang berada di pinggir rumah pusaka Cek Mat.
“Setiap kejadian ada hikmahnya. Cuma kita harus selalu berwaspada. Ingatlah pada yang Esa!” ucap Cek Mat perlahan kepada ku.
Bagi penggemar masak tempoyak pastinya akan cuba pelbagai versi masak tempoyak. Sama ada masak tempoyak ala Pahang, Perak atau Terengganu masing-masing ada keistimewaan sendiri.
Bagi pemancing yang biasa memancing di Tasik Kenyir, pastinya terbiasa dengan masak tempoyak ala Kuala Berang. Di sini kami sediakan cara mudah menyediakan baung masak tempoyak tersebut.
Bahan bahan:
3/4 ekor baung saiz sederhana
2 senduk tempoyak
4 cawan air (bergantung pada anda untuk kuah pekat atau cair)
1 biji cili merah (untuk memerahkah sedikit kuah)
Segenggam cili padi merah (bergantung pada tahap kepedasan anda)
1 inci kunyit hidup
Secekak daun kesum (kisar sedikit dan selebihnya tak perlu dikisar)
Sedikit garam
Cara-cara Memasak:
Tumbuk cili merah, cili padi dan kunyit hidup. Jangan sampai terlalu hancur. Kemudian masukkan tempoyak dan ditumbuk supaya bergaul rata.
Masukkan ikan dan semua bahan ke dalam periuk. Masak dengan api perlahan sehingga ia menggelegak. Setelah menggelegak, masukkan daun kesum. Masak dalam 3-5 minit sahaja dan bolehlah tutup api.
(Nota tambahan)
Kalau tempoyak kurang masam, boleh tambah sedikit asam keping.
Basuh ikan dengan tepung gandum untuk menghilangkan bau hanyir ikan sungai.
Kalau mahukan kuah yang pekat, boleh dimasakkan kuah sehingga masak dan pekat, baru dimasukkan ikan.
“Pakai ridsect… selalu memancing sembilang bawa ridsert nyamuk… kalau-kalau terkena sengat sembilang sembur saja dengan redset… rasa sejuk… sakit pun kurang.”
– Fredolin Edo
“Petua aku lebih kurang pantun je… bila kena duri cepat2 sebut `nasib baik kena malam, kalau kena siang tentu sakit’. Bila kena siang, cakap mcm tu jugak cuma kalih je… `nasib kena siang kalau malam tentu sakit’. Ok… petua ni dah banyak kali guna… alhamdulillah. Tak kira la duri ikan apa pun… sebut ja macam tu… apa yang penting kita mesti percaya… jangan was-was.”
– Faris Fazil
“Pernah kena zaman kanak-kanak. Naik basikal mancing ramai2 ngan kawan. Kurang bernasib baik hari tu tercucuk duri sembilang kat betis! Rasa nak pitam masa tu… nasib baik ada sorang pak cik kat situ… datang sambil senyum je. Kawan2 dah cuak masa tu tengok keadaan. Pak cik tu amik batang mancis dan kikis belerang kat tempat kena sengat… pedih tak terkata… dengan selamba pak cik tu cucuh api kat belerang tu… fuhhhh…! Sekelip mata sakit tu hilang… dan boleh sambung mancing… pengalaman yang tak boleh lupa.”
– Asrofi Salihi
“Petua daripada orang-orang lama. Kalau kena sengatan haiwan-haiwan laut… ambil ‘otak ikan’ dan makan mentah-mentah… boleh diamalkan jika petua lain tidak berkesan sementara nak pergi klinik.”
– Syed Zuraidi
“Pernah kena duri sembilang ni… gunting sedikit hujung ekornya selawat kunyah ekor tu dan telan. Rasa pahit sedikit… Insyaallah hilang / kurang dalam beberapa minit… selamat mencuba.”
– Md Redzuan
“Paling mujarab ambil satu misai kucing cucuk dekat tempat yang kena tu… nanti akan terasa hisapannya. Saya dah cuba Alhamdulillah lena tidur dengan izin Allah.”
– Sekut Cotek
“Masa memancing dulu-dulu dengan orang-orang lama… dia ambil tahi cacing tanah yang masih baru dan sapu pada tempat terkena sengatan… Alhamdulillah boleh sambung memancing.”
– Yamin Hamzah
“Petua yang saya dapat dari ayah… ikan sembilang, keli, duri dan keluarganya… asah kuku guna pisau, ambik habuk kuku dan tampal di tempat kena sengat. Insyaallah rasa berdenyut sakit hilang.”
– Amir Aziz
“Cari daun lidah ular lepas tu lenyek-lenyek kat tapak tangan dan tempek tempat yang kena sengat… jap ja lega. Cara ni selalu dok buat kalau kena.”
– Shukri Mokhtar
“Pernah kena… tekong suruh gigit dan telan ekor ikan sembilang tu. Alhamdulillah kurang sakit… boleh teruskan mancing sampai ke petang. Masa tu naik sampan… kena dalam pukul 10 pagi macam tu… tapi lepas naik darat… balik rumah mandi terus tangan start bengkak… terus gi klinik dan kne enjet.”
– Zulkefle Sipon
“Saya pernah kena dekat rumah rakit… kena dekat jari manis. Sungguh manis penangannya. Ikat lengan, tumbuk asam jawa, buh kat kain, pastu ikat kat tempat kena sengat tu… minum susu… Alhamdulillah saya boleh sambung mancing lagi.”
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...