Fasa Air Terbaik Untuk Mancing Yang Kena Tahu!!

Share

 

Air bani atau air mati ini dari segi istilah membawa maksud aras perbezaan air pasang dan surut yang tidak jauh ketara perbezaannya iaitu kebiasaannya aras perbezaan sekitar 1.5 hingga 2.5 meter (bergantung kepada lokasi).

 

Pada waktu ini kebiasaannya arus tidak laju dan air laut juga biasanya menjadi sangat jernih kerana kurangnya gelodak yang terhasil akibat lumpur atau sampah sarap ketika arus laju.

 

 

Lazimnya air bani berlaku di dalam dua fasa pada setiap bulan. Fasa pertama ia akan berlaku pada 7 hingga 11 hari bulan di dalam kalender Hijriah dan fasa kedua pula berlaku pada 20 hingga 24 haribulan Hijrah.

 

Memancing Ketika Fasa Air Bani

 

Tidak banyak penerangan yang diperlukan untuk memancing sewaktu air bani ini. Ini kerana keadaan arus yang perlahan tidak memerlukan teknik-teknik yang khusus buat pemancing.

 

Apa yang penting sediakan sahaja umpan dan pergilah ke lubuk-lubuk yang berpotensi untuk menjerat ikan. Kebiasaannya, sewaktu air bani ini ikan-ikan bersisik seperti jenahak, kerapu, siakap, gerut-gerut dan senangin yang akan mendominasi hasil tangkapan.

 

 

Ini kerana pada waktu dan ketika arus bergerak perlahan, spesies-spesies ini akan lebih aktif keluar dari sarang atau lubang untuk mencari makanan. Waktu kemuncak untuk memancing sewaktu air bani ini ialah ketika pertukaran arus terjadi iaitu pada awal pagi dan lewat senja.

 

Namun begitu, adalah perlu untuk mengelakkan memancing sewaktu air betul-betul mati atau tiada arus sama sekali seperti air tenang di kolam atau tasik. Ini kerana, sewaktu arus mati, ikan biasanya menjadi pasif dan kurang berminat dengan umpan pemancing.

 

Published by
Amang