Kita biasa dengar istilah air cantik, bukan? Tapi tahu ke korang air cantik tu macam mana? Air yang tak cantik pulak macam mana? Sebenarnya yang perlu kita tau ialah fasa air.
Air Menyorong Kecil
Air menyorong kecil ini merujuk kepada air laut ketika air pasang besar yang mula bergerak perlahan dan akan bani atau mati selepas 3 hari. Ketika ini air keruh mula jernih dan arus perlahan. Kebanyakan kawasan sesuai untuk memancing. Kebiasaannya waktu ini sesuai untuk memburu spesies kurau, senangin dan jenahak di kawasan pantai dan kawasan dalam yang lain. Waktu air menyorong kecil juga dianggap terbaik bagi pemancing yang ingin memburu spesies bersisik melalui teknik slow jigging terutamanya di Selat Melaka.
Air Menyorong Besar
Ads
Air menyorong besar bermaksud, keadaan air mati yang mula berarus. Biasanya berlaku 3 hari sebelum air besar. Ketika ini ikan yang berada di kawasan zon pasang surut air mati mula aktif dan bergerak mengikut arus. Ketinggian air pasang boleh dilihat meningkat sedikit demi sedikit. Kebiasaannya pada hari ketiga, nelayan akan keluar menjaring untuk memburu spesis ikan senangin yang mula bergerak bersama air pasang. Jika nelayan keluar menjaring senangin ia bermakna para jigger juga berpeluang untuk mencari senangin atau gubal ketika ini.
Air Besar
Air besar bermaksud, keadaan air pasang tinggi dan arus deras. Biasanya air bergerak bersama lumpur menyebabkan air menjadi keruh. Ia biasanya berlaku selama 7 hari sebelum air mengecil semula. Ketika ini air pasang akan menenggelamkan reba-reba kayu dan batu tebing di sekitar tebing selat. Kebanyakan spesies berlindung ketika arus di kawasan tengah terlalu laju. Kebanyakan spesies predator malah ikan semilang juga amat aktif ketika ini. Kawasan muara dan anak sungai ketika air mula masuk, adalah yang paling sesuai. Kebanyakan ikan Pari kecil di bawah 2 kg biasanya banyak terdapat di kawasan pantai yang cetek.
Ads
Air Bani / Air Mati
Air mati dan tidak berarus bermaksud, keadaan air begitu jernih dan sekiranya umpan di jatuhkan, arus tidak mampu menghanyutkan batu ladung walaupun bersaiz kecil. Malah ada ketikanya umpan tanpa batu ladung pun tak hanyut. Keadaan air seperti ini menyebabkan ikan kurang aktif. Hanya waktu air mula pasang atau air mula surut yang mempunyai arus sesuai untuk memancing. Sekiranya hujan, suhu air bertambah sejuk dan ini memburukkan keadaan. Kebanyakan spot sesuai berada di laluan tengah selat seperti laluan kapal dan kawasan tertentu yang lain. Ketika ini, air jernih di kawasan anak sungai amat sesuai untuk teknik casting. Umpan perumpun atau udang hidup sesuai untuk menjerat tetanda dan siakap yang bergerak di dalam anak sungai. Aktiviti jigging ketika air mati ini juga boleh menyebabkan sesalan yang tak berkesudahan.
Ads
Air Bulu Kera
Air bulu kera ini merujuk kepada warna air khususnya di lubuk-lubuk sungai atau muara yang hampir menyamai warna bulu kera. Air bulu kera ini dikatakan air yang cantik kerana ia tidak terlalu keruh dan tidak juga terlalu jernih. Ia dianggap air yang cantik untuk memancing kerana banyak rekod tangkapan yang bagus berjaya didaraatkan ketika air berwarna bulu kera ini. Namun ia tidak menjamin korang tidak akan kumpau jika memancing pada waktu ini. Walaupun keadaan air yang cantik kadangkala tidak juga membuahkan hasil Ini bergantung kepada keadaan cuaca semasa dan suhu persekitaran.
Tak kumpau punya, baca lah UMPAN seeNI! Download seeNI sekarang!
Umpan bulu ayam putih yang dahulunya umpan rahsia di kalangan tekong di perairan ini boleh dianggap bukan lagi rahsia di kalangan kaki casting terutamanya di perairan Kedah.
Bahkan, umpan ’killer’ ini sebenarnya telah pun dipraktikkan di pulau-pulau berbatu yang lain seperti Pulau Sembilan, Perak.
Apa yang menariknya, kehalusan umpan bulu yang dibuat sendiri oleh Abang Din. Ia dihias cantik dengan semburan cat putih, ditaburkan serbuk pengilat, selain dikemaskan dengan epoxy untuk mengukuhkan keseluruhan ikatan bulu ayam berkenaan.
Reka bentuk umpan dari segi berat dan bentuk biasanya ia adalah ‘rahsia’ tekong atau si pembuatnya. Tetapi jika ke sini boleh membelinya dengan harga RM5 seketul tidak termasuk mata kail.
Selain bulu ayam, boleh juga mencuba seperti spoon untuk casting. Tanyakan tekong untuk pemilihan berat yang sesuai.
TEKNIK CASTING
Kekili
Kekili spinning jenis high speed amat penting di sini. Disyorkan menggunakan kekili yang memiliki gear ratio 6.0 dan ke atas.
Siri 2000-2500 paling sesuai digunakan dan ia mestilah tahan lasak dan kalis air masin. Jika bukan jenis air masin, harus membilasnya dengan segera selepas tiba di daratan.
Kekili Shimano seperti Sahara, Stradic, Symetre antara kekili yang ‘sedap’ dipakai dan harganya juga berpatutan.
Rod
Rod casting 7’ atau 7’ setengah paling sesuai. Tetapi sebenarnya penggunaan rod haruslah sesuai dengan tinggi tubuh badan seseorang.
Ini kerana jika seorang itu bertubuh rendah rod 6’ atau 6’ setengah adalah sesuai. Pendek kata, hujung rod jangan sampai mencecah air.
Rod dengan kekuatan 10-20lb adalah sesuai untuk menduga perairan ini. Tetapi jika inginkan ‘lebih perlawanan’ boleh mencuba joran yang lebih ringan.
Tali
Tidak kisah, apa brand yang digunakan. Asalkan ia jenis braided, kuat dan tahan lasak. Saiz 15-20 lb paling sesuai di sini.
Perambut
Pilih perambut jenis fluorocarbon. Jangan terlalu keras. Perambut berkekuatan 25-30 lb paling ideal.
Mata kail
Saiz mata bergantungkepada tempat. Biasanya mata kail no 2 digunakan. Paling penting, mata kail mestilah tajam, tahan lasak dan sedikit lembut, kerana jika tersangkut di celah
batu, boleh menariknya sampai bengkok mata kail kerana paling penting dapatkan semula batu ladung yang berhias bulu ayam tersebut.
Selain dua mata, ikatan tunggal juga boleh dipraktikkan. Tali yang sesuai untuk mengikat mata kail adalah jenis braided berkekuatan 80lb ke atas.
Air
Faktor air memainkan peranan penting. Jika air jernih, potensi sambaran lebih tinggi dan arus hendaklah tidak terlalu laju. Sebaiknya rujuk pasang surut air.
Seawal pagi kami berempat memulakan perjalanan menuju ke arah 180 darjah sebaik sahaja keluar dari muara Pulau Pintu Gedung. Biasanya kami akan menempuh alun agak tinggi di muara Pintu Gedung selepas berlakunya angin barat.
Alun menjadi semakin rendah apabila mula memasuki kawasan selat air dalam di kawasan laluan kapal. Jika alun berterusan, batalkan sahaja rancangan kerana aktiviti menotok akan terbantut disebabkan suasana yang amat tidak selesa.
Perjalanan akan mengambil masa selama 30 minit lagi untuk tiba di lokasi pertama. Kalau kekurangan umpan, boya merah terakhir di mana tempat kapal menukar haluan di hujung laluan masuk ke Pelabuhan Kelang boleh disinggahi untuk apollo anak-anak ikan.
Dari lokasi yang pertama kami akan berhanyut mencari lubuk didiami ikan dan ulang kembali di posisi sama sekiranya terdapat strike.
Jika tiada sambaran, sampan akan dibiarkan hanyut untuk tempoh masa tertentu sebelum berpindah ke lokasi berikutnya jika masih tiada sebarang sentapan.
Setibanya di lokasi, perkara pertama yang dilakukan ialah memerhatikan kapal dagang yang bertali arus. Hari itu saya memilih untuk memancing di Paloh 2 iaitu laluan kapal yang hanya melalui Selat Melaka tanpa singgah di Pelabuhan Kelang.
Paloh 3 pula ialah kawasan khas di mana kapal tangki dan kapal besar sahaja menggunakannya.
Saya memilih untuk berhanyut di celah antara laluan kapal di mana sebelah kanan ialah haluan yang menghala ke utara dan sebelah kiri haluan kapal yang menghala ke selatan.
Kawasan ini dikenal pasti sedikit selamat kerana kapal-kapal ini jarang menggunakan laluan tengah.
Cuma yang dibimbangi ialah sampan hanyut ke arah laluan khas untuk kapal. Setelah memastikan laluan selamat dan jauh dari kiri kanan laluan kapal, berulah peralatan digunakan.
Penggunaan kekili elektrik sangat efektif di kawasan ini kerana kedalaman air sekitar 60 meter ke atas. Kekili manual boleh digunakan sekirinya memiliki tenaga mengarau yang konsisten kerana ada ketikanya tali pancing perlu dikarau secepat mungkin apabila sampan disedari berada di haluan kapal.
Waktu ini, pasti hon kuat kedengaran dari kapal menandakan bot sudah hampir di haluannya.
Misi pertama ialah ikan demersal sebagai buruan utama seperti kerapu, jenahak, ibu gelama, gegerut dan kadangkala kaci serta tebal pipi. Perambut kekuatan 60 lb ke atas sepanjang 4 depa dengan tali utama 80 lb hingga 100 lb.
Ini berikutan jika tersangkut pada karang kebiasaannya perambut lebih kecil dari tali utama akan putus, dengan ini ladung terselamat daripada menjadi tukun.
Elakkan menggunakan kekili mendatar kerana ia lebih cepat meletihkan pemancing apabila disuruh karau setiap kali sampan ingin beredar ke lokasi lain.
Mata kail 5/0 jika mata tunggal atau 2 bentuk mata 3/0 digunakan mencangkuk seekor sotong kurita hidup.
Ladung biasanya saiz 24 agar ia terseret di dasar ketika berhanyut atau menotok. Kalau umpan hanyut jauh ke atas dari dasar peluang sentapan adalah tipis kecuali di kawasan yang adanya ikan pertengahan seperti GT, talang dan haruan tasik.
Jika sampan hanyut dengan melintang arus, 6 joran boleh dipasang sekali gus, jika ia hanyut senget memadai 3 joran sahaja.
Pastikan joran di belakang dihanyutkan jauh dari kedudukan pemancing kedua dan ketiga. Yang seronok menotok ialah cara sentapan dilakukan ikan. Oleh kerana umpan bergerak, ikan seperti marah dan menerkam dengan rakus.
Joran pula perlu dipastikan kuat dan diikat kemas pada sampan kerana banyak sentapan ikan adalah dengan mengejut. Beberapa kes joran tercampak kerap juga berlaku gara-gara pemancing leka menjaga dan mengikat joran.
Tentangan di awal sentapan cukup kuat dan ia berterusan hingga 1/3 dasar sebelum ikan demersal akan lumpuh apabila gelembung udara terhasil di mulutnya. Umpan perlu dilabuhkan satu persatu bagi mengelakkan tali pancing berbelit antara satu sama lain.
Umpan selain sotong kurita, udang lipan, pelaling mati, hirisan cabut, belanak, ikan tembakul, anak gelama da udang kertas boleh digunakan. Jika berhanyut pada malam hari sotong cumit adalah umpan nombor 1!
Sambil itu jika membawa sonar, sentiasa perhatikan tahap kedalaman air kerna ia berbeza di setiap kawasan. Bermula dari 30 meter hingga menjunam 70 meter.
Bila umpan masuk lubang dalam, hulurkan lagi tali pancing hingga ladung dikesan terhentak pada lantai dasar. Bila umpan terlepas jauh, ikan jarang mengejarnya.
Begitu juga apabila kedalaman menaik, tali pancing perlu dikarau sedikit. Jika tidak ia amat mudah melekat apabila memasuki kawasan berkarang.
Jika tersangkut karang, pegang joran sehingga lurus, dapatkan koyan kosong segera belitkan beberapa lilitan talipancing pada koyan kosong. Tahan sehingga putus. Jangan gunakan joran.
Sampan yang sedang berhanyut membantu pemancing menarik hingga terlepas sangkut berkenaan. Sama ada perambut atau tali utama putus itu soal kedua kerana melepakan tali sangkut adalah perlu.
Ambil dalam masa sejam setiap kali berhanyut sebelum naik ke arah arus semula. GPS adalah perlu sebagai panduan wajib bagi mengetahui arah sampan hanyut serta membuat data simpanan setiap kali sentapan terjadi.
Rujuk balik kawasan berlaku strike tadi melalui bacaan sonar untuk mengesan struktur dasar. Pasti ada karang atau lubang dalam tempat ikan bersembunyi.
Kemudian ulang laluan yang sama sehingga laluan berkenaan tiada lagi sebarang tanda sentapan ikan. Panduan utama berhanyut di kawasan ini ialah aliran arus.
Jika sampan berhanyut ke arah utara maka ia menandakan air bergerak surut dan jika sampan hanyut ke arah Singapura ini menunjukkan air pasang.
Kecuali bila angin menolak sampan lebih kuat daripada arus. Ketika berhanyut sentiasa ingat darat adalah sebelah timur manakala sempadan Indonesia di sebelah Barat.
Kalau panik hilang arah terutama ketika kabus atau jerebu, tuju timur sehingga nampak pedoman darat. Yang mudah dikesan ialah bukit Jugra, Banting.
Jika mengantuk, jangan tidur serentak, ambil giliran sebab apa yang penting seorang perlu berjaga mengawasi sebarang pergerakan kapal dan sentapan.
Ada masa kita pasti terserempak dengan bot Indon kecil yang disyaki membawa puluhan PATI melepasi sempadan. Yang kelihatan ialah tekong laut di bumbung bot, PATI berselindung macam ikan sardin di dalam kabin yang kecil.
Kalau boleh rujuk carta pasang surut air. Kunci penggera pada handphone waktu-waktu air dijadualkan bertukar arus.
Bila dah hampir masanya sentiasa standby atau pegang joran kerana waktu ini adalah paling produktif. Pastikan semua joran yang dilabuhkan, umpannya segar dan ditukar baru jika perlu.
Kadangkala seharian ikan berhanyut hasil hanya diperolehi dalam 10 hingga 30 minit sahaja ketika arus bertukar.
Waktu-waktu lain hanya dok termenung menunggu joran melentur sambil kena karau umpan yang sering kehabisan dikerjakan kumpulan ikan mengkerong.
Jika kena lubuk ikan jarang menolak umpan yang hanyut di depan mata masa arus lemah.
Biasanya waktu begini saya memilih untuk berhanyut berdekatan dengan lubuk potensi yang banyak sentapan sebelumnya.
Ini pernah terjadi di mana kesemua joran yang dilabuhkan mengena ikan. Yang mana satu ingin dikarau dahulu terpulanglah kepada pemancing itu sendiri.
Kalau pakai bangla suruh je bangla yang karau sambil perhatikan keputusannya. Nak kepuasan lebih, kayuh dengan kudrat tenaga tangan uatu pusing manual.
Jika trip menotok pulang dengan tangan kosong, baki umpan boleh digunakan untuk memancing di dalam sungai. Setidak-tidaknya ada ikan muara yang boleh menceriakan hati suram bak kata pepatah tiada enjin, dayung pun berguna.
Sotong cumit dan sotong kurita merupakan dua spesis umpan yang terbaik di dalam kelasnya.
Kedua-dua spesies umpan ini amat digemari oleh hampir setiap ikan pemangsa seperti ikan-ikan snappers, groupers dan trevally. Bezanya adalah habitat yang mereka huni.
Sotong kurita biasanya mendiami kawasan yang berlumpur dan berbatu-batu.
Sotong kurita adalah spesies yang paling bijak menyembunyikan diri dengan sifat penyamarannya yang semulajadi.
Oleh yang demikian, penggunaannya perlulah bijak memilih dasar lokasi.
Sotong cumit pula mendiami kawasan di pertengahan air disemua kawasan. Ia merupakan spesies yang amat aktif pada waktu malam.
Biasanya ia memburu secara berkumpulan dengan turun dan naik mengikut kedalaman air dan pengaruh cahaya bulan.
Jika anda ingin menggunakan kedua-dua umpan ini pertimbangkanlah beberapa faktor sebagaimana berikut:
➡ Sotong kurita lebih berdaya tahan dari sotong cumit. Ia bagus untuk tempoh yang lama berbanding sotong cumit.
➡ Sotong kurita boleh digunakan pada waktu siang dan malam, sedangkan sotong cumit lebih efektif pada waktu malam.
➡ Sotong kurita sebenarnya lebih digemari oleh banyak pemangsa berbanding sotong cumit disebabkan ia mendiami habitat dasar dan senang diburu.
Sedangkan sotong cumit mendiami kawasan pertengahan air dan sukar diburu.
➡ Jika memancing pada waktu malam sotong cumit adalah lebih baik dari sotong kurita disebabkan sotong cumit mengeluarkan cahaya apabila ianya di dalam stress dan kesakitan akibat cangkukan mata kail.
Fenomena ini membuatkannya lebih mudah dikesan oleh ikan pemangsa.
➡ Dalam keadaan segar setelah mati, sotong cumit masih mampu mengeluarkan cahaya. Oleh yang demikian, ia lebih efektif berbanding sotong kurita yang telah mati walaupun masih segar.
➡ Sotong kurita tidak mudah mati, sedangkan sotong cumit sebaliknya.
➡ Sotong kurita juga dapat dijadikan umpan sedikit demi sedikit dgn cara memotong kakinya, namun ia tetap hidup.
Sedangkan sotong cumit harus digunakan seekor sekaligus, jika dipotong ianya akan mati.
Tahu ke anda bahawa memancing ketika hujan, memberi anda peluang lebih baik untuk menangkap lebih banyak ikan. Memang betul, tetapi ia memerlukan sedikit perencanaan...